Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Siapa yang membaca ini, mungkin sedang bersarapan atau duduk bersahaja di sofa empuk. Atau sedang berada di atas motorsikal, perjalanan ke pejabat.
Sesiapapun anda; status kewangan, jawatan atau tahap pengetahuan – yang pasti, anda mempunyai 1440 minit setiap hari. Dari segi kapasiti masa, kita adalah sama. Persoalan di sini, bagaimana kita menghabiskan masa kita yang bernilai.
Berapa nilai masa anda?
Jawapannya sangat subjektif, bila kita soal mengenai nilai.
Tanya seorang pelajar yang kena ‘repeat’ semester – 1 tahun adalah masa sangat bernilai.
Tanya seorang ibu yang keguguran anak – 1 bulan adalah masa sangat bernilai.
Tanya seorang peniaga kedai runcit, yang pergi cuti seminggu – 1 minggu adalah masa sangat bernilai.
Tanya lelaki yang lupa harijadi isterinya – 1 hari adalah masa sangat bernilai.
Tanya dua insan yang sedang hangat bercinta – 1 jam adalah masa yang sangat bernilai.
Tanya sesiapa yang pernah tertinggal flight – 1 minit adalah masa yang sangat bernilai.
Tanya sesiapa yang pernah eksiden kenderaan – 1 saat adalah masa yang sangat bernilai.
Tanya pelumba juara Formula 1 – 1 mili saat adalah masa yang sangat bernilai.
Saya menaip bukan nak ‘tembak’ pada sesiapa, tapi untuk peringatan diri sendiri. Semakin banyak jari saya menari di atas papan kekunci, setiap saat akan berkurang. Seringkali, saya cuba bertanya; adakah saya sudah memberi terbaik dengan masa 1440 minit yang diberi?
Itu adalah pandangan saya mengenai masa.
Saya menulis dan menaip semula bukan atas dasar saya seronok-seronok, ada pembaca di luar sana yang membaca atau ‘follower’ yang ter-inspirasi dengan perubahan hidup saya. Saya ada sebab yang kuat kenapa saya kembali menulis semula.
Ianya satu – kematian inspirasi kehidupan.
1440 minit yang diberi, saya boleh habiskan dengan senang tanpa sebarang nilai. Saya boleh jolok ATM saya, pagi saya bersarapan di Starbucks atau cafe-cafe hipster, sembang perkara yang tiada kaitan dan diselubungi asap vape. Tengahari, berpoya-poya di pusat karaoke menyanyilah 2-3 jam tanpa sedar sudah menjelang petang. Selepas itu berpeleseran di kompleks membeli belah usha-usha awek yang dedah sana-sini.
Bulan empat tahun ini, 2015. Selepas saya menghadiri IMKK (Intensif Magnet Kekayaan dan Kejayaan) oleh Dr.Azizan Osman, saya memberanikan diri berada di MMM (Millionaire Marketing Mastery) untuk menambah ilmu tentang pemasaran.
Kedua-dua seminar ini mengajar saya satu perkara yang sama; menambah nilai pada orang lain.
Seperti saya katakan, kematian adalah inspirasi kehidupan. Ayat ini umpama menyedarkan saya kembali apa pengertian kehidupan yang memberi makna. Saya berada dalam industri insurans / takaful, hanya berkisarkan mengejar wang dan taraf status. Di mana, bila saya jumpa satu titik poin – saya ‘kosong’ dan ‘hilang’.
Kemudian saya pergi ke ABC (Awareness Before Change) untuk mengenal siapa diri saya sebenar – lalu, saya mendapat satu kesimpulan yang menjadi titik permulaan saya kembali menulis.
Memberi untuk menerima.
Terus terang saya katakan, saya mahukan kehidupan yang selesa, tenang dan di redhai. Untuk menyumbang atau membina satu rumah anak yatim belum menjadi satu kemampuan lagi, apatah nak bawa satu keluarga pergi ke tanah suci. Saya berfikir, apakah satu benda yang bila saya tiada tapi boleh terus menerus memberi ‘amalan’ baik dan pahala kepada saya.
Hanya satu perkara berlegar di kepala saya – memberi ilmu yang saya ada kepada orang lain. Saya mencari peluang untuk menyumbang ilmu saya kepada orang lain. Rakan saya baru berniaga, saya bantu memasarkan servis mereka. Adik saya berniaga, saya tolong market-kan produk.
Ejen lain dari agensi lain datang kepada saya, minta tolong ajarkan ‘presentation’ – saya ajarkan. Malah lebih dari itu. Kalau ikutkan menghabiskan masa dengan mereka boleh jadi 1 hingga 2 jam. Tiada bayaran pun. Ada yang sudi, Nescafe tarik atau secawan teh tarik.
Saya seronok memberi apa yang saya ada – pengetahuan. Di situ baru saya rasa semangat dan berkobar-kobar untuk membuat kerja ejen saya. Cuma saya belum puas, saya mencari alternatif supaya apa yang telah saya ajarkan kepada orang lain boleh diberitahu kepada orang lain.
Seorang kawan saya kata; ‘Apa kata kau mulakan semula menulis blog?’
Blog.
Dahulunya, saya mempunyai blog tersendiri. Blog cerita kehidupan saya. Terfikir, dulu saya memberi inspirasi kepada rakan-rakan lain tentang kisah hidup saya ketika belajar.
Kenapa tidak kehidupan hari ini?
Kehidupan hari ini sebenarnya lebih bermakna dan banyak kisah jatuh bangun. Lebih berperisa dan banyak isinya.
Terus saya membuat domain sendiri, tanpa memikirkan kos berapa – wujudnya adibyazid.com itupun setelah lama bersembunyi di belakang nama pena lain – dandelinoid.
Jika anda tanya, kenapa saya mula menulis blog? Ini jawapan ringkas saya – mahu menambah nilai pada orang lain melalui penulisan kewangan, diri saya, kepentingan takaful / insurans dan beberapa perkara lagi saya rasa saya patut kongsikan.
Mungkin anda lihat ianya ‘poyo’, tapi saya yakin dan percaya – ianya akan berguna kepada saya apabila saya menghembuskan nafas saya terakhir kelak nanti.
Ingat, kematian inspirasi kehidupan.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid