Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Setiap orang di Malaysia secara purata akan melalui fasa begini; habis SPM, sambung pengajian, habis belajar dan memulakan kerjaya. Ada hanya sampai peringkat sijil, diploma atau normalnya – ijazah. Nak lebih advance lagi sambung sampai Master!
Dalam tempoh merangkak meniti usia 20-an, jarang sekali didedahkan tentang pengurusan kewangan. Apa yang penting pada awal usia 20-an, yuran belajar terbayar samada mak ayah sendiri bayar atau pinjaman mana-mana yang boleh (PTPTN paling popular). Kalau anda bijak bolehlah dapat biasiswa.
Kali ini saya mahu kongsikan LIMA kesilapan yang saya pernah lalui, sejak saya sudah masuk fasa 20-an. Alhamdulillah, saya sedar kesilapan saya ketika menjadi pelajar dan sempat memperbetulkan ketika tahun ketiga pembelajaran universiti saya. Pada masa itu umur saya baru 22 tahun.
#1. Tidak Membuat Bajet Kewangan
Bila saya menjadi pelajar tajaan JPA di Korea, saya umpama ‘bekerja’. Cukup bulan, ada je duit masuk. Tak hirau sangat. Berjalan sana-sini, pergi shopping. Bila habis je duduk rumah. Tak niat pun melakukan simpanan. Dalam hati, ‘Dah kerja baru menyimpan.’
Sebenarnya, sebelum kita hendak melakukan apa-apa tindakan untuk memperbaiki kewangan kita adalah menyediakan bajet setiap bulan. Apa yang hendak dibelanjakan, berapa yang hendak disimpan. Ketika zaman belajar, sikit sahaja untuk dibelanjakan sebenarnya. Pada tahun ketiga, saya baru melakukan bajet dan mendapati duit tajaan habis untuk hiburan! Terasa amat rugi.
#2. Guna kad kredit untuk kepuasan semata-mata.
Ketika saya memulakan karier saya sebagai jurutera, memang mudah bagi saya memohon fasiliti kad kredit. Ada satu waktu saya mempunyai 4 kad kredit dalam satu masa! Pada fikiran saya, awalnya untuk memudahkan saya membeli barang atau mengisi minyak.
Saya masih ingat, saya nak beli iPad. Saya pergi sahaja ke Machine, terus swipe! Nak beli baju, swipe! Tanpa perlu fikir-fikir. Sehinggalah ada satu hari, keempat-empat penyata kad kredit muncul di dalam tong surat rumah. Baru ketika itu saya risau kemampuan saya membayar.
Terus saya pergi ke kelas AKPK, untuk mengetahui bagaimana mekanisme kad kredit dan cara mengawalnya.
#3. Mengabaikan kepentingan menyimpan hari tua.
Hari tua, dalam fikiran kita adalah apabila kita sudah sampai waktu bersara – kalau ikutkan KWSP adalah umur 55 tahun. 2 tahun pertama saya bekerja, saya hanya meletakkan tanggungjawab menyimpan hari tua pada syarikat saya bekerja – melalui caruman syarikat untuk bahagian saya di KWSP.
Saya diajar oleh mentor pelaburan hartanah saya, ditanya: ‘Berapa kita mahu bila kita bersara?’ Bila saya melihat semula caruman KWSP, melalui kiosk – dan membuat perangkaan selepas 30 tahun (saya mula bekerja pada umur 24 tahun, jadi 55 waktu bersara saya)… bagi saya jumlah itu sangatlah sikit.
Saya belajar mengenai ‘Keajaiban Dunia Ke Lapan – compounding interest.’ Saya melihat bagaimana jika saya menyimpan bermula pada usia 24 tahun, sebanyak RM100. Ketika itu, saya dapat satu idea menjadi jutawan ketika bersara – Menyimpan RM7,000 selama 7 tahun, tanpa disentuh langsung.
Dalam merancang simpanan persaraan, masa adalah kritikal. Jadi mengapa tidak menggunakan masa muda sebagai aset utama anda?
#4. Bergantung sangat kepada ibu dan bapa.
Ibu bapa mempunyai pendapatan yang terhad untuk menampung seisi keluarga. Apalagi dengan pertambahan umur pada anak dan mereka, menambahkan beban. Sebagai orang muda, anda perlu menggunakan masa ini menambah pendapatan seisi rumah.
Jika dari zaman muda lagi, anda tidak terlalu bergantung pada mereka – sebenarnya anda sedang melatih diri anda survive untuk fasa kehidupan seterusnya. Paling dekat, adalah bila anda hendak berkeluarga. Bila sahaja berkahwin, anda baru sahaja nak uruskan belanja dapur, urusan bil elektrik, Unifi dan air – anda akan mengalami kejutan kewangan.
Biar anda susah, dalam keadaan payah untuk survive hari ini. Dalam keadaan tekanan begini akan membuatkan diri anda menambah baik kualiti hidup anda. Kenapa nak menyusahkan ibu bapa anda lagi?
#5. Mengabaikan kepentingan insurans / takaful kesihatan atau seumpama dengannya.
Ibu dan ayah saya tidak membuat caruman insurans mahupun takaful untuk diri saya. Saya pun tidak tahu apa kepentingannya sehinggalah pada umur 23 tahun, kawan saya mengalami kemalangan jalan raya. Saya tahu mengenai insurans kenderaan, tapi tak tahu pula mengenai insurans nyawa diri sendiri!
Bila pulang, saya telah mengambil satu polisi Takaful dengan caruman RM200 untuk umur 24 tahun. Tahun ini, saya telah merangka semula pelan seumpama saya ambil pada usia 24 tahun – manfaat yang sama. Alangkah terkejutnya saya, untuk menikmati pelan yang saya ada sekarang saya kena mencarum RM250 sebulan!
Pertambahan usia memang memainkan peranan penting dalam merangka insurans / takaful perubatan anda. Semakin berusia, semakin sihat atau kurang sihat?
Elakkan kesilapan ini, ketika anda masih muda.
Masa muda adalah masa paling berharga. Rancang kewangan anda dengan bijak, supaya menikmati fasa kehidupan mendatang dengan lebih cemerlang.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid