Assalamualaikum dan selamat pagi.
Sebelum ini, saya ada kongsikan di Facebook peribadi saya mengenai seorang nenek meminta saya menemani beliau makan tengahari. Dari sesi persembangan bersama beliau, saya telah merumuskan bahawa;
PERSARAAN ADALAH PERKARA SERIUS
Saya dulu tidak terkecuali, buat apa nak menyimpan untuk hari tua – walaupun itu pernah menjadi tagline sebuah dana persaraan. Anda mungkin sudah kerapkali diberitahu (saya berharap anda sudah tahu) bahawa hampir 80 peratus pencarum KWSP sudah kehabisan dana hanya selepas 3 tahun persaraan. Jika anda memilih untuk bersara pada usia 55 tahun, pada usia 58 tahun – dana persaraan anda akan habis.
Kalau anda mempunyai bisnes sendiri, atau anak yang sudi membantu itu sangat bagus. Sebenarnya, lebih baik anda mempunyai aset-aset tertentu yang boleh menampung kewangan anda bila anda sudah menjejaki usia persaraan.
Sebab itu hari ini, banyak instrumen pelaburan untuk persaraan telah diperkenalkan. Saya mengambil contoh PRS (privare retirement scheme), opsyen lain selain KWSP (kumpulan simpanan wang pekerja). Ada juga yang memilih pelaburan hartanah, pelaburan amanah saham (unit trust) atau membeli syer-syer syarikat yang boleh berdiri dengan jayanya.
Kesemua instrumen ini adalah untuk membina dana persaraan yang besar, supaya apabila anda bersara – anda boleh bersara dengan tenang atau nama lain ‘peace of mind’.
Jadi, berapakah amaun yang anda perlukan untuk bersara? Adakah mempunyai RM200,000 sudah memadai untuk bersara? Adakah jumlah RM1,000,000 (1 juta) sudah cukup? 3 juta, 4 juta, 5 juta? Atau anda tak kisah langsung mengenai persaraan?
Kalau anda tidak kisah, saya minta anda lihat ibu bapa anda sekarang – adakah anda inginkan ibu bapa anda bekerja pada usia 50-an, 60-an atau 70-an.
Kali ini saya akan kongsikan salah satu cara yang saya pelajari sendiri, bagaimana mengira jumlah dana kewangan yang diperlukan untuk persaraan.
Mengira Dana Persaraan Menggunakan TVM (time-value-money)
TVM – time value money. Bahasa melayu, kalau saya terjemahkan secara langsung adalah masa nilai duit. Apa maksudnya? Apa kaitan duit, nilai dan masa?
Untuk menyenangkan pemahaman anda mengenai TVW saya gunakan analogi ini.
Tahun 1999, harga sebungkus nasi lemak biasa hanyalah 50 sen sahaja (di area Klang). Tapi hari ini, 2016 iaitu selepas 17 tahun harga sebungkus nasi lemak biasa berharga RM1.
Ini adalah contoh TVM. Ia bukan sekadar nasi lemak, tapi merangkumi nilai duit yang kita pegang. Khabarnya, RM50 sudah beli macam-macam di pasaraya pada tahun 1995. Tapi RM50 boleh beli 2-3 barang sahaja.
Jadi, bagaimana mahu gunakan TVM mengira dana persaraan? Pertama sekali, anda perlu beberapa maklumat dan peralatan / aplikasi untuk mengira.
- Berapakah pendapatan anda setahun?
- Berapa umur anda hari ini?
- Pada umur berapakah anda mahu bersara?
- Berapa peratus kenaikan pendapatan anda setiap tahun (anggaran jika baru bekerja / menggunakan kadar inflasi negara)?)
- Berapa kadar inflasi diumumkan oleh negara setiap tahun?
- Soalan ‘tricky’, rasa-rasa sampai umur berapakah anda boleh hidup?
Untuk kes untuk belajar (case study), saya buat anggapan sebegini:
- Pendapatan sebulan saya adalah RM3,000. Jadi, pendapatan setahun saya adalah RM3,000 x 12 bulan : RM36,000
- Umur saya adalah baru sahaja 25 tahun.
- Saya membuat keputusan akan bersara pada umur 55 tahun, iaitu 30 tahun daripada umur saya sekarang.
- Saya baru bekerja, belum merasai kenaikan pendapatan.
- Saya menggunakan anggaran inflasi negara tahunan adalah 4% setiap tahun.
- Pengalaman saya, dalam keluarga saya yang paling lama hidup adalah datuk saya. Saya anggap saya akan hidup sehingga umur 80 tahun, iaitu 25 tahun selepas tahun persaraan.
Berdasarkan maklumat ini, saya lakarkan pelan persaraan saya.
Okay, mula-mula anda perlu ada:
- Kalkulator Financial. ATAU
- Aplikasi di Apple Store / Google Play yang menawarkan Financial Calculator secara percuma.
Pilihan saya adalah aplikasi, Ez Calculator.
Langkah Pertama : Mengetahui Gaji Terakhir pada Umur Persaraan
Saya hari ini berumur 25 tahun. Saya telah membuat keputusan bersara pada umur 55 tahun. Bermakna, ada lagi 30 tahun lagi akan bersara. Saya tidak pernah merasai kenaikan gaji lagi, jadi saya menggunakan inflasi negara sebagai tanda aras iaitu 4%.
Masukkan;
- Present Value PV (gaji hari ini) : RM36,000
- Future Value FV (gaji pada umur persaraan) : FV RM (belum tahu lagi)
- Period, n (jangkamasa sebelum bersara) : 30 tahun
- Rate, i (kadar inflasi) : 4% setahun
Langkah Kedua: Mengetahui Keperluan Pendapatan Setahun ketika usia persaraan.
Apabila anda sudah mengetahui berapa potensi gaji anda pada usia persaraan iaitu 55 tahun, anda perlulah mendarabkan gaji terakhir itu dengan 2 / 3.
Kenapa 2 / 3? Bukan separuh, bukan suku?
Sepatutnya, 1 / 3 daripada pendapatan sahaja diperlukan untuk komitmen hutang piutang. Jadi, pada umur 55 tahun saya beranggapan saya sudah menyelesaikan kesemua hutang-hutang. Apa yang perlu adalah 2 / 3 daripada jumlah gaji sahaja untuk melangsungkan kehidupan.
Jadi jawapan yang saya dapat pada Langkah 1;
RM 116,762 x (2/3) : RM 77,841 / setahun
Langkah Ketiga : Mengetahui Dana Persaraan sepatutnya.
Apabila anda sudah tahu, bahawa anda hanya perlukan RM77,841 setiap tahun ketika usia bersara, anda juga kena tahu berapa umur anda boleh capai. Saya beranggapan saya akan hidup sehingga umur 80 tahun.
Saya membuat anggapan 80 tahun atas sebab dalam keluarga saya, datuk saya telah mencapai usia 80 tahun. Tambahan, anggapan kadar inflasi negara setiap tahun adalah 4 peratus.
Masukkan;
- Present Value PV (gaji terakhir tahunan sebelum bersara) : RM (belum diketahui)
- Payment, PMT (pendapatan tahunan akan diberi setiap tahun) : RM77,841
- Future Value FV (tidak digunakan) : Abaikan.
- Period, n (jangkamasa sehingga mati) : 25 tahun.
- Rate, i (kadar inflasi) : 4% setahun
Apabila anda mengira ini, jangan terkeliru. Pastikan anda memilih MODE Beginning berbanding MODE End.
Kalau anda mahukan pendapatan diberi pada awal tahun, anda perlulah memilih MODE Beginning. Manakala, jika anda mahukan pendapatan anda diberi pada hujung tahun, anda perlulah memilih MODE End. Untuk kes dana persaraan, MODE Beginning adalah lebih realistik. (Anda boleh ‘check’, mode berbeza akan menghasilkan hasil yang berbeza)
Jadi melalui TVM, saya memerlukan RM1,264,679 ketika usia persaraan untuk memastikan saya bersara dengan selesa. Apabila saya melihat angka ini, sudah pasti saya terkejut. Apa yang boleh saya buat untuk mencapai angka 1 juta ini?
Ada banyak instrumen yang boleh membantu anda mencapai amaun RM1.2 juta ini. Contoh saya boleh beri adalah:
- Hartanah bernilai RM200,000 sebiji rumah. Anda perlukan 6 biji rumah.
- Menyimpan dari sekarang, anda boleh gunakan TVM berapa anda perlu simpan sebulan untuk capai RM1.2 juta pada umur 55 tahun.
- Mula melabur di saham-saham syarikat.
- Pelan insuran / takaful berkaitan pelaburan atau fokus kepada pelaburan.
- Membina empayar bisnes yang menghasilkan pendapatan RM70,000 setiap tahun.
Boleh faham apa yang saya cuba sampaikan dalam entri ini?
Saya yakin anda pun akan terkejut dengan dana persaraan yang anda perlukan ketika bersara. Tak apa kalau anda sudah tersedar hari ini, lebih baik daripada ‘tersedar’ bila anda sudah mencecah usia persaraan.
Memberi untuk menerima.
Adib Yazid