Langkah Pertama Sebelum Melabur : Urus Aliran Tunai

Assalamualaikum dan selamat pagi.

Saya tak menafikan nafsu saya untuk mempunyai rumah besar, kereta mewah, berbelanja sakan, beli itu beli ini tanpa memikirkan berapa sudah belanja. Yang penting, tidak rasa tertekan untuk berbelanja.

Tapi realitinya hari ini, kita memang terdesak dengan kenaikan harga barang yang tidak turun-turun dan cabaran ekonomi hari ini. Ketika saya baru sahaja habis graduasi di Korea, saya memikirkan masalah ini – apa yang bakal berlaku kepada diri saya kelak. Sebab saya bukan dilahirkan dalam keluarga yang mewah. Saya tahu bahawa isu kewangan boleh menjadi barah dalam urusan kekeluargaan.

Jadi apakah solusi kepada masalah ini?

Jawapan yang saya jumpa dari kebanyakan orang – pengurusan kewangan atau lebih fokus lagi, pengurusan aliran tunai.

Menguruskan sumber kewangan, saya memberi contoh gaji atau wang tunai adalah sangat penting untuk memastikan kita mempunyai kuasa besar mengawal kewangan peribadi. Duit bukan segala-galanya, tapi segala-galanya memerlukan duit. Duit diperlukan untuk membeli barang keperluan atau servis, jadi adalah sangat penting untuk kita memahami pengurusan kewangan yang betul.

Saya pernah diberitahu oleh rakan saya, jikalau anda seorang yang kerja dengan majikan atau istilah popular ‘makan gaji’, ada dua golongan.

  • Golongan pertama, yang sentiasa habis sumber kewangan sebelum tarikh gaji.
  • Golongan kedua, yang tidak sedar gaji dah masuk, sebab gaji sebelum itu belum habis pakai.

Anda berada di golongan mana satu? Anda jawab sendiri. Ketika zaman saya ‘makan gaji’, saya pernah berada di golongan pertama dan sentiasa tekad untuk jadi golongan kedua. Walau apa jawapan anda, adalah penting berfikir secara realistik.

Badan kita suatu hari nanti akan sakit, jadi kita sentiasa disarankan supaya membuat pemeriksaan kesihatan secara kerap. Begitu juga dengan kewangan. Kita perlu membuat analisa atau pemeriksaan, samada tahap kewangan kita dalam keadaan stabil atau sudah parah. Lebih teruk, sudah hampir muflis!

Konsep pertama untuk anda tahu dalam pengurusan kewangan adalah, pengurusan aliran tunai. Konsep mudah memahami atau mengetahui berapa amaun ringgit anda sudah perolehi (gaji, komisyen, royalti) dan berapa amaun ringgit anda sudah keluar atau belanja.

Memahami aliran tunai kewangan peribadi anda, secara tak langsung anda dapat tahu rutin harian anda (segi kewangan), tabiat berbelanja dan gaya hidup anda pada masa sekarang. Bagaimana mahu bermula?

 

Pengurusan Aliran Tunai

Pengurusan aliran tunai adalah proses anda sentiasa memerhati, membuat analisa dan menyesuaikan aliran tunai kewangan peribadi anda.

Ada dua bahagian penting.

  • Aliran masuk – pendapatan
  • Aliran keluar – pengeluaran

Apakah aliran masuk?

Aliran masuk, adalah apa sahaja wang yang masuk ke dalam poket anda (dalam pelbagai bentuk, seperti buku akaun bank anda). Untuk lebih senang faham, saya menggunakan aliran masuk ini sebagai pendapatan. Apa sahaja yang anda dapat, dalam bentuk wang ringgit. Pendapatan ini mempunyai dua jenis:

  • Pendapatan Aktif : Pendapatan yang datang dari kelangsungan anda bekerja atau kelangsungan perniagaan anda. Kalau anda berhenti kerja, anda tidak dapat gaji. Kalau anda berhenti berniaga, pendapatan anda juga terhenti. Pendapatan jenis ini, memerlukan diri anda ‘bergerak’.
  • Pendapatan Pasif : Pendapatan yang hadir dalam situasi anda tidak memerlukan tenaga anda untuk melakukan kerja / perniagaan. Contoh: Dividen simpanan atau pelaburan, sewaan rumah atau royalti (buku & lukisan)

Manakalah, aliran keluar?

Aliran keluar, adalah apa sahaja wang yang keluar dari poket anda. Saya lebih gemar menggunakan perbelanjaan. Ada tiga jenis perbelanjaan:

  • Perbelanjaan Tetap : Perbelanjaan yang perlu dibayar secara tetap; bulanan / tahunan. Perbelanjaan ini mungkin satu keperluan atau kehendak. Amaun yang dibayar adalah sama. Contoh: pinjaman / biaya kewangan rumah, pinjaman / biaya kewangan kereta, bayaran sewa rumah, insuran / takaful caruman, yuran sekolah atau lain-lain.
  • Perbelanjaan Berubah-Rubah : Perbelanjaan dari segi amaun sentiasa berubah-rubah setiap bulan. Boleh jadi satu keperluan atau kehendak. Semakin banyak anda gunakan, semakin besar jumlah perbelanjaan bakal dikeluarkan. Contoh: makanan, pakaian, bil elektrik, bil air, bil pembentungan, bil telefon dan perbelanjaan lain-lain dirasakan perlu.
  • Perbelanjaan Opsyen : Perbelanjaan yang ikut keadaan, contohnya belanja kenduri akikah anak atau rumah terbuka. Mungkin berlaku hanya sekali sahaja setahun. Perbelanjaan pada barangan pula, mungkin boleh jadi sesuatu yang tidak perlu sangat atau ‘sedap untuk dimiliki’. Contoh: makan besar di luar / restoran mahal, Astro, menonton wayang, beli TV LED baru.

Apabila anda sudah faham, mana satu yang dikatakan pendapatan (aktif & pasif) dan perbelanjaan (tetap, berubah-rubah, opsyen), anda sudah boleh merangka atau menulis penyata aliran tunai sendiri.

 

Penyata Aliran Tunai DIY (do-it-yourself)

Saya begitu tertarik dengan kelas Financial DIY oleh Alwi Adam, kelas yang mendidik anda supaya merangka, menulis dan meneliti sendiri penyata aliran tunai.

Saya menggunakan analogi doktor dan pesakit. Orang yang sakit akan menemui doktor. Doktor akan diagnosis bagaimana keadaan pesakit itu. Selepas itu barulah diberi jalan penyelesaian – memberi ubat atau terapi tertentu.

Samada anda mempunyai kewangan yang bagus, biasa-biasa atau tahap kronik – tenat, penyata aliran tunai adalah petunjuk penting. Kalau anda berjumpa dengan mana-mana perunding kewangan bertauliah profesional, sudah pasti penyata aliran tunai akan dirangka terlebih dahulu.

Penyata aliran tunai adalah ‘alat’ asas untuk memeriksa tahap kesihatan kewangan anda dan memahami kedudukan kewangan anda. Pengurusan aliran tunai yang bagus sudah pasti, anda sentiasa mempunyai pendapatan melebihi perbelanjaan. Lebihannya itu barulah boleh digunakan untuk tujuan pelaburan.

Tapi hari ini, adalah normal perbelanjaan melebihi pendapatan – ini adalah tahap kronik melampau.

 

Kedudukan Aliran Tunai Anda : Bagus atau Tenat?

Sekali lagi, jika anda menerima (pendapatan) lebih daripada apa yang anda keluar (perbelanjaan) selepas anda tolakkan perbelanjaan, kedudukan aliran tunai anda berada dalam keadaan positif. Bermaksud, anda mempunyai lebihan.

Tanniah! Teruskan usaha untuk memastikan sentiasa dalam keadaan positif.

Sebaliknya, jika kedudukan aliran tunai anda berada dalam keadaan negatif. Awas. Anda akan terpaksa membuat pinjaman untuk memastikan anda boleh ‘survive’ dengan aliran tunai negatif. Keadaan ini yang saya selalu lihat di kalangan anak muda hari ini.

Bila aliran tunai sentiasa negatif, bermaksud anda hidup dalam keadaan yang betul-betul terdesak. Maksud lain, anda bekerja hanya untuk survival sahaja. Keadaan ini boleh memberi info bahawa, anda memang tidak boleh menyimpan (atau lebih buruk, tiada simpanan langsung!) atau anda tidak mampu melabur demi kesenangan akan datang. Apatah lagi instrumen kewangan yang penting seperti insuran / takaful yang melindungi anda ketika sakit pun tidak mampu dimiliki.

Bayangkan pula, dalam situasi ekonomi yang teruk anda terpaksa dibuang kerja atau musibah berlaku, tiada kemampuan untuk bekerja. Apa yang anda boleh lakukan?

Jika aliran tunai anda sudah negatif, langkah pantas dan segera adalah melihat amaun-amaun yang sudah dibelanja.

Pastikan, pertama sekali aliran tunai berada dalam keadaan positif sentiasa. Apabila anda ada aliran tunai positif, sudah pasti menyenangkan anda membina dana atau tabung simpanan kecemasan (saya akan terangkan kemudian). Simpanan ini membantu anda dikala keadaan tak disangka-sangka seperti tayar bocor, rumah pecah dan sebagainya.

Simpanan ini juga berupaya membantu anda tidak terlepas peluang pelaburan yang bagus untuk anda pada masa akan datang.

Bagaimana langkah efektif untuk menguruskan aliran tunai supaya sentiasa dalam keadaan positif?

 

Membuat Bajet Kewangan

Bajet adalah pelan mengurus aliran tunai dan kerap digunakan untuk membuat anggaran pendapatan dan perbelanjaan akan datang. Secara ringkasnya, bajet adalah menyenaraikan pendapatan dan perbelanjaan yang anda rasa ‘agak-agak’ dan sentiasa berpegang pada prinsip perbelanjaan tidak boleh melebihi pendapatan.

Kenapa bajet kewangan sangat penting?

Begini. Hari ni hari gaji anda. Anda cucuk duit di ATM. Anda keluarkan RM200 sahaja dan masukkan ke dalam dompet. Selepas 3 hari, anda lihat dompet anda yang tinggal hanyalah RM20 sahaja. Anda tidak ingat, baki RM180 itu pergi. Anda tidak pasti anda belanja untuk tujuan apa.

Kerapkali anda pernah berada dalam situasi ini?

Tujuan anda untuk menyimpan setiap bulan. Tapi, tak semua orang boleh sentiasa sedar atau mengawasi setiap perbelanjaan menyebabkan sentiasa terbabas dari tujuan sebenar. Menyebabkan banyak kali peristiwa tak cukup duit tengah bulan, atau belanja melebihi kemampuan. Sebab itu bajet kewangan adalah alat yang penting untuk memastikan aliran tunai sentiasa positif.

Kebaikan mempunyai bajet kewangan?

  • Melatih anda tabiat menyimpan setiap bulan.
  • Melatih anda menyimpan untuk dana simpanan kecemasan.
  • Melatih anda hidup di bawah kemampuan (saya tak galakkan hidup ikut kemampuan)
  • Membantu anda membina kewangan yang kukuh.
  • Membantu anda tidak rasa sesak tengah bulan.
  • Membantu anda membuat keputusan ketika berbelanja.

Macam mana nak buat bajet kewangan?

 

Hidup Bawah Kemampuan VS Hidup Ikut Kemampuan

Mana satu yang betul? Hidup bawah kemampuan atau hidup ikut kemampuan?

Misalan anda mempunyai pendapatan sebulan RM3,000. Pendapatan anda akan diberi pada setiap 30 haribulan.

  • Menjelang sahaja 25 haribulan, duit anda habis. Bayar kereta, bayar rumah, makan luar, beli baju berjenama, lepak ‘coffee house’. Rasa sesak. Nasib baik ada kad kredit. Swipe, swipe, swipe semata-mata nak langsungkan kehidupan sehingga 30 haribulan. Ini namanya hidup luar kemampuan.
  • Menjelang sahaja 30 haribulan, duit anda habis. Bayar kereta, bayar rumah, makan luar rumah dan macam-macam lagi. Apa yang anda dapat dan apa yang anda habiskan, ngam-ngam sahaja. Simpanan kadang-kadang ada, kadang-kadang korek balik. Ini namanya hidup ikut kemampuan.
  • Menjelang sahaja 30 haribulan, duit tak habis-habis lagi. Bayar kereta, bayar rumah, makan bawa dari rumah. Sekali sekala makan luar, sebulan 2 kali. Simpanan dia sebulan 10% atau lebih dari jumlah pendapatan. Ini namanya hidup bawah kemampuan.

Ikutkan prinsip saya, saya pilih hidup sentiasa bawah kemampuan. Kalau anda berpendapatan sebulan RM3,000, cuba hidup macam orang berpendapatan RM1,500. Selebihnya di simpan mana-mana yang boleh beri pendapatan pasif (seperti dividen, bonus, royalti, sewaan dan sebagainya)

Apa tips-tips untuk hidup bawah kemampuan? Anda perlu tahu tiga perkara ini:

  1. Sentiasa ingat apa itu keperluan dan kehendak.
  2. Berbelanja secara berhemah.
  3. Tanam sifat sabar menanti ganjaran.

 

#1. Sentiasa ingat apa itu keperluan dan kehendak.

Anda sudah didedahkan apa itu bajet aliran tunai atau bajet kewangan. Anda perlu sentiasa ingat bahawa bajet adalah berdasarkan apa yang anda dapat (pendapatan) dan apa yang anda belanjakan (perbelanjaan).

Mencari jalan menambah pendapatan adalah sangat penting, tapi mengenalpasti dan mengawal perbelanjaan adalah lebih penting. Sebaik-baik perbelanjaan adalah perbelanjaan memenuhi keperluan sebenar. Tapi hari ini, konsep keperluan dan kehendak sentiasa disalahertikan.

Bagaimana mahu membezakan samada perbelanjaan itu suatu kehendak atau suatu keperluan?

  • Keperluan adalah sesuatu yang sangat diperlukan, tanpa keperluan itu mungkin menyukarkan anda melakukan rutin harian / kerja.
  • Kehendak adalah sesuatu yang sangat bagus dimiliki.

Saya memberi contoh:

  • Makanan adalah satu keperluan. Kerapkali makan di luar dengan caj servis yang mahal, adalah kehendak.
  • Rumah adalah satu keperluan. Rumah mahal seperti banglo besar bersiap kolam renang, adalah kehendak.
  • Baju adalah satu keperluan. Pakaian berjenama adalah kehendak.
  • Bersama masa kualiti dengan keluarga adalah keperluan. Melancong seisi keluarga ke luar negara adalah kehendak.
  • Kereta seperti MyVi adalah keperluan. Kereta seperti BMW adalah kehendak.
  • Komputer riba adalah keperluan (hari ini). Komputer riba jenama Apple adalah kehendak.

Keperluan dan kehendak sentiasa berubah mengikut masa. Apa yang dulunya adalah kehendak boleh jadi keperluan hari ini.

Tahun 1990-an, mempunyai telefon bimbit adalah untuk orang yang mampu sahaja. Waktu itu, telefon bimbit adalah bukan keperluan sebenar. Hari ini, hampir setiap orang malah pelajar sendiri sudah mempunyai telefon bimbit.

 

#2. Berbelanja secara berhemah.

Bajet yang sangat bagus adalah berbelanja mengikut apa yang dirancangkan dan kurang daripada pendapatan yang diterima. Bila anda hendak berbelanja sesuatu, sila tarik nafas sedalam-dalamnya dan tanya empat soalan ini:

  1. Adakah saya mampu membeli?
  2. Adakah saya ini keperluan atau kehendak?
  3. Ada tidak sesuatu yang lebih murah, dari yang ini?
  4. Boleh atau tidak saya tangguhkan beli sekarang?

 

#3. Tanam sifat sabar menanti ganjaran.

Apabila anda sudah mempunyai bajet aliran tunai / kewangan, bukan esoknya ada terus boleh keluar dari masalah kewangan atau boleh jadi kaya. Tidak, ia bukan seperti itu. Proses membina kewangan peribadi yang mapan adalah proses berterusan dan konsisten.

Dalam banyak buku kewangan peribadi, seringkali diterapkan sikap ‘delayed gratification’ iaitu sikap menangguhkan kepuasan hari ini pada akan datang. Sikap ini mendidik kita menanam sifat sabar untuk menanti ganjaran pada masa akan datang yang lebih besar berbanding hari ini.

Misalnya, walaupun hari ini anda mampu membeli sebuah kereta bernilai RM100,000 tapi anda tidak terus membeli hari ini. Anda memperbaiki aliran tunai kewangan anda, supaya akan datang (contoh 5 tahun akan datang) anda memiliki kereta harga RM100,000 – dengan kewangan yang stabil dan positif. Tambahan, kereta akan datang lebih canggih dari keluaran hari ini.

Ini adalah contoh sikap ‘delayed gratification’.

(Sumber bacaan AKPK)

Adib Yazid

 

Advertisement

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s