Seperti di ulas oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
#1. Sejak akhir-akhir ini masyarakat awam amat keliru dengan kedudukan hukum pelaburan ASN dan ASB ini yang berpunca daripada tindakan pihak-pihak tertentu menggembar-gemburkan perbezaan pandangan antara Suruhanjaya Sekuriti dan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Apakah perbezaan di antara dua badan autoriti ini?
- Perkara penting yang perlu difahami dalam isu ini ialah perbezaan peranana antara Jawatankuasa Fatwa Kebangsaa dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia dan pihak manakah yang diberi autoriti dalam mengeluarkan hukum di Malaysia. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang ditubuhkan oleh Majlis Raja-Raja merupakan badan pengeluar dan penyelaras hukum-hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.
- Manakala Suruhanjaya Sekuriti adalah badan yang antara peranannya ialah membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak berdasarkan garis panduan yang mereka tetapkan.
- Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sejak dari tahun 2008 telah pun membincangkan isu pelaburan dalam ASN dan ASB dan telah memutuskan bahawa hukum melabur dalam Skim Amanah Saham Nasional (ASN) dan Skim Amanah Saham Bumiputera (ASB) serta dividen atau bonus yang diterima adalah harus.
- Perlu difahami bahawa keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah dengan melihat ruang lingkup yang luas bagi menjaga kepentingan dan maslahah umat Islam serta mengelakan kemudharatan yang lebih besar terhadap sosio ekonomi umat Islam. Sebagai badan pengeluar hukum yang diberikan autoriti oleh Ulil Amri, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menggunakan kaedah-kaedah serta dalil-dalil yang diiktiraf syarak.
- Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syar’iyyah dan siasah syar’iyyah.
- Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda arah aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan.
#2. Suruhanjaya Sekuriti menerusi surat bertarikh 12 Februari 2009 kepada sebuah bank tempatan, memaklumkan bahawa Majlis Penasihat Syariahnya sudah membuat keputusan bahawa ASB dan ASN tidak mematuhi Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti Berkaitan Pelaburan Unit Amanah Islam.
- PNB tidak pernah membuat sebarang permohonan kepada Suruhanjaya Sekuriti untuk mendapat pengesahan patuh syariah. Hal ini kerana penubuhan PNB dan dana unit amanah ASNB telah ditubuhkan lebih awal daripada Suruhanjaya Sekuriti (ditubuhkan pada Mac 1993) dengan mandat dan objektif yang diberikan oleh Kerajaan untuk mengembang dan meningkatkan ekonomi Bumiputera.
- Kenyataan yang menyebutkan bahawa Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti sudah membuat keputusan bahawa ASB dan ASN tidak mematuhi Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti Berkaitan Pelaburan Unit Amanah Islam adalah tidak benar kerana PNB tidak pernah memohon untuk dibuat pengesahan oleh Suruhanjaya Sekuriti.
- Oleh itu, ASB dan ASN tiada kaitan dan tidak termasuk di dalam senarai tabung yang tidak mematuhi Garis Panduan Suruhanjaya Sekuriti.
#3. Mengapa PNB tidak pernah menghantar permohonan untuk penilaian patuh syariah kepada Suruhanjaya Sekuriti?
- PNB sentiasa mengakui dan mengiktiraf peranan dan tanggungjawab Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti sebagai badan yang diberi manfat untuk memastikan Pasaran Modal Islam di negara ini mematuhi prinsip Syariah. Bagaimanapun, dengan mengambil kira peranan PNB sebagai sebuah instrumen kerajaan yang mempunyai peranan untuk membangunkan masyarakat Bumiputera majoriti beragama Islam di negara ini, pendekatan yang diambil dari sudut hukum perlu lebih menyeluruh dengan mengambil kira kepentingan ummah dan negara secara keseluruhannya.
- Sehubungan itu, PNB telah mendapatkan pandangan dan nasihat Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang merupakan badan tertinggi di negara ini yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan penyelarasan hukum dalam isu-isu yang bersifat nasional yang melibatkan maslahah ummah seperti pelaburan ASN dan ASB ini.
- PNB juga telah menubuhkan Majlis Penasihat Syariah bagi memberi nasihat dan pandangan kepada PNB mengenai urusan berkaitan pelaburan unit amanah sepertimana yang telah disarankan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan.
#4. Mengapa syarikat pengurus unit amanah lain berusaha mendapatkan pengesahan patuh syariah daripada Suruhanjaya Sekuriti?
