Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Cuaca di luar punyalah panas sekarang, ditambah dengan suasana bulan Ramadhan lagi. Cuma, jangan jadikan itu alasan anda untuk tidak berpuasa atau nak tidur sahaja. Haha.
Baca: Kriteria Bila Hendak Meminjam
Hari itu saya menulis tentang pinjaman, tapi hari ini pula saya hendak menulis mengenai ‘Kebaikan Menguruskan Hutang Secara Bijak’. Cara bosannya, ada duit bayarlah! Siapa suruh meminjam. Kali ini saya tidak menulis mengenai tips-tips nak kurangkan hutang.
Pertama sekali, kita kena tahu – kalau kita urus hutang secara elok-elok, apa kita akan dapat. Sudah pasti, anda memerlukan dorongan dan disiplin untuk menguruskan hutang secara bijaksana. Berikut adalah kebaikan mengurus hutang secara efektif:
#1. Pengurusan aliran tunai (cashflow) yang lebih baik.
Jika anda berjaya mengawal hutang pada tahap yang terkawal, anda akan mempunyai lebihan wang untuk menabung dan seterusnya mempunyai kedudukan alirang tunai (cashflow) yang positif.
Memiliki aliran tunai positif adalah perlu (sangat perlu) kerana anda mempunyai dana berlebihan untuk membantu membina tabung kecemasan, mengurangkan hutang dan juga boleh memanfaatkan peluang pelaburan yang baik.
Baca: Perkara PERTAMA Sebelum Melabur – Mencipta Dana Kecemasan.
Aliran tunai positif boleh dicapai sekiranya anda mempunyai bajet dan memantaunya dengan baik.
#2. Pengurusan kekayaan yang lebih baik.
Sebahagian besar proses membina kekayaan memerlukan anda membuat keputusan bijak mengenai hutang. Melalui pengurusan hutang yang bijak, anda mengurangkan liabiliti sambil meningkatkan kedudukan nilai harta bersih. Semua ini secara efektif akan membawa kepada pengurusan kekayaan yang lebih baik.
#3. Mengelak bayaran lewat dan caj penalti.
Jadilah seorang pembayar hutang yang berhemat! Lebih cekap anda mengurus hutang, maka lebih banyak penjimatan faedah dan caj lain yang anda peroleh. Ambillah langkah pertama dengan membayar mengikut jadual.
#4. Mengurangkan kos pinjaman.
Anda boleh melangsaikan hutang dengan cepat jika mengurus hutang secara bijak dan sentiasa memantaunya. Lebih cepat anda melangsaikan hutang, maka lebih banyak penjimatan kos faedah anda peroleh.
#5. Meningkatkan kedudukan kredit.
Pengurusan hutang yang bijak akan membantu anda membina rekod kredit yang lebih baik bagi memudahkan anda mengambil pinjaman pada masa hadapan. Ini adalah kerana rekod pembayaran anda akan dijejak leh Biro Kredit Bank Negara Malaysia.
Setiap kali anda meminjam daripada institusi kewangan berlesen (along tak kira), semua hutang dan rekod pembayaran anda akan dicatatkan. Oleh itu, sekiranya anda pernah terlewat atau gagal menjelaskan pinjaman, ini mungkin boleh menjejaskan keupayaan anda untuk memperoleh pinjaman pada masa hadapan. Pertimbangan permohonan pinjam bergantung kepada beberapa faktor, antaranya profil pemohon, status kewangan dan kemampuan pemohon untuk membayar balik pinjaman.
Baca: Kriteria Bila Hendak Meminjam
#6. Mengelakkan gangguan atau tindakan undang-undang.
Untuk mengelak tindakan undang-undang, pastikan anda membayar ansuran bulanan tepat pada masanya. Anda perlu sedar bahawa jika anda tertinggal atau tidak membayar ansurans mengikut jadual, kedudukan kredit anda akan terjejas dan si pemiutang akan mencari atau menghubungi anda. Hidup mungkin tidak tenteram.
Baca: Jiwa Tertekan Akibat Hutang (Yang Melampau)
#7. Hubungan keluarga yang lebih baik.
Semakin cekap anda menguruskan hutang semakin baik hubungan anda dengan ahli keluarga. Sering kali pertelingkahan atau salah faham yang berlaku antara ahli keluarga berpunca daripada masalah kewangan.
Pengurusan hutang yang baik akan mengeratkan hubungan anda dengan keluarga, kawan atau rakan sekerja. Ini pasti memupuk suasana harmoni, sambil meningkatkan produktiviti di tempat kerja.
Bila sudah membaca kebaikan mengurus hutang, anda mahu menambah hutang lagi, atau mahu mengurangkan hutang? Insha Allah, di kesempatan lain saya akan menulis cara bagaimana menguruskan hutang dengan bijaksana.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid.