Tip dan Cara Jimat Minyak Kereta Yang Sengal Sesuai Untuk Yang Selalu Merungut Minyak Naik.

Assalamualaikum.

Ketika saya menulis ini, harga minyak belum naik (11:50 malam). Mungkin bila saya habis menulis harga sudah naik 0.20 sen. Daripada saya beratur panjang seperti orang lain menunggu giliran isi minyak, lebih baik saya kongsi tip-tip paling orang tak nak ambil tahu, tapi ada kesannya (kesannya terlalu minimal sehingga boleh dipinggarkan).

Anda orang yang selalu post di Facebook, Twitter atau mana laman sosial mengenai harga minyak naik? Anda boleh aplikasikan. Sebenarnya semua orang hendak berjimat, apatah lagi setelah pengenalan GST (terasa oi) – semacam satu persatu hendak dinaikkan harga. Gila sebenarnya. Kalau kita dapat berjimat pada penggunaan minyak untuk pengangkutan seharian, setidak-tidaknya bolehlah simpan duit tempat lain – contoh Tabung Haji.

Dulu, saya belajar Automotive and Mechanical Engineering (walaupun sekarang adalah ejen insurans). Cikgu saya kata Mr. Im Mock Teck, ada satu perkara atau elemen penting dalam penjimatan minyak adalah ‘driving behaviour’. Dalam bahasa Melayu adalah tingkahlaku atau fiil atau cara memandu.

Tidak kisahlah anda seorang pemandu secara jarang-jarang atau setiap hari, skil dan gaya pemanduan boleh menentukan kecekapan dalam penjimatan minyak kereta. Ini ada beberapa tip / cara:

Tingkah Laku Pemandu.

  1. Ketika memandu, anda kena selalu berfikir ‘Bagaimana aku nak jimat minyak kereta erk?‘ Bila anda fikiran begini, anda akan fokus pada pemanduan. Tak ada lah nak tengok smartphone, nanti asyik-asyik nak tekan brek kereta. Rugi minyak!
  2. Jangan memandu dalam keadaan marah atau dalam keadaan sedih. Bila marah anda akan bawa secara laju, penggunaan minyak akan cepat melatah nanti. Bila sedih nanti, mungkin anda memandu tanpa arah melayan perasaan. Penggunaan minyak pada kilometer yang tidak sepatutnya. Rugi minyak!
  3. Jadi pemandu yang merasakan memandu akan menggunakan minyak yang banyak, maka naiklah pengangkutan awam.

Sekarang saya akan teruskan tingkah laku satu persatu pemandu yang perlu ada, langkah demi langkah:

Ketika Hendak ‘Warm Up’…

  • Matikan semua suis alat dalam kenderaan yang memerlukan elektrik untuk kurangkan penggunaan bateri ketika enjin hendak berfungsi.
  • Bila enjin dah bergerak, terus je tekan pedal bergerak. Tak payah nak mengada-ngada ‘warm up’ macam kereta dulu-dulu. Kena tunggu 10 minit. Bazir minyak. Tapi jangan terus tekan pedal minyak sampai lantai. Warm up dengan cara menggunakan gear rendah, bergerak.
  • Tekan pedal minyak sedikit demi sedikit, sambil ada perasaan macam Haji Bakhil. Tetapkan dalam hati, ‘mahal wei minyak kena guna sikit-sikit.’
  • Jangan mengada-ngada nak ‘rev’ (vroom-vroom) bila nak hidupkan enjin, minyak akan banyak dipakai dalam silinder. Enjin berada dalam keadaan ‘rich’ (banyak minyak). Membazir. Hidup sederhana.

Ketika Baru Hendak Bergerak…

  • Ulang semula, tekan pedal perlahan-lahan. Tak payah la poyo sangat nak gerak sampai ada bunyi ‘screeching’ macam cerita Fast Furious. Buat begitu, sebenarnya anda telah membazir penggunaan minyak untuk SATU KILOMETER perjalanan.
  • Anggap kaki anda pada pedal minyak seperti meletakkan kapas pada lantai. Jangan gelojoh, lagi-lagi kalau jalan itu licin.

Ketika Berjalan Atas Jalan Raya…

  • Seperti di atas, perlahan-lahan tekan pedal minyak. Jimatkan tenaga anda pada pedal minyak, bermaksud anda juga berjimat duit dan petrol.
  • Sentiasa perhatikan had laju papan tanda. Kalau papan tanda 90km/sejam, bawalah seperti 90km/sejam walaupun ada orang ‘high beam’. Buat begini, secara automatik anda jimat duit dari disaman JPJ dan polis.
  • Ketika di highway, lupakan perasaan anda hendak berlumba. Kereta dicipta pada halaju 60-90km/sejam (bergantung pada enjin kereta), itu adalah halaju optimum untuk penjimatan minyak.

