Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Alhamdulillah. Minggu lepas dapat peluang untuk berlari di Taiping Raintown Half Marathon. Walaupun buat hanya ngam-ngan je (2 minit sebelum time cut off) tapi hasil latihan akhirnya berjaya juga habiskan. Ini adalah eksperimen saya tentang beberapa perkara.
Apa yang anda lakukan sehari sebelum berlari akan memberi impak yang besar kepada anda. Anda kena berjaga-jaga tentang apa anda lakukan 24 jam sebelum acara larian esok (walaupun anda hanya ikut 5KM fun run sekalipun!)
KENA BUAT: Tidur yang sangat mencukupi.
Kebiasaannya, hari anda berlari anda kena bangun seawal mungkin (kalau night marathon, kita diskusi lain). Saya rasa nervous dan eksited esok hari – menyebabkan sukar hendak tidur. Kalau anda sudah tidur malam sebelumnya lagi, tidur yang cukup – itu sudah memadai. Senang cerita, pastikan dua hari anda tidur dengan cukup.
KENA BUAT: Kurangkan aktiviti menggunakan kaki.
Untuk berlari lebih jauh, anda kena biasakan berlari. Tapi sebelum acara berlari esok, kurangkan berlari dan banyakkan rileks iaitu duduk. Simpan tenaga dan jaga kaki untuk esok hari.
KENA BUAT: Makan makanan tengahari yang mantap.
Apa yang anda makan, itu lah tenaga yang anda dapat. Makan tengahari nasi lemak, tenaga pun macam nasi lemak! Ini adalah makanan ‘besar’ yang perlu anda jaga. Makan malam hanya makan yang ringan-ringan sahaja. Makan tengahari ini, penuhkan dengan karbohidrat dan banyakkan sayur. Pilihan saya adalah sandwich Subway.
TAK BOLEH : Cuba makanan baru.
Jangan cuba makanan baru, walaupun untuk rasa-rasa! Nanti badan anda terkejut dan perut tidak selesa. Biasakan makan makanan yang anda sudah serasi. Selalu tak makan kueh tiaw, tapi hari sebelum berlari makan kueh tiaw – siap campur kerang lagi!
KENA BUAT : Rangka strategi.
Ini apa yang saya tidak buat, anda kena buka map! Lihat laluan yang anda bakal anda lalui, sebagai persediaan mental. Saya tidak buat benda ini menyebabkan saya rasa demotivated, sebab ingatkan dah sampai rupanya belum. Kalau boleh, lihat filem motivasi berlari macam Forest Gump (feveret saya) ataupun Without Limit.
TAK BOLEH : Persiapan ‘last minute’.
Sediakan semua kalau boleh dua hari sebelum berlari. Jangan esok paginya baru nak siapkan semua benda. Anda kena ingat, anda kena mulakan hari dengan tenang dan fokus pada larian – bukan habiskan tenaga anda untuk cari stoking pagi-pagi.
KENA BUAT : Penuhkan minda dengan perkara positif.
Baca buku-buku motivasi dan penuh MP3 (kalau anda jenis suka dengar lagu ketika berlari) dengan lagu-lagu yang positif.
Ini adalah hasil bacaan saya dan pengalaman saya. Ketika saya menulis ini, lagi beberapa hari sebelum Full Marathon Standard Chartered 2015. Perasaan? Rasa giler.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid