Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Saya fahami, antara asas kewangan peribadi adalah menyusun bajet. Kita kena sentiasa berwasaspada kemana duit kita pakai – kereta, rumah, pelaburan dan simpanan hari tua. Apa ideal bajet yang sebenar? Sebenarnya banyak lagi cara penentuan bajet kewangan peribadi anda.
Dalam buku ‘All Your Worth: The Ultimate Lifetime Money Plan’ menggunakan tips atau Rules of 50 / 30 / 20. Tips ini ada EMPAT langkah utama.
Langkah PERTAMA: Pendapatan Selepas Cukai / Pendapatan Bersih.
Menarik di sini, tips ini menggunakan pendapatan selepas cukai. Bermaksud pendapatan anda memang bersih, selepas ditolak EPF (untuk kes orang Malaysia la kan yang bekerja). Kalau anda bekerja sendiri, pendapatan anda mungkin bersamaan dengan pendapatan kasar anda ditolak dengan perbelanjaan bisnes (pengangkutan, minyak, tol dll), tolak lagi dengan cukai pendapatan.
Baru anda akan dapat jumlah pendapatan yang sebenar.
Langkah KEDUA: Terhadkan KEPERLUAN Anda Sehingga 50 % Sahaja.
Lihat bajet anda. Perhatikan berapa anda habiskan pada perbelanjaan keperluan seperti barangan runcit, kelengkapan rumah, insurans dan takaful, insuran kenderaan. Jumlah perbelanjaan anda mesti tidak melebihi 50 peratus sahaja.
Di sini anda kena faham istilah KEPERLUAN & KEMAHUAN dahulu.
Apa-apa bayaran atau perbelanjaan yang berkaitan dengan keselesaan, seperti elektrik dan air, baju adalah kategori kemahuan. Boleh sahaja pakai kipas angin, dibandingkan dengan penghawa dingin. Boleh saja pakai baju cap Hari-Hari berbanding Giordano.
Apa sahaja perbelanjaan berkaitan dengan kualiti hidup anda secara terus, ia adalah keperluan anda. Makanan yang sihat, air yang bersih dan sebagainya. Elektrik boleh buat bingung. Perlu dimasukkan ke keperluan atau kemahuan? Anda kena fikirkan adakah ia berkait rapat dengan kualiti hidup anda.
Melalui buku ini, perbelanjaan terhadap kad kredit, ia dikira keperluan. Kenapa? Ia akan mempunyai pengaruh tidak baik pada ‘credit score’ anda. (Credit score adalah satu cara melihat anda ini mempunyai kewangan yang OK atau teruk)
Langkah KETIGA: Terhadkan Kemahuan Anda pada 30% Sahaja
Dibandingkan dengan gaya bajet lain, langkah ketiga paling seronok (jarang ada bajet meletakkan bajet kemahuan). Bermaksud anda boleh buat bajet untuk melancong, lepak Starbucks, makan Nandos dan pergi buat rambut.
Dalam buku ini, lain pula yang diceritakan. Definisi kemahuan di sini termasuklah pelan telefon bimbit anda (Data Plan contohnya), perbelanjaan hiburan yang memberi pendidikan sekaligus, penambahbaikan pada kereta (aksesori tambahan).
Adakalanya kita membeli Keperluan untuk menambah baik Kemahuan.
Roti adalah keperluan; Biskut Oreo adalah kemahuan. Kedua-duanya dalam kategori makanan, tapi salah satu (Oreo) adalah tidak penting sangat pun. Memang sangat ‘tricky’ menentukan apakah kemahuan dan keperluan.
Langkah KEEMPAT: Belanjakan sekurang-kurangnya 20 peratus pada Simpanan dan Bayaran PInjaman.
20 peratus untuk bayar semula pinjaman anda, simpan di dana kecemasan anda dan sudah pasti, simpanan hari tua anda.
Kalau hutang kad kredit berbaki, bayaran minima adalah Keperluan, itu termasuk dalam 50% di atas tadi. Lebih dari bayaran minimum, adalah tergolong dalam langkah keempat ini. Bayaran pinjaman kereta, dan rumah tergolong dalam langkah keempat jua.
Kalau diikutkan Rules of 50 30 20 ini, sangat sesuai untuk jumlah komitmen yang tak lebih 20 peratus. Tapi hari ini kebanyakan orang Malaysia hutang rumah dan hutang kereta adakalanya lebih dari 50%! Anda boleh ikut tips ini, sebab tips ini meletakkan bajet 20% pada simpanan dana kecemasan, simpanan dan persaraan. Bagi saya, kekuatan menggunakan bajet ini – anda boleh menyimpan dengan jumlah yang banyak.
Walaupun apa tips bajet anda pakai, pastikan 10% dari pendapatan anda disalurkan pada simpanan khas.
Selamat mencuba.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid