Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Menyimpan adalah satu proses yang bosan, sangat bosan. Anda diberi duit, dan asingkan – dan simpan. Ulang-ulang setiap hari, minggu, bulanan dan lama kelamaan wang itu akan menimbun. Anda mempunyai kuasa membeli apa sahaja berdasarkan amaun simpanan itu. Mahu jadi jutawan pun, bermula dengan menyimpan.
Sebabkan ianya bosan sangat, siapa yang beringat selalu untuk menyimpan?
Anggap Proses Menyimpan Umpama Seperti Makan Ais Krim
Jangan salahkan anak, jika anak kita membesar mempunyai tabiat berbelanja yang boros! Sebagai ibu bapa atau penjaga kepada anak-anak, kita perlu mendidik mereka menyimpan dari awal. Cuba tanya budak kecil, suka makan sayur atau pun suka makan ais krim?
Jika kita sudah terapkan proses berbelanja adalah suatu yang seronok – seperti bawa anak bercuti-cuti tanpa kongsi perihal sudah berapa belanja, atau disogokkan dengan jajan-jajan yang ‘best’ – ianya bakal menjadi barah. Bawa anak ber-shopping, anda perlu berhati-hati. Bukan berhati-hati melihat kelibat mereka, berhati-hati dengan gaya anda berbelanja. Mereka melihat apa yang dilakukan oleh ibu bapa mereka.
Jadi, bagaimana nak bagi anak kecil lihat proses menyimpan adalah proses yang menyeronokkan?
Pertama Sekali, Bermula dengan ‘short term’ target Kenapa Hendak Menyimpan.
Saya sarankan anda bantu anak mempunyai sasaran jangka pendek sebagai motivasi kepada mereka untuk menyimpan dan menyeronokkan. Tetapkan jangka masa selama dua atau tiga bulan. Boleh bermula dengan TIGA langkah:
- Permulaan: Tetapkan apa yang hendak dibeli dengan duit simpanan akan datang.
- Dalam tempoh dua bulan / tiga bulan: Simpan sebelum berbelanja.
- Bulan terakhir: Belanja apa yang sudah disimpan selama ini!
Agak pelik, bukan? Proses terakhir macam menjadikan anak boros pula. Jangan lupa, ini langkah pertama supaya dapat mendidik anak melihat proses menyimpan adalah proses yang sangat seronok. Ini adalah huraian setiap proses.
Langkah Permulaan: Tetapkan Matlamat.
Setiap apa yang kita lakukan mestilah bersebab. Bantu anak tetapkan matlamat. Pastikan matlamat yang boleh dicapai dan boleh dicapai dalam masa yang ditetapkan. Biar realistik. Boleh jadi set permainan Hot Wheels, sepasang kasut bola (adik saya nak kasut bola) atau patung ‘teddy bear’ – janji dalam amaun yang boleh dicapai selama tiga bulan.
Kalau anda hendak belikan kasut baru (lagi-lagi sempena raya) atau baju baru, ini adalah cara terbaik untuk anda bermula. Mulakan bersama dengan anak-anak, walaupun anda tahu anda mampu membeli tanpa persetujuan mereka.
Adalah lebih baik, anda bincang dengan mereka apa yang mereka mahu, lihat bersama-sama harga di Internet dan rangka berapakah jumlah yang patut mereka simpan selama tiga bulan ini. Kecilkan kepada mingguan atau harian, supaya pada fikiran mereka kelihatan senang.
Langkah Seterusnya: Simpan Sebelum Belanja.
Latih didik anak penuhkan tabung sebelum belanja. Beritahu pada mereka, yang mereka perlu belanja diri sendiri sebelum belanja pada sesuatu. Di sini ada beberapa tips dan trik menggalakkan mereka menyimpan sebelum berbelanja.
1. Sediakan Tabung
Di mana mereka hendak menyimpan, kalau tiada tempat untuk menyimpan? Belikan mereka satu tabung khas, semata-mata untuk matlamat jangka masa pendek mereka. Kalau boleh, belikan tabung yang boleh dilihat isi dalamnya. (Bagi saya, melatih diri supaya berjinak-jinak dengan duit). Letak tabung pada tempat yang senang dilihat, kalau boleh di ruang tamu. Balik sekolah mereka boleh lihat dan senang untuk menyimpan.
2. Letakkan Gambar Impian / Matlamat Mereka di Tabung
Ya, ianya sebagai ‘auto reminder’ mengingatkan tentang impian mereka atau sebab utama mereka menabung. Tak ada lah hari ini simpan, esok korek sebab nak beli ais krim asam.
3. Beri Ganjaran kerana Sudah Menabung
Timbang rasa untuk memberi sesuatu sebagai ganjaran kepada mereka kerana sudah menabung. Ganjaran tak semestinya suatu berbentuk duit. Bagi mereka kupon KFC (kalau ada), ais krim Cornetto ke, atau bagi peluang main Playstation / iPad lebih dari sepatutnya. Ia hanyalah sebagai galakan untuk menyimpan.
Kalau anda hendak beri juga ganjaran dalam bentuk duit. Buat begini; Kalau anak anda sudah menyimpan setiap RM1, anda beri bonus 10 sen. (Macam beri dividen sebenarnya, tapi anak mana nak faham istilah dividen) Ini adalah cara terbaik mengajar mereka, bahawa kalau menyimpan lebih anda dapat lebih!
4. Bantu Mereka Untuk Menambah Jumlah Simpanan
Cara bantu ini, adalah menggalakkan mereka mencuba peluang-peluang yang ada supaya kurang berbelanja menggunakan duit, tapi guna kupon atau kad diskaun. Anda boleh latih mereka, melihat surat khabar atau majalah-majalah. Anda juga boleh bantu mereka dengan menyediakan bekal dari rumah, dan beritahu mereka bahawa kalau bawa bekal dari rumah anda boleh menyimpan lebih.
Langkah Terakhir: Belanja Duit Simpanan!
Okay, sudah sampai masanya. Duit sudah disimpan. Ini adalah waktu anak anda berbelanja!
Sebagai seorang ibu bapa, waktu ini anda perlu beri kebebasan kepada anak anda untuk berbelanja. Mereka sudah bertungkus lumus menyimpan selama tiga bulan. Mereka boleh pergi ke pasaraya (ibu bapa kena bawa lah). Ini adalah tanda mereka sudah berjaya mencapai matlamat mereka.
Ini adalah cara-cara untuk melatih anak anda menyimpan tapi ianya hanya untuk jangka masa pendek. Tujuannya adalah hanya memberi pendidikan pada anak-anak bahawa proses menyimpan adalah satu perkara yang seronok.
Tak ada lah mereka menyimpan tanpa dapat merasa apa-apa.
Selepas ini, akan bagi tip bagaimana hendak mendidik anak untuk menyimpan jangka masa panjang – simpanan kolej/universiti, membuka akaun simpanan di bank dan pengenalan konsep dividen kepada anak-anak.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid