Assalamualaikum dan selamat pagi.
Kalau anda seorang ketua / leader / bos kepada sesebuah organisasi, anda pasti mahukan sebuah tim yang konsisten dalam mencipta kejayaan. Sebuah organisasi, bukan tanggungjawab seorang sahaja tetapi adalah tugas bersama-sama ahli dalam pasukan tersebut.
Kebetulan, saya membaca sebuah artikel bagaimana mahu cipta tim yang sentiasa mengukir kejayaan, oleh Gary Neville iaitu salah seorang pemain bola sepak Manchester United (kapten) dan pemain England, dimana hebat ketika zamannya.
Apakah 5 Ramuan untuk cipta tim kemenangan?
#1. Anda perlu bekerja ke arah tim kemenangan.
Kerja mencipta tim kemenangan bukan tugas sehari, ia tugas memerlukan masa yang panjang. Malah, ia bukan datang secara neutral. Sepatutnya bermula dari diri anda sebagai seorang ketua pasukan. Anda perlu sentiasa dikelilingi oleh orang yang mengimpikan perkara yang sama dan boleh dipercayai. Tim anda ada keinginan untuk sentiasa ‘menang’ setiap hari. Standard perlu diletakkan, bermula dari standard biasa ke luar biasa dan tinggi.
#2. Cungkil bakat terpendam individu yang ada dalam tim.
Tugas menetapkan tim yang berada dalam ‘winning mindset’ adalah tugas anda sebagai seorang ketua tim / leader. Anda bertanggungjawab mencipta suasana ‘winning mindset’. Suasana yang kondusif menggalakkan ahli tim anda untuk sentiasa bersedia dan bekerja keras. Setiap minggu, anda kena memastikan anda jelas apa yang anda mahu dan tim anda juga perlu jelas apa matlamat mereka; mingguan, bulanan atau tahunan.
#3. Kawal diri apabila ‘down’.
Seorang juara, perlu tahu bukan setiap masa anda seorang juara, apatah lagi perubahan dalam dunia sangat laju. Air pun ada pasang surut. Begitu juga dengan emosi manusia, ada naik dan turun. Ada positif dan negatif. Jangan mudah mengalah apabila perasaan ‘down’ itu muncul atau terlalu asyik menikmati kejayaan – sebab itu hanyalah sementara. Sentiasa percaya dengan kemampuan diri sendiri dan keyakinan untuk mengatasi keadaan susah.
#4. Seorang General, ada Leftenan
Anda memerlukan pembantu. Sebagai seorang ketua tim / leader, bukan sepanjang masa anda akan bersama ahli tim anda atau ingin berkomunikasi secara menyeluruh. Anda kena bersiap sedia melatih seorang ‘leader’ yang membantu tim bila anda tiada dalam tim. Supaya mesej, idea dan tujuan tim diwujudkan itu sentiasa relevan – ini lah peranan pembantu anda.
#5. Rekrut dan pilih pemenang.
Ramai ingin tahu bagaimana Sir Alex Ferguson, boleh capai trofi setiap tahun dan menjadi lumrah kelab memenangi trofi. Anda kena pilih ahli tim anda – yang tepat dengan keperluan tim anda. Satu tim yang penuh dengan pemain terbaik dan senior, secara tak langsung akan memberi pengaruh kejayaan keseluruhan tim anda.
Tip-tip lain untuk mencipta tim sukses:
- Pastikan pemain sentiasa rasa penting apabila menyarung jersi pasukan. Fahami emosi mereka.
- Kehadiran bersama ketika latihan, dan menikmati latihan adalah segala-galanya.
- Pilih kapten pasukan yang memahami apa yang anda mahu dalam tim, dan apa yang tim mahu dari anda. Komunikasi bersama kapten adalah penting.
- Sesi latihan adalah sesi yang menyeronokkan.
- Impian atau target yang sama; kawal ekspetasi. Jangan terlalu tinggi, jangan terlalu rendah.
- Kenalpasti siapa leader atau follower. Ada yang gemar untuk berada dihadapan, ada yang suka bila diberi tunjuk ajar / dipimpin.
- Kawal pemain besar kepala. Untuk berjaya memerlukan tim, bukan tim memerlukan seorang pemain hebat.
- Kesilapan diterima jika anda sudah habis berusaha. Galakkan tim mengambil risiko.
- Berhati-hati mengenakan peraturan. Peraturan bagus, apabila semua bertanggungjawab. Peraturan tidak bagus, apabila menyekat kreativiti tim anda.
Adib Yazid