Jangan terlalu lama gunakan gear rendah… cepat-cepat ke gear lebih tinggi.

  • Kereta yang dibawa atas 35 – 40 km/sejam lebih baik.
  • Kalau menggunakan transmisi automatik, bila turun bukit tak perlu tekan pedal minyak. Biarkan jalan sendiri.
  • Kalau kereta anda menggunakan 5 gear, jangan fikir gear 5 hanya untuk di lebuhraya. Jika enjin bergerak secara ‘smooth’ pada gear lima, dan pada halaju yang rendah – guna gear tersebut. Ia akan menjimatkan minyak.

Teknik mendaki bukit.

  • Memandu ketika mendaki bukit sebenarnya memerlukan minyak yang banyak untuk bergerak berbanding di jalan rata.
  • Sebelum mendaki bukit (agak-agak sebelum naik), pastikan kenderaan anda pada kelajuan yang senang untuk mendaki. Jangan dah di bukit, baru nak tekan minyak. Nanti enjin kuat bekerja, bermaksud memerlukan banyak minyak.

Sentiasa jaga tekanan pada tayar kereta.

  • Sentiasa ikut apa yang pengilang kereta kata bagi bacaan tekanan tayar (sila lihat manual kereta anda, atau kebiasaannya ditempek pada pintu sebelah dalam).
  • Tayar yang kurang angin menyebabkan pembaziran minyak. Ia juga mengakibatkan haus pada bahagian luar tayar.
  • Tayar yang terlebih angin menyebabkan tayar cepat haus di bahagian tengah.
  • Elakkan lubang di jalan raya, jaga tayar – jimat minyak dan jimat duit (dari tukar tayar).

Elakkan pemanduan yang sangat-sangat singkat (1 hingga 8 km).

  • Pemanduan yang singkat akan memberi ‘peratus tidak baik’ pada penjimatan minyak. Ini disebabkan, bahagian enjin yang masih sejuk, tayar yang masih sejuk dan pelinciran minyak yang belum sekata.
  • Kereta memerlukan 25 kilometer sekurang-kurangnya untuk memberi efisien pada penggunaan minyak kereta.
  • Rancang perjalanan. Gabungkan destinasi anda pada satu perjalanan, tak ada lah banyak-banyak nak berhenti atau lebih kilometer lalu.

Pilih laluan yang menjimatkan minyak.

  • Jalan yang sesak, banyak berhenti, banyak break seperti dalam bandar memang membazir minyak.
  • Permukaan jalan yang kasar, berbatu-batu mengurangkan penjimatan minyak 10-30%. Cari jalan yang cantik.
  • Cari jalan yang landai dan lurus. Jalan yang bengkang-bengkok, berbukit mampu menambah penggunaan minyak kereta anda.

Jaga jarak kereta anda dengan kereta lain.

  • Jarakkan kereta anda sejauh saiz dua buah kereta, untuk elakkan situasi sekejap berhenti, sekejap jalan.
  • Bila terlalu dekat, akan kerap brek. Kereta memerlukan minyak lebih pada permulaan nak bergerak (kereta yang hendak bergerak dari 0 halaju memerlukan minyak 6 kali ganda dari kereta yang bergerak dari satu halaju ke satu halaju)
  • Cuba jangan guna penghawa dingin jika kereta bergerak pada halaju yang rendah. Memandu di tengah bandar yang sesak, penghawa dingin dihidupkan menyebabkan 9% penggunaan minyak.
  • Memandu di luar waktu sesak.

Jangan biarkan kereta hidup tanpa bergerak selama 3 minit ke atas.

  • Ketika sudah menghidupkan enjin, tak perlu nak tekan pedal minyak nak ‘vroom vroom’. Tak perlu pun.

Kurangkan geseran udara pada kereta dan berat kereta.

  • Pergerakan udara pada kereta bergerak adalah faktor penting untuk menjimatkan minyak. Tengoklah kereta lumba Formula 1.
  • Kalau bawa kereta lebih dari 40km/sejam, silalah tutup tingkap.
  • Janganlah memberatkan kereta anda dengan bebanan lain. Seperti rak kasut dalam kereta, terutama perempuan.

Akhir kata, jaga ‘maintenance’!

  • Bila cukup waktu, tukarlah benda sepatutnya kena tukar; minyak enjin, penapis minyak, penapis udara dan sebagainya.

 

[sumber bacaan: The Money Book – A Cap Guide to Managing Your Money & More]

Harap, apa yang sudah dibaca dapat membantu anda survival ekonomi di Malaysia.

Memberi untuk menerima.

Adib Yazid

Advertisement

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s