Assalamualaikum dan selamat pagi.
Filem atau ‘movie’ adalah medium yang sangat bagus untuk bersuka ria. Malah ada yang menggunakan filem menyebarkan dakyah politik dan doktrin idea-idea. Sebenarnya filem juga boleh jadi media yang sangat bagus mendidik manusia.
Itu yang telah dilakukan oleh Allahyarham Tan Sri P.Ramle dalam filem Tiga Abdul.
Kisahnya begini (generasi hari ini mungkin kurang tahu):
Ismet Ulam Raja mempunyai tiga orang anak.
- Abdul Wahab (sulong)
- Abdul Wahib (kedua)
- Abdul Wahub (ketiga dan bongsu)
Bapa mereka, Ismet Ulam Raja jatuh sakit. Dikhabarkan Abdul Wahub dipersalahkan kerana memaksa ayahnya pergi ke hospital. Tambahan, ketika meninggal dunia bapanya hanya sempat menyebut nama dua orang abangnya sahaja.
Kemudian, bapanya meninggal dunia.
Segala harta alharhum Ismet Ulam Raja perlu dibahagikan. