Assalamualaikum dan selamat pagi.
Baru-baru ini laman sosial media kecoh dengan ada satu kes di mana, seorang bapa membelikan pelan insuran untuk anak beliau. Apabila berlaku kematian, tiada apa-apa manfaat yang dapat diperolehi. Diselidik secara mendalam, rupanya pelan tersebut ialah pelan perlindungan tambahan (rider) sahaja.
Bagaimana cara mengenalpasti?
Kenderaan juga mempunyai pelbagai jenis dan tujuan untuk sampai ke satu destinasi. Anda mungkin perlukan kereta jenis laju untuk sampai awal seperti Golf GTI ke atau BMW M3. Berlainan pula untuk rilek-rilek, memadai dengan MyVi 1.3. Ataupun anda mementingkan keselesaan di samping kelajuan – Mercedes S Class barangkali?
Insuran nyawa juga mempunyai jenis-jenis untuk tujuan yang berbeza. Apa jenis-jenis yang ada?
#1. Insuran Endowmen
Satu kombinasi perlindungan dan penjimatan di mana pembayaran akan dibuat pada akhir tempoh yang ditetapkan selepas anda meninggal ataupun kehilangan upaya kekal.
Paling sesuai untuk simpanan, pemindahan, pemeliharaan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai bertunda.
#2. Insuran Berkaitan Pelaburan
Satu kombinasi pelaburan dan perlindungan dimana premium anda akan dibahagikan untuk liputan insuran nyawa dan pelaburan ke atas dana pilihan anda. Anda dibenarkan untuk menentukan nisbah peruntukan premium anda.
Paling sesuai untuk simpanan, pemindahan, pemeliharaan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.
#3. Insuran Anuiti Hidup
Syarikat insuran akan membayar anda anuiti untuk suatu jangka masa yang tertentu sehingga anda meninggal. Jenis bayaran anuiti termasuk anuiti serta merta ataupun anuiti tertunda.
Paling sesuai untuk penabungan untuk persaraan dan pengumpulan kekayaan dengan cukai tertunda.
#4. Insuran Bertempoh Gadai Janji Berkurangan (MRTA)
Pelan ini akan menyelesaikan baki pembiayaan perumahan anda sekiranya anda meninggal dunia, anda mengalami hilang upaya kekal atau anda menghidapi penyakit kritikal.
Paling sesuai untuk perancangan harta dan pemindahan aset.
#5. Insuran Perlindungan Tambahan / Rider
‘Rider’ merupakan perlindungan tambahan yang dilampirkan bersama pelan insuran asas seperti endowmen atau seumur hidup. Rider yang biasa ditemui adalah rider perubatan, kemalangan dan penyakit kritikal. *Tambahan: Ada rider manfaat pelan wanita, pelan komplikasi kemalangan dan macam-macam lagi.
Paling sesuai untuk membiayai perbelanjaan yang berkaitan dengan perubatan, kemalangan dan penyakit kritikal.
#6. Insuran Bertempoh (Term)
Pelan ini terhad kepada jangka masa tertentu, contohnya 10 tahun. Ia biasanya lebih murah berbanding pelan nyawa yang lain.
Paling sesuai untuk penggantian pendapatan semasa masih bekerja.
#7. Insuran Seumur Hidup
Pelan ini direka khas untuk melindungi individu untuk seumur hidup, jadi premiumnya lebih tinggi berbanding dengan polisi insuran bertempoh. Jumlah premium biasanya telah ditetapkan dan ia mempunyai nilai tunai yang berfungsi sebagai simpanan dan boleh ditunda cukai di masa depan.
Paling sesuai untuk pemindahan, pemeliharaan dan pengumpulan harta dengan cukai tertunda.
Untuk sesiapa yang memilih pelan kewangan mengikut shariah iaitu Takaful. Ada juga terdapat:
- Takaful keluarga berkaitan pelaburan.
- Takaful bertempoh gadai janji berkurangan (MRTT)
- Takaful keluarga perlindungan tambahan / rider.
Jadi, untuk kes yang pasal pelan CIMB AVIVA tu… adalah pelan takaful keluarga perlindungan tambahan / rider sahaja. Pelan ini, memang tidak disertakan dengan manfaat kematian secara lazimnya.
Ambil satu pelan dan kata pelan itu sudah memadai, itu adalah konsep yang perlu diubah.
Terima kasih membaca!
Adib Yazid
1 Comment