- Syarikat-syarikt berkenaan merupakan syarikat swasta yang perlu mendapatkan pengesahan patuh syariah Suruhanjaya Sekuriti bagi memenuhi keperluan komersial mereka, iaitu untuk memasarkan tabung-tabung mereka kepada umat Islam.
- Langkah ini dibuat semata-mata untuk mendapatkan keyakinan umat Islam untuk melabur bersama mereka, walaupun ada di antara tabung unit amanah berkenaan sebenarnya diuruskan hampir sepenuhnya oleh orang bukan Islam ataupun milik orang bukan Islam.
#5. Bagaimana pendekatan yang diambil oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam memutuskan hukum harus dalam isu pelaburan ASB dan ASN ini?
- Sebagai badan yang diberikan peranan menentukan hukum-hakam dalam isu-isu bersifat nasional seperti isu pelaburan ASN dan ASB ini, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan melihat kekukuhan ekonomi umat merupakan salah satu masalah daruriyah yang perlu diberi perhatian serius ole pemerintah selaku Ulil Amri, lebih-lebih lagi dalam situasi ekonomi masa kini, yang menampakkan umat Islam tertinggal jauh di belakang. Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.
- Setiap hukum yang diputuskan perlu memenuhi tuntutan keadian, maslahah, menghindar daripada kerosakan dan keruntuhan yang lebih besar. Jawatkankuasa Fatwa Kebangsaan tidak terikat dengan sebarang tanda aras berbentuk angka untuk memutuskannya sebagai halal, harus atau haram.
- Semua pihak perlu memahami bahawa prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima (5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturuan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan.
- Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASb tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambil kira semua kesan yang dihadapi oleh agama, umat Islam dan negara.
- Dalam isu pelaburan yang bercampur antara halal dan haram, telah jelas bahawa PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan secara langsung dengan perkara-perkara yang diharamkan secara qat’ie oleh syarak seperti arak, judi dan pelacuran. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi’i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharam syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam.
#6. Terdapat dakwaan yang mengatakan bahawa hukum ASB dan ASN yang diputuskan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini tidak mengikut syarak dan ianya telah menyebabkan keresahan dan kekeliruan kepada masyarakat.
- Sewajarnya mereka sengaja menimbulkan kontroversi dan kekeliruan ini, memahami latar belakang dan perbahasan isu ini secara menyeluruh. Mereka juga perlu memahami dan menghormati hak-hak Ulil Amri dan adab-adab dalam perbezaan pendapat, kerana akibat daripada sikap mereka yang gemar mempertikaikan hukum yang telah dibuat oleh pihak yang telah diberi amanah dan tanggungjawab ini, ianya telah menimbulkan keresahan yang meruncing di kalangan umat Islam.
- Situasi ini memperlihatkan bagaimana gusar dan resahnya umat Islam apabila sesuati isu yang diperkatakan itu berkait dengan harta yang menjadi tonggak kelansungan hidup setiap individu. Kegemparan yang ditimbulkan ini, hanya akan merugikan umat Islam sendiri. Adalah lebih bijak sesuatu perbezaan itu dibincang terlebih dahulu dengan pihak berkuasa daripada menimbulkan keresahan kepada masyarakat kerana pihak berautoriti seperti Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima pandangan yang positif dan konstruktif.
- Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat dakwaan pihak-pihak berkaitan yang mengatakan bahawa hujah bersandarkan maslahah ummh ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam, kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang diperlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.
- Keputusan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa adalah berpandukan kepada Ijtihad Jama’i dan konsensus semua ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada para Mufti dan ahli-ahli pakar dalam bidang akidah, fiqh, hadith dan tafsir, muamalat dan sains, dan keputusan dibuat berdasarkan kajian-kajian pakar ekonomi Islam dan penjelasan terperinci oleh pihak pengurusan tertinggi PNB dan juga Majlis Penasihat Syariah PNB sendiri yang terdiri daripada pakar-pakaf dan ulama berwibawa tanpa terikat dengan garis panduan atau metodologi badan lain yang jelas mempunyai fungsi yang berbeza.
- Di peringkat agensi, semua pihak memahami dengan jelas peranan dan tanggungjawab masing-masing. Kedudukan hukum isu ASN dan ASB ini juga dilihat dari perspektif yang berbeza dan tidak timbul isu pihak mana yang salah atau betul dalam penentuan hukum ASB dan ASN ini. Hanya pihak-pihak tertentu yang sengaja memprovokasikan isu ini.
#7. Terdapat pihak-pihak mendakwa PNB sengaja melabur dalam sektor tidak patuh syariah.
- PNB memfokuskan pelaburannya terhadap sektor-sektor strategik yang telah dikenal pasti seperti perbankan dan perkhidmatan kewangan, automotif dan hartanah. Sektor-sektor strategik ini merupakan sektor yang berkepentingan kepada negara, terutamanya kepada masyarakat Bumiputera yang beragama Islam. Risiko dan pulangan juga penting dinilai sebelum pelaburan dibuat.
- Namun demikian, sekiranya pulangan yang dijanjikan adalah tinggi, tetapi tidak mempunyai keperluan strategik khususnya kepada masyarakat Bumiputera juga bertentangan dari aspek Agama Islam, PNB tidak akan melabur dalam sektor-sektor tersebut. Contohnya, adalah seperti industri perjudian dan arak.
#8. Apakah etika dan falsafah PNB dalam aspek pelaburan yang dilaksanakan.
- Falsafah pelaburan PNB adalah tidak melabur dalam syarikat yang menjalankan aktiviti utama yang bertentangan dengan Syariah seperti syarikat-syarikat yang terlibat secara langsung dengan kegiatan arak, judi, daging babi dan pelacuran.
- Setakat Mei 2014, daripada 107 buah syarikat tersenarai di Bursa yang dilaburkan oleh PNB dan dana-dana unit amanah di bawah pengurusannya, 76.6% adalah syarikat yang diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti. Manakala syarikat-syarikat yang tidak diluluskan oleh Majlis Penasihat Syariah Suruhanjaya Sekuriti pula terdiri daripada syarikat-syarikat perbankan dan kewangan dan syarikat-syarikat yang tidak memenuhi syarat-syarat lain seperti:
- Syarikat yang mempunyai tahap pencampuran sumbangan aktiviti yang melibatkan unsur ‘umum balwa’ iaitu perkara terlarang yang melibatkan kebanyakan orang dan sukar untuk dielakkan. Contohnya, adalah seperti Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), yang merupakan satu syarikaat strategik yang menguruskan kesemua lapangan terbang negara Malaysia.
- Syarikat yang mempunyai tahap pencampuran sumbangan terima sewaan daripada aktiviti tidak patuh Syariah, contohnya seperti terima sewaan daripada bangunan yang mempunyai premis cawangan-cawangan bank dan sebagainya.
- Syarikat yang mempunyai tahap pencampuran sumbangan aktiviti yang secara umumnya selaras dengan Syariah dan mempunyai maslahah kepada masyarakat awam, namun terdapat unsur lain yang boleh menjelaskan status Syariah aktiviti berkenaan seperti Maybank.
#9. Mengapa perlu mengekalkan pegangan ekuiti dalam Maybank.
- Hubungan antara PNB dan Maybank perlu dinilai daripada dua (2) aspek penting iaitu:
- Kepentingan pelaburan dalam sektor strategik untuk kepentingan Bumiputera. Bagi mengekalkan kepentingan strategik Bumiputera dalam ekonomi negera, PNB perlu mempunyai pegangan dalam sektor perbankan negara. Pegangan PNB dalam Maybank, yang merupakan bank terbesar di negara ini, akan dapat memastikan kepentingan dan keperluan masyarakat Bumiputera terhadap keperluan perbankan di negara ini dijaga dan dilindungi. Selain daripada itu, pada masa ini, tiada bank berasaskan Islam yang mempunyai saiz sebesar Maybank, yang boleh menggantikan Maybank dalam portfolio pelaburan PNB / ASNB.
- Saiz Transaksi Perbankan Harian. Transaksi harian unit amanah ASNB adalah sangat besar dan hanya bank yang berkapasiti tinggi mampu mengendalikannya. Ketika ini, Maybank dan dua bank lain menjadi ejen transaksi bagi mengendalikan urusan jual beli harian operasi unit-unit amanah ASNB. Untuk menggantikan ketiga-tiga bank berkenaan dengan dua bank Islam tempatan yang ada di negara ini ketika ini adalah sukar kerana kedua-duanya tidak mempunyai rangkaian dan kapasiti yang diperlukan untuk mengendalikan urusan transaksi harian ASB/ASN yang bersaiz besar.
#10. Sehingga kini, berapa banyak dana unit amanah yang diuruskan oleh ASNB dan secara majoritinya di manakah ASNB melabur?
- ASNB menguruskan sebanyak 10 dana unit amanah, antaranya ialah Amanah Saham Nasional (ASN) dan Amanah Saham Bumiputera (ASB). Sehingga April 2014, semua dana unit amanah ASNB mempunyai seramai 11.9 juta pelabur. Secara puratanya, daripada tahun 2006 sehingga tahun 2011, peratusan dividen yang diterima oleh orang Islam adalah sebanyak 83%. Daripada jumlah itu, lima (5) dana unit amanah telah dikhususkan untuk golongan Bumiputera sahaja iaitu ASN, ASB, ASN 2, ASD dan ASB 2.
- PNB sebagai pengurus pelaburan bagi dana-dana unit amanah ASNB melabur majoriti dalam sekuriti pelbagai sektor strategik negara seperti automotif, perbankan dan perkhidmatan kewangan, makanan dan minuman, perladangan, minyak dan gas, farmaseutikal dan penjagaan kesihatan, pengangkutan, hartanah, teknologi maklumat, infrastruktur dan telekomunikasi.
- PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan perkara-perkara yang diharamkan secara qat’ie dalam Islam seperti arak, judi, apa-apa aktiviti yang berkaitan dengan babi ataupun pelacuran.
#11. Terangkan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh PNB ke arah kesempurnaan Syariah.
- Sebagai sebuah syarikat yang menguruskan dana-dana unit amanah yang majoriti pelaburnya adalah umat Islam, pelbagai usaha telah dilakukan oleh PNB bagi memastikan kesemua pelaburannya adalah menepati kehendak Syariah. Sejak Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan mengumumkan fatwa ‘Harus’ kepada dana unit amanah ASNB, peratusan pendapatan patuh Syariah bagi semua dana unit amanah ASNB telah meningkat. Contohnya, peratusan pendapatan patuh syariah bagi dana ASB telah meningkat daripada kira-kira 53% pada tahun 2007 kepada 80% pada tahun 2009, dan bagi ASN pula, peratusan peningkatan telah dianggarkan daripada 60% pada tahun 2007 kepada 75% pada tahun 2009.
- Selain dana-dana unit amanah, ASNB, PNB turut mempunyai 5 dana unit amanah patuh Syariah iaitu AMB Dana Yakin, AMB Dana Ikhlas, AMB Dana Arif, AMD Dana Nabeel dan AMB Dana Aqeel yang diuruskan oleh Amanah Mutual Berhad iaitu syarikat pengurus dana unit amanah yang merupakan anak syarikat milik penuh ASNB. Kesemua dana unit amanah yang merupakan anak syarikat milik penuh ASNB. Kesemua dana unit amanah ini mempunyai Jawatankuasa Penasihat Syariah sendiri yang akan memastikan pelaburan setiap dana tersebut diletakkan dalam saham atau sekuriti yang patuh Syariah.
- Di samping itu, hasil kajian daripada Asian Bankers Research juga telah menunjukkan bahawa Maybank Islamic yang merupakan anak syarikat penuh Maybank telah berjaya menjadi institusi perbankan komersial Islam yang terbesar di Malaysia dan di seluruh rantau Asia Pasifik. Begitu juga dengan Etiqa Takaful yang juga merupakan syarikat Takaful nombor satu negara setelah berjaya menerima Takaful sebanyak RM 2 Billion pada tahun 2011.
- PNB sebagai institusi unit amanah berusaha untuk meningkatkan tahap pendapatan rakyat bagi mengurangkan tahap kemiskikan dan pada masa yang sama meningkatkan penyertaan Bumiputera di dalam sektor-sektor moden selari dengan intipati Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang masih relevan dan perlu diteruskan bagi menjaga kepentingan Bumiputera dan Negara.
#12. Mengapa terdapat perbezaan hukum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dengan negeri Selangor dan Pulau Pinang dalam isu pelaburan ASN dan ASB ini dan bagaimana kedudukan fatwa di negeri lain.
- Sepertimana yang termaktub di dalam undang-undang, kuasa untuk mengeluarkan fatwa adalah terletak di bawah bidang kuasa negeri. Dalam hal ini, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menghormati apa jua fatwa yang dikeluarkan oleh pihak negeri.
- Pelaksanaan fungsi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini adalah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, iaitu sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri kerana matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum-hakam yang dikeluarkan di Malaysia.
- Setakat ini lapan (8) buah negeri telah mengeluarkan fatwa mengharuskan pelaburan dalam ASN dan ASB kecuali Selangor dan Pulau Pinang. Manakala negeri-negeri yang belum memfatwakan hukum pelaburan dalam ASN dan ASB iaitu Johor, Melaka, Perlis dan Sabah, mereka merujuk dan menggunakan keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan yang diputuskan pada tahun 2008.
Anda boleh rujuk sini:
Adib Yazid