Bengkel Urus Wang D.I.Y. Gen Y oleh Alwi Adam (Tajuk Skema)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Alhamdulillah, hari ini saya tidak ke perhimpunan Bersih. Saya diberi rezeki masa untuk menghadiri Bengkel Urus Wang DIY oleh Alwi Adam. Mungkin ada yang pelik, kenapa saya nak masuk ke bengkel ini kerana ada yang beranggapan ‘content’ yang bakal disampaikan kebanyakan sudah difahami oleh saya.

Tujuan saya mendaftarkan diri, adalah kerana ingin mendengar satu sesi mengenai pengurusan kewangan oleh bangsa saya sendiri, tambahan ianya juga melihat cara orang lain mengurus wang (ada banyak stail dan formula nak urus wang peribadi ni).

Bengkel ini membantu anda memahami 11 perkara urus wang:

  1. Analisa kewangan peribadi.
  2. Matlamat kewangan.
  3. Perancangan bajet.
  4. Pengurusan risiko dan takaful.
  5. Tabung kecemasan.
  6. Pelaburan.
  7. Persaraan.
  8. Zakat dan cukai.
  9. Pendidikan anak.
  10. Pengurusan hutang.
  11. Perancangan pusaka.

Kalau ingin belajar kesemua benda di atas, secara terperinci alamat bukan sehari atau dua hari punya cerita. Tapi kesebelas topik ini berjaya dirangkumi dalam sesi sehari dan bayaran komitmen yang sangat (bagi saya) sangat murah! Baru saya faham kenapa ramai yang ‘request’ bengkel ini.

Sebenarnya apa yang dibincangkan atau diberitahu dalam bengkel ini. Mari saya perincikan satu persatu. (ini saya ringkaskan, kalau nak lebih lanjut ada lebih baik pergi terus ke bengkel ini)

#1. Analisa Kewangan Peribadi

Kita kena tahu dimana kita berada sebelum kita pergi kemana destinasi yang kita mahu. Senang cerita, anda kena tahu keadaan kewangan anda sebelum anda hendak melabur atau melebur. Atau samada anda ini berada dalam keadaan ‘tenat kewangan’, cukup-cukup makan atau sudah kaya sebenarnya. Dalam analisa kewangan, dua analisa perlu dibuat:

  • Analisa Aliran Tunai (cashflow) – untuk melihat lebihan pendapatan, aliran positif lebih 10% dan merancang perjalanan keluar masuk wang.
  • Nilai Aset Bersih (net worth statement) – merancang ke arah indikator ‘bebas kewangan’ dengan nisbah kemewahan, dengan memfokuskan pada nilai aset dan liabiliti.

Di sini, mungkin ada yang terkejut sebenarnya status kewangan anda sangat tenat dan melarat.

#2. Matlamat Kewangan

Setelah anda mengetahui apakah status kewangan anda, anda kena tahu matlamat kewangan; kenapa beria-ia nak urus kewangan, nak urus hutang, nak dapat pendapatan tambahan. Matlamat terbahagi kepada tiga bahagian:

  • Matlamat jangka pendek (3 tahun) – membentuk sumber dana kecemasan, membeli kereta, perkahwinan ataupun melancong.
  • Matlamat jangka sederhana (3-10 tahun) – membeli rumah, ingin memulakan perniagaan atau pelaburan (pertambahan aset).
  • Matlamat jangka panjang (lebih 10 tahun) – dana persaraan, dana pendidikan anak-anak dan pelaburan (pertambahan aset).

Dengan mengetahui matlamat kewangan anda, sudah boleh merancang apa yang hendak dilakukan. Dalam bengkel DIY ini, fokus utama mempunyai wealth ratio lebih 168 (anda kena hadiri bengkel ini, untuk mengetahui maksud 168) dengan melalui 4 level penting:

  1. Bebas Hutang (Debt Freedom)
  2. Bebas Kewangan Tahap 1 (Financial Freedom Level 1) – jumlah pendapatan pasif lebih dari perbelanjaan.
  3. Bebas Kewangan Tahap 2 (Financial Freedom Level 2) – nilai aset bersih berjumlah RM1 juta.
  4. Bebas Kewangan Tahap 3 (Financial Freedom Level 3) – wealth ratio lebih dari 168.

#3. Perancangan Bajet

Dalam merancang bajet, anda kena bertindak seperti ketua – mengarahkan wang anda hendak pergi ke mana. ‘You should tell where your money should go instead of wondering where it went’ – pegang ayat ini. Di sini ada beberapa tips yang bagus dalam perancangan bajet.

