Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Kepada yang masih bercuti, selamat bercuti. Ada yang pulang ke kampung atau pulang ke kota semula, saya ucapkan selamat berhati-hati. Tak kisah, kereta anda puluhan ribu atau ratusan ribu yang penting sekali adalah sentiasa hormat menghormati pemandu yang lain.
Destinasi anda tidak lari, cuma cepat atau lambat.
Setiap kali masuk musim cuti panjang, destinasi yang ditujui kebanyakannya adalah kampung halaman. Saya, kampung ‘halaman’ taklah sejauh Kota Bharu ataupun Alor Setar. Ianya dalam satu negeri je, Selangor. Musim cuti, waktu boleh menyusur jalan dengan lapang.
Kita bergerak untuk pergi ke arah sesuatu. Begitu juga dengan kehidupan kita. Kemana kita mahu pergi, itulah destinasi kita yakni impian kita. Kenderaan yang kita guna, menentukan seberapa cepat atau lambat hendak sampai ke destinasi kita. Bagi saya, kenderaan itu bermaksud apakah karier yang anda bawa.
Walaupun saya belum mencecah usia siri-3 (30 tahun ke atas), saya sedar satu perkara. Mencapai suatu impian, apakah karier kita ada amatlah penting.
Karier ini bukanlah semata-mata satu pekerjaan. Apa kerja yang popular? Juruterbang, doktor, akauntan, peguam atau jurutera. Penyapu sampah? Penjual air di pasar malam? Adakah itu satu pekerjaan atau karier?
Bagi saya karier adalah apa yang anda buat.
Saya yakin, setiap orang mempunyai bakat dan skil tertentu. Kebolehan ini membolehkan mereka memilih apakah karier yang mereka mahukan. Bakat dan skil ini, mereka boleh tukarkan kepada duit. Samada, anda bekerja dengan orang lain dan mereka (syarikat / kompeni) menggunakan bakat dan skil yang anda ada, lalu mereka membayar dalam bentuk gaji – tambahan, dengan syarat masa diri anda perlu diberikan kepada syarikat / kompeni itu.
Atau, anda memilih – anda, diri sendiri menggunakan skil dan bakat yang anda ada, diri sendiri yang mengasah skil dan bakat dan anda dibayar dalam bentuk bayaran yang setimpal – tapi tiada syarat anda terikat dengan masa orang lain.
Saya percaya pada diri sendiri.
Ketika saya mula bekerja, saya tiada skil dan bakat. Lama kelamaan, saya mempunyai beberapa skil kerja dan bakat dalam beberapa perkara. Ianya datang dari kerja susah dan lebih masa bersama kompeni bekerja.
Karier saya sebagai jurutera, adalah ‘kenderaan’ pertama saya untuk bermula. Mengenal dunia, mengenal orang dan mengenal diri saya. Satu hari saya berfikir, adakah karier ini membantu saya bergerak ke arah destinasi saya, iaitu impian saya.
Ya, boleh! Tapi ianya memakan masa yang lambat. Mungkin ketika saya sudah sampai ke destinasi saya, rambut sudah hilang dan gigi sudah tiada.
Saya terfikir apakah ada karier lain yang boleh membantu ‘melajukan’ diri saya ke arah destinasi saya? Ada – ianya dengan melakukan bisnes.
Ini adalah permulaan saya kenapa memilih karier bisnes berbanding karier sebelum ini. (Saya tak suka sebut ‘makan gaji’, sebab saya tak makan pun gaji tu)
Saya faham, rata-rata hari ini mempunyai destinasi yang hampir saya sebagai seorang lelaki berumur 28 tahun. Mahukan sebuah rumah besar, kereta besar, melancong ke sana sini dan mempunyai pendapatan seorang jutawan.
Destinasi kita adalah sama, cuma kenderaan kita naiki berbeza. Semua impian boleh dicapai, tapi seberapa pantas kita mahu capai?
Tanya diri sendiri, lagi berapa hari menjelang 2016.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid