Assalamualaikum dan selamat pagi.
Buat baik adalah lumrah manusia. Keinginan dan nafsu manusia juga membolehkan seseorang terjerumus untuk melakukan kesalahan. Kadangkala, kita tak tahu kita sedang melakukan kesilapan sehinggalah sampai satu masa anda ditegur bahawa itu silap dan salah.
Norma manusia, bukan semua adalah perfek / sempurna. Pasti ada melakukan kesilapan, sekecil-kecil sehingga ada orang melihat ianya remeh atau sebesar-besar, yang boleh membawa kepada tindakan undang-undang negara.
Sebagai ejen yang sentiasa berdepan ramai klien atau pelanggan, sudah pasti ada beberapa salah laku yang dirasakan, perlu dikurangkan atau dielakkan.
Kali ini saya akan kongsikan LAPAN salah laku atau kesalahan yang kerap dilakukan oleh ejen insuran / takaful yang anda temui.
#1. Menyaran anda menandatangani borang permohonan yang kosong atau tidak lengkap.
Borang permohonan sebaik-baiknya di isi oleh si pemohon insuran / takaful. Sudah pasti proses mengisi borang itu, terlalu banyak dan banyak perkara berulang-ulang. Kenapa anda disarankan mengisi borang permohonan yang sudah lengkap?
Supaya anda faham kandungan yang ada dalam borang permohonan tersebut. Sebab itu anda digalakkan mengisi borang permohonan dihadapan ejen yang anda jumpa. Sudah pasti untuk mengurangkan kesilapan mengisi borang permohonan atau anda boleh sahaja terus bertanya jika ada sebarang info / maklumat yang anda tidak faham.
#2. Mengenakan premium / sumbangan yang tidak tepat, beza ketika apa ejen cerita.
Pada awal anda berjumpa, anda dan ejen anda sudah mempersetujui contohnya, anda mahukan pelan yang carumannya RM300/sebulan. Ejen itu juga sudah memberitahu apa manfaat yang anda bakal perolehi melalui caruman tersebut.
Tapi setelah polisi diterima, anda baca polisi bahawa polisi caruman anda adalah RM400/sebulan – bukan seperti yang anda berdua persetujui. Apabila berlaku begini, sebaiknya anda pulangkan semula polisi dengan serta merta melalui cawangan-cawangan syarikat insuran / takaful. Sebenarnya, anda diberi masa 14 hari selepas menerima polisi untuk periksa samada manfaat dan nilai caruman adalah sama seperti yang dibincangkan bersama ejen anda.
#3. Ejen menandatangani pihak anda, atau lebih berat tanpa kebenaran anda.
Apabila anda sudah mengisi maklumat yang berkaitan dalam borang permohonan / cadangan insuran atau takaful, anda perlu menandatangi borang tersebut. Anda mungkin sibuk untuk berjumpa ejen anda atau terlalu mempercayai ejen anda, anda telah memberi kebenaran secara ‘verbal’ kepada ejen untuk menandatangani bagi pihak anda.
Keadaan seperti ini, sebenarnya tidak dibenarkan. Anda sendiri yang memohon, maka anda jugalah yang perlu menandatangani. Jika anda tiada masa langsung untuk berjumpa ejen anda (atau lokasi kedua-duanya terlalu jauh), anda boleh sahaja meminta ejen anda menghantar set borang permohonan kepada anda melalui pos.
Tapi sebaik-baiknya, berjumpalah ejen anda.
#4. Memberi maklumat yang salah atau salah cara memberi tahu.
Salah laku ketika memberi maklumat dalam proses jualan insuran / takaful, rationya adalah amat tinggi. Apatah lagi, apabila anda berjumpa dengan ejen yang baru. Maklumatnya mungkin benar tapi tidak beberapa tepat.
Jika anda berada dalam situasi ini, minta ejen itu sediakan Product Disclosure Sheet (PDS) atau Sales Quotation (SQ) kepada anda sebelum bertemu anda. Dengan menggunakan PDS atau SQ tersebut, minta ejen anda terangkan satu persatu.
Anda boleh gunakan laman web, adibyazid.com untuk mencari maklumat lengkap berkaitan insuran / takaful.
#5. Tidak menanyakan soalan kesihatan kepada anda, tidak mencungkil sejarah sakit anda.
Di luar sana, ada ejen yang memberi pendekatan secara profesional. Sudah pasti ada jenis yang ‘hard selling’, tidak kisah apa berlaku kepada anda pada masa depan seperti kes tuntutan boleh ke tidak, asalkan transaksi kewangan duit itu masuk ke poket mereka!
Insuran / takaful perubatan adalah sangat ‘tricky’. Anda sebagai seorang pemohon yang tidak mahu keadaan susah di masa hadapan apabila menggunakan kad medikal, sebaik-baiknya anda beritahu keadaan anda seperti:
- Sakit-sakit yang serius sebelum ini.
- Pernah melakukan pembedahan sebelum ini.
- Pernah dimasukkan ke hospital sebelum ini.
- Pernah didiagnosis masalah kesihatan.
Lihat apa respon ejen itu kepada anda. Jika mereka kata, tak perlu ‘declare’ – sila berhati hati.
#6. Tidak memberitahu maklumat sepatutnya kepada pelanggan.
Ejen terbaik, adalah memberitahu perkara sepatutnya kepada anda, sebagai seorang pemohon insuran / takaful. Untuk tahu semua perkara, lebih baik anda menjadi ejen.
Ada ejen tidak memberitahu perkara terselindung seperti risiko pelaburan terjamin itu ‘gagal’, risiko dana tabungan insuran / takaful tidak mencukupi, tempoh menunggu penyakit tertentu (seperti penyakit kritikal tempoh menunggu) dan tempoh menunggu kad medikal & penyakit spesifik.
Jika anda masih baru dan ‘blur-blur’ apakah itu insuran / takaful, anda dapatkan pandangan daripada 2-3 ejen terlebih dahulu, atau Google dulu, buat bacaan dulu sebelum bertemu ejen anda.
#7. Menganggap produk insuran / takaful berkaitan pelaburan adalah produk simpanan seperti simpanan di bank beserta dividen.
Insuran / takaful ada pelbagai jenis. Perkara asas insuran / takaful adalah melindungi kematian dan lumpuh. Selepas itu, ada banyak rider-rider (jenis-jenis) telah ditawarkan dipasaran, umpamanya insuran / takaful kad perubatan, sakit kritikal, kemalangan, elaun wad dan hospital dan simpanan.
Dahulunya hanyalah pelan ‘term’, ‘endowment’ atau ‘whole-life’ tapi hari ini kebanyakkannya popular dengan pelan ‘investment-linked’.
Di luar sana, ada beberapa ejen menawarkan insuran / takaful kepada anda seolah-olah simpanan dalam bank. Simpan selama 12 bulan, bulan ke 13 dah boleh keluar sedebuk. Untuk nampak lebih realistik, ada ejen menggunakan prospektus pelaburan tulen untuk insuran / takaful berkaitan pelaburan. Walhal perkara itu tidak benar.
Sebagai pengguna, saya perlu memberitahu anda bahawa insuran / takaful adalah instrumen untuk melindungi diri anda dari aspek kewangan. Bahagian simpanan atau pelaburan adalah bonus tambahan kepada anda.
Jika anda mahukan pelan semata-mata simpanan / pelaburan, anda pilihlah amanah saham, saham, hartanah, emas & logam dan komoditi, misalnya.
#8. Menggalakkan anda menukar polisi dari syarikat A ke syarikat B.
Jikalau ada ejen menawarkan anda menukar polisi yang anda miliki kepada polisi yang ditawarkan oleh beliau – sebaiknya, anda perlu berhati-hati. Anda mungkin berada dalam kerugian besar.
Kalau polisi anda miliki, anda sudah gunakan untuk manfaat sakit kritikal – sebaiknya jangan tukar langsung. Nanti akan memberi mudarat kepada anda untuk membuat permohonan baru, di mana kemungkinan besar akan di-rejek atau di-tolak.
Secara teknikal, caruman awal kebanyakan diberi untuk tujuan kos pengurusan. Semakin lama anda bersama sesebuah syarikat insuran / takaful, kos pengurusan itu akan berkurangan (DISCLAIMER: Untuk lebih tepat, lebih baik kepada rujuk polisi anda miliki atau siapa yang miliki).
Sebab itu, kalau berbicara soal ‘pulangan’, semakin lama anda bersama sebuah syarikat insuran / takaful, pulangan akan lebih banyak. *Ada syarikat yang menawarkan bonus kesetiaan.
Untuk meminimakan salah laku ini, lebih baik anda sebagai pencarum / peserta insuran & takaful yang bijak dan bermaklumat.
Saya juga sebagai ejen ada kalanya saya melakukan kesilapan atau terlupa memberitahu perkara sepatutnya kepada pelanggan saya. Istiqamah saya untuk memberi yang terbaik.
Semoga boleh menjadi panduan kepada anda bila anda baru sahaja nak memohon insuran / takaful.
Adib Yazid
bagaimana saya nak buat aduan..agen dah sign saya punya polisi,dia yang sign saya punya surrender dan dia dah ambil duit payment selama setahun.
LikeLike
Boleh adukan ke BNM Telelink
LikeLike