  1. Kumpul segala penyata kewangan.
  2. Rekod semua perbelanjaan.
  3. Senaraikan perbelanjaan.
  4. Bahagikan perbelanjaan kepada dua bahagian: tetap dan fleksi.
  5. Kira jumlah pendapatan dan perbelanjaan.
  6. Pantau perbelanjaan, dan bandingkan.
  7. Gunakan Excel, untuk melihat ‘trend’ anda berbelanja.
  8. Hidup berkeluarga – suami beri belanja, dan isteri adalah pengawal.

Boleh guna beberapa apps yang disarankan seperti, Spending Tracker atau Money Wise. Pastikan anda rekod ke mana wang anda dibelanjakan selama 40 hari, dan review selepas itu. Kalau anda rasa telah berbelanja lebih pada makanan, cuba kurangkan 20% daripada jumlah itu.

#4. Pengurusan risiko dan takaful.

Dalam pengurusan kewangan peribadi, risiko yang paling utama  adalah jika apa-apa berlaku pada diri anda sendiri. Sebagai manusia, kita akan berhadapan dengan risiko seperti kematian, umur tua, penyakit dan kecacatan. Malah, hilang pekerjaan. Adalah lebih baik, kita menganalisa keperluan takaful sebab tidak mahu bergantung / menyusahkan orang lain, ada orang lain sedang bergantung pada diri kita dan juga hutang-hutang yang perlu anda selesaikan.

Saya tertarik kaedah keperluan takaful:

  1. Kaedah Perbelanjaan Sebulan – pengiraan belanja sebulan didarabkan dengan berapa bulan mahu dilindungi. Minimum 1 tahun atau 12 bulan berdasarkan nas Quran.
  2. Kaedah ‘Capital Protected’ – pengiraan belanja tahunan didarabkan dengan 11 tahun. 1 tahun untuk perbelanjaan tahun pertama, Lebihan simpanan di dalam pelaburan. Perbelanjaan tahun kedua melalui dividen, jadi modal awal tidak habis.

#5. Tabung Kecemasan

Sebelum anda melabur, sepatutnya perlu utamakan memenuhkan tabung kecemasan. Tabung kecemasan adalah lebih baik di simpan di tempat yang tidak menyusutkan nilai modal awal – contoh: Tabung Haji / ASB. Berapa nilai tabung kecemasan perlu anda ada?

  • Rule of thumb : Perbelanjaan Bulanan X Unemployment Rate. Hari ini, unemployment rate sekitar 3%. Jadi perbelanjaan bulanan didarabkan dengan 3 bulan.
  • Keberangkalian diberhentikan / bertukar kerja : 6 hingga 12 bulan perbelanjaan.
  • Untuk berhenti dengan tujuan hendak berniaga : 18 hingga 24 bulan perbelanjaan.

#6. Pelaburan

Sesudah anda memenuhi tabung kecemasan, anda sudah boleh bersedia untuk melabur. Sebelum anda melabur, anda kena kenalpasti ‘risk appetite’ anda.

  • Agresif (Aggressive)
  • Sederhana (Moderate)
  • Konservatif (Conservative)

Di sini anda kena faham konsep risiko dan pulangan (return). Berdasarkan risiko yang anda suka, ada beberapa pilihan untuk melabur. Contoh yang biasa kita dengar seperti:

  • Saham
  • Unit Amanah
  • Hartanah
  • Komoditi
  • Bisnes
  • Simpanan Tetap
  • Bond / Sukuk
  • Investment Linked Takaful

Bagaimana mengira pulangan pelaburan? Ada beberapa cara mengira mengikut instrumen pelaburan yang telah anda pilih. Kalau melabur dalam unit amanah, anda boleh fahamkan mengenai Total Net Dollar Gain, SImple ROI (Return of Investment) dan Dividen Yield. Di sini juga anda didedahkan dengan Peraturan 72 (Rule of 72).

Tapi, untuk pelaburan hartanah, anda kena gunakan Pulangan Sewa (Rental Yield), Cash on Cash Return, Payback Period ataupun Capital Gain / Long Term Return. Ini juga bergantung apa jenis segmen hartanah anda mahu.

Secara amnya, asset allocation strategi adalah lebih baik untuk menguruskan risiko pelaburan (tidak semua wang anda dilaburkan satu tempat sahaja). Ini adalah contoh asset allocation (jumlah 100%):

  • Unit amanah – 6%
  • Saham – 49 %
  • Komoditi – 12%
  • Hartanah – 24%
  • Tunai – 9%

#7. Persaraan

Di sini ada model untuk mengira jumlah wang yang perlu anda dan guna untuk kira, berapa jumlah wang yang perlu ada untuk menyokong persaraan anda. Tidak praktikal untuk saya terangkan disini.

#8. Zakat & Cukai

Dalam perancangan zakat dan cukai, pertama sekali anda kena tahu anda berada di mana; samada anda sedang bekerja dengan sebuah syarikat, atau bekerja sendiri atau mempunyai syarikat. Cara pengiraan berbeza-beza.

Dengan menggunakan pendapatan perolehan, anda kena tentukan kadar cukai (lihat di LHDN untuk lebih faham kadar cukai 2015). Selepas itu, anda kena lihat kolum-kolum pelepasan cukai (senarainya terlalu panjang). Paling popular, adalah pembelian buku sehingga RM1,000, SSPN, pembelian peralatan sukan dan sebagainya.

Cukai adalah perkara yang paling sukar difahami, tapi anda kena kuasai.

#9. Pendidikan anak.

Boleh gunakan kiraan wang persaraan untuk pendidikan anak. Di sini ada beberapa cara untuk merancang pendidikan anak menggunakan instrumen kewangan yang sedia ada, tapi anda kena faham risikonya dan karektornya

  • SSPN – mendapat pelepasan cukai RM6000
  • Takaful Pendidikan – mendapat pelepasan cukai maksimum RM3000
  • Unit Amanah – tidak mendapat pelepasan cukai, boleh bagi pulangan tinggi.
  • Hartanah – tidak mendapat pelepasan cukai, potensi pulangan tinggi, dijimatkan dengan disewa kepada orang lain.
  • Saham – pelepasan cukai dalam bentuk ‘capital gain’ dan potensi pulangan tinggi (risiko pun tinggi)

#10. Pengurusan hutang.

Dalam strategi pengurusan hutang, pertama sekali anda kenalpasti hutang itu adalah hutang baik atau hutang jahat. Hutang baik adalah hutang membeli aset (membeli rumah), dan hutang jahat membuat liabiliti seperti kad kredit, personal loan dan lain-lain. Ada tiga strategi utama urus hutang.

  1. Debt Consolidation Strategy – kumpulkan beberapa hutang dalam satu hutang. Kaedah biasa ialah overlap.
  2. Debt Snowball Strategy – bayar dan habiskan hutang yang mempunyai baki terendah dahulu. Bagus untuk efek psikologi.
  3. Debt Avalanche Strategy – bayar dan habiskan hutang mempunyai kadar interest yang tinggi dahulu, bayar faedah yang paling minimum.

Tak semestinya, anda pilih satu dan ‘stick’ sampai habis. Review strategi hutang anda bila keadaan seperti dapat bonus, atau duit derma, contohnya.

#11. Perancangan Pusaka

Hari ini banyak ‘harta beku’ atau harta yang tidak dituntut, disebabkan kurang pendedaham perancangan pusaka. Ada beberapa instrumen dalam perancangan pusaka.

  • Wasiat – 1 / 3 harta kepada bukan waris, sedekah dan wakaf.
  • Hibah – beri harta semasa masih hidup.
  • Amanah – melantik pemegang amanah untuk menguruskan harta dan tidak jatuh kepada faraid.
  • Takaful – meletakkan waris sebagai penama.
  • KWSP – meletakkan waris sebagai penama.
  • Harta sepencarian – surat hak milik sepencarian suami dan isteri. Maksimum 50%.

Secara jujurnya, hendak faham satu persatu dalam masa tidak sampai 8 jam – agak teruja. Penyampaian menekankan satu persatu sub topik adalah tugas terbaik. Saya ingin promosikan bengkel urus wang DIY ini, kepada orang yang berminat tentang kewangan peribadi.

Untuk pergi ke kelas / seminar berkaitan 11 tajuk di atas, anda boleh bayar beribu-ribu dan belajar berhari-hari di tempat lain (saya pernah ke kelas seumpama begini, 4 hari, bayaran lebih mahal daripada ini). Itupun kalau anda mampu dan mempunyai masa yang banyak.

Kalau ada peluang kelas ini di masa hadapan, silalah rebut-rebutkan diri. Jangan contact saya, pergi The Ezaz Academy.

Memberi untuk menerima.

Adib Yazid

Advertisement

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s