Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Setelah hampir 30KM berlari pada awal tahun 2015, saya mula membuat keputusan untuk berlari lebih serius. Sangat serius. Ketika itu saya mula baca beberapa majalah-majalah berkaitan sukan marathon, buku-buku pasal marathon (Dummies for Marathon pun saya beli!) dan bertanya beberapa insan mengenai sukan ini.
Sepatutnya saya kena belajar dari awal.
Bila saya habis Towerthon KL Tower 2015, saya mengalami sakit yang sangat pada bahagian betis kanan. Berjumpa dengan doktor, mungkin disebabkan aktiviti fizikal – berpunca dari berat badan dan kaki yang menyokong berat badan.
Solusinya, saya perlukan sebuah kasut yang betul-betul khas. (Sebelum ini saya pakai Nike Flex Experience 14).
Antara Brooks dan Asics.
Saya bertanya soalan ini kepada senior saya (dia pun kuat berlari), Naam. Kasut mana saya sesuai. Dia tanya satu soalan, ‘Pada kasut lama, bahagian mana cepat haus?’ Setelah meneliti kasut lama, cepat haus di bahagian belakang.
Dia kata, ‘Brooks’. Saya pergilah Brooks Sunway Pyramid.
Ketika sampai sahaja di butik tersebut, saya ditanya – ‘Sebelum beli kasut, awak kena periksa kaki awak dahulu.’ Punyalah saya pelik, saya nak beli kasut je kot. Nak periksa apa benda? Kaki? Kasut bukan lebih kurang sama ke?
Saya diminta naik ke atas mesin ini.
Saya diminta meletakkan kaki di pelantar bawah itu, maka saya akan tahu apa sebenarnya rupa bentuk kaki saya dan kasut yang saya sesuai pakai.
Ini ‘result’ pemeriksaan kaki saya.
Terus terang, saya terkejut – saya mempunyai kaki sebelah lain, sebelah lain! Saya tak normal. (Haha) Bila saya tengok ini, rupanya berat badan amatlah penting kepada tekanan pada kaki. Baru saya faham kenapa, orang yang mempunyai badan yang berat selalu mengeluh sakit kaki!
Tekanan kaki saya banyak di bahagian belakang, itu adalah sebab mengapa kasut Nike Flex Experience saya banyak haus di bahagian belakang. Ini juga memberitahu ‘pattern’ larian saya yang back-strike / heel-strike. (Faham ke?)
Setelah beberapa minit, dengan pilihan kasut yang terhad saya memilih kasut ini sebagai teman saya berlari sehingga hujung tahun 2015.
Alhamdulillah, setakat ini saya pakai untuk latihan (maksimum sebelum puasa hari tu, 15KM) tiada lagi rasa lenguh, nak cramp la, apa la.
Rupanya SANGAT PENTING pemilihan kasut!
Nilai kasut ini, kalau dibandingkan dengan peningkatan ‘performance’ – ianya sangat berbaloi.
Nak beli kasut, ajak saya. Saya boleh membantu juga.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid.
1 Comment