Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Hari ini ramai pula bertanya tentang ‘bagaimana hendak membeli rumah?’ – padahal saya hanyalah ejen insurans dan takaful, bukan ejen hartanah! Apa-apa pun segala ilmu yang saya ada mengenai hartanah insha Allah, saya akan kongsikan.
Sebelum membeli rumah atau apa-apa pinjaman (melainkan anda mahu membeli rumah secara tunai, Alhamdulillah) – perkara paling utama adalah kriteria hendak meminjam tu.
Apabila anda memohon kad kredit, pinjaman peribadi atau pinjaman-pinjaman lain, institusi kewangan (selepas ini saya merujuk kepada bank terutamanya) akan menilai sama ada anda mempunyai risiko kredit yang baik atau tidak. Sewaktu membuat penilaian risiko kredit, bank tersebut akan mengambil kira keupayaan peminjam untuk memenuhi kewajipan pembayaran balik.
Penilaian risiko juga akan menentukan kadar faedah dan kos-kos lain untuk pinjaman tersebut.
Keupayaan untuk mendapatkan kelulusan pinjaman biasanya bergantung kepada faktor asas seperti berikut.
#1. Tujuan Pinjaman
Pemberi pinjaman ingin mengetahui apa tujuan sebenar suatu pinjaman bagi menilai risiko yang terlibat. Jenis pinjaman akan dipadankan dengan tujuan pinjaman. Jika membeli rumah, maka pinjaman rumah ditawarkan. Pinajam sewa beli kereta akan diberi untuk kereta.
Jika tujuan untuk satu benda yang tidak produktif atau berunsur spekulasi, mungkin anda akan ditawarkan pinjaman peribadi atau overdraf. Tujuan pinjaman serta jenis pinjaman, sama ada bercagar ataupun tidak, akan menentukan kadar faedah dan tempoh pinjaman anda.
#2. Keupayaan Membayar Balik
Keupayaan membayar balik pinjaman adalah penting. Bank akan menilai sama ada mempunyai sumber kewangan untuk menanggung komitmen kewangan yang baru. Mereka juga akan memastikan anda mempunyai pendapatan yang stabil atau pekerjaan tetap. Kedudukan aliran tunai (cashflow) akan dinilai dengan terperinci. Petunjuk utama bagi menilai keupayaan pembayaran adalah dengan mengetahui nisbah hutang kepada pendapatan.
#3. Sejarah Pembayaran
Rekod pembayaran hutang terdahulu atau semasa akan dinilai untuk mengetahui perilaku anda sebagai seorang pembayar. Jika anda mempunyai rekod yang tidak memuaskan (bayar asyik ponteng-ponteng), maka peluang untuk mendapat pinjam baru mungkin tipis.
Saya awalnya, juga tidak faham bagaimana kita dinilai ketika membuat permohonan pinjaman (pengalaman pertama saya adalah kereta dan kedua adalah berkaitan hartanah). Saya ini jenis pemalas dulu-dulu, jadi nak senang tahu perkara macam ini, pergi satu kelas merangkumi perkara diatas ini – kelas POWER oleh AKPK.
Sebenarnya, ada lagi tips-tips yang sesuai dipraktiskan untuk menyenangkan pinjaman anda.
Insha Allah, akan datang.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid
1 Comment