Diari Ejen – Nasihat Bernilai RM50,000

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Anda mungkin tertanya kenapa saya kerap menyebut selamat pagi, walaupun adakalanya saya menulis ketika waktu tengahari dan malam? Ianya adalah sebagai ‘anchor’ kepada permulaan hari baru.

Ketika habisnya solat Maghrib sebentar tadi, saya memikirkan ayat yang dituturkan oleh klien saya petang tadi. Hari ini walaupun ramai yang sibuk pulang ke kampung, saya memilih untuk bekerja – berjumpa klien saya, dan hantar polisi mereka.

Saya beruntung kerana mempunyai klien yang mempunyai reputasi dalam bisnes, walaupun tidak banyak tapi klien ini yang sentiasa mengingatkan saya supaya berada lama dalam bisnes ini. Klien ini, saya rahsiakan namanya – memang saya perlu rahsiakan. Saya gelarkan M.

M adalah bekas jurutera yang pernah bekerja di syarikat multinasional. Macam mana saya  M boleh jadi klien saya adalah pada tahun 2013, bulan puasa. Saya telah diminta untuk terangkan tentang apakah itu insurans / takaful sebenarnya. Dari diri beliau, datanglah pula isterinya. Tapi isterinya telah mempunyai polisi sejak tahun 2003 lagi! Saya hanya bantu tentang pengeluaran nilai tunai dalam polisi tersebut dan pindahkan ke Tabung Haji.

M, bagi saya adalah lelaki yang menarik. Dari jurutera berhenti dan buat bisnes jualan baju dan pakaian sukan. Selepas beberapa ketika, buat beberapa pelaburan dan bisnes lain. Terbaru, M terlibat dengan bisnes konsultansi. Alhamdulillah, pandangan saya M telah berubah.

Dalam banyak kali berjumpa dengan M, beliau selalu memberitahu cerita kegagalan dia dalam bisnes cybercafe. Kegagalan itu adalah titik mula beliau faham dunia sebenar bagaimana, apatah lagi nilai kegagalan itu adalah RM50,000!

Terus terang, saya memang gemarkan cerita pengalaman. Cerita begini memang sukar hendak tahu di buku-buku atau mana-mana media utama. Kebanyakan media, lebih menumpukan pada cerita kejayaan sahaja.

Hari ini saya sekali lagi berjumpa dengan beliau, dan berkongsi beberapa cara untuk ‘survive’ dalam apa dunia bisnes kita ceburi. Beliau telah memberitahu prinsip beliau dalam bisnes iaitu EMPAT perkara sebagai seorang yang menjalankan bisnes perlu mahir:

  1. Kewangan
  2. Pasaran
  3. Operasi
  4. ‘Demand’

 

Jatuh dan naik sesebuah bisnes bergantung besar pada nilai aliran tunai. Sentiasa jaga aliran tunai bisnes, tidak kisah samada anda bisnes kecilan atau sudah besar. Beliau selalu lihat, bisnes yang baru memang cepat buat untung. Tapi beliau selalu lihat, ramai menggunakan keuntungan ini untuk kepuasan yang cepat – terus beli kereta, terus beli rumah, terus beli macam-macam.

3 tahun pertama, adalah fasa yang masih baru. Sentiasa amalkan ‘dam management’, iaitu sentiasa buat benteng kewangan. Simpan keuntungan, walaupun sedikit.

Kewangan perlu dijaga oleh seseorang yang sangat dipercayai. Orang dipercayai sangat sukar diperolehi.

Mengenai pasaran, beliau katakan bahawa ‘networking’ adalah sangat penting. Jaga ‘networking’, lihat siapa sebelah anda. Jika anda sudah ada klien, tambah nilai pada servis kita lakukan. Beliau memberi contoh kepada saya, bahawa beliau belajar ‘value added’ daripada saya sendiri. Walaupun pekerja beliau selalu mengomel tentang buat lebih daripada orang lain, beliau percaya lakukan lebih daripada pesaing menyebabkan pelanggan akan setia bersama kita.

Kawal operasi. Sentiasa wujudkan sistem dalam kerja. Untuk mahir dalam operasi, kita kena berkuli dahulu. Walaupun bisnes adalah milik kita, anggap kita bekerja dengan bisnes kita. Untuk cepat belajar memahami operasi sesuatu bisnes, beliau nasihatkan cari mentor yang tepat. ‘Always ask a right question to the right people’.

Akhir sekali, kenalpasti ‘demand’ atau permintaan.

Dalam bisnes berkaitan dengan servis, permintaan itu ada tapi tiada siapa yang mahu teroka. Sebagai seorang usahawan, kena sentiasa cipta waktu dan keadaan orang lain meminta servis kita. Ini berbalik semula pada pemasaran.

 

Saya dijemput ke majlis akikah anak beliau yang kedua. Sebelum saya pulang dari rumah beliau hari ini, saya katakan ini adalah nasihat bernilai RM50,000.

Anak kedua beliau telah saya beri perlindungan insurans / takaful. Saya percaya, saya akan ‘grow together’ bersama klien saya. Insha Allah, beliau adalah tiket saya ke MDRT.

 

Memberi untuk menerima.

Adib Yazid

Leave a Comment