Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Alhamdulillah, bulan ini adalah bulan saya dapat ‘close’ atau ‘makan’ besar. Istilah dalam dunia insurans / takaful, bermaksud dapat menjual satu polisi yang besar – sehingga beribu-ribu ringgit untuk seorang. Ianya mungkin menjadi bualan orang, tapi bagi saya ianya adalah bonus. Bukan datang selalu.
Ada ejen baru, datang kepada saya bertanya ‘bagaimana hendak dapatkan kes ‘close’ besar?’. Jadi saya kongsikan EMPAT tips 4B ini:
#1. Ber-WANG
Anda perlu target prospek yang mempunyai pendapatan setahun lebih dari kebiasaan. Kalau hari ini tahun 2015, kebiasaan adalah sekitar RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun. Jadi anda perlu mencari golongan lebih dari ini. Misalnya, pendapatan tahunan RM120,000 setahun (RM10,000 sebulan). Orang yang mempunyai wang lebihan yang banyak untuk meletakkan duit mereka dalam insurans / takaful, golongan seperti bos-bos besar sebuah kompeni ataupun seorang usahawan.
#2. Ber-USIA
Ini sudah pasti! Untuk dapatkan jumlah premium / caruman yang besar, anda perlu mencari orang yang berusia. Insha Allah, orang berusia sudah mempunyai simpanan yang banyak ataupun celik wang. Mereka mencari instrumen untuk menggandakan wang mereka demi persaraan.
Dari segi teknikal pula, golongan berusia yang mahu memulakan insurans / takaful memang memerlukan jumlah premium yang besar – berdasarkan pengiraan usia dalam menentukan nilai caruman. Pastikan cari yang tidak sakit.
#3. Ber-FAMILI
Ratio kalau anda jumpa ‘one by one’ (1 – 1) mungkin memenatkan anda. Kalau hendak cepat atau ‘close besar’, anda berjumpa dengan ketua famili yang mempunyai anak yang ramai. Kalau bapa ambil, mesti dia akan ambil satu famili. Bila ambil satu famili, premium mestilah besar. Tapi, tak semua famili mampu untuk mempunyai satu polisi satu ahli keluarga. Berusaha sebaiknya, insha Allah famili itu akan ambil satu demi satu sehingga lengkap semua famili ambil dengan anda.
#4. Ber-POLISI
Menerangkan atau menjual polisi insurans / takaful kepada orang ada polisi atau tidak ada polisi – mana satu lagi senang? Bagi saya, yang sudah ada polisi lagilah senang! Mereka sudah faham kepentingannya kenapa perlunya insurans / takaful. Cuma, di sini anda kena mahir melihat polisi yang mereka sudah ada. Kebarangkalian, polisi yang mereka ambil tidak mencukupi dengan keperluan yang mereka perlu ada.
Saya pernah menjual satu polisi lagi kepada seorang lelaki yang sudah mempunyai 7 polisi. Dia masih memerlukan polisi satu lagi, untuk kesihatan pula. Dari situ saya percaya, menjual polisi pada orang yang sudah mempunyai polisi lebih mudah.
Semoga anda jumpa orang sebegini: Ber-wang, ber-usia, ber-famili dan ber-polisi.
See you at the top!
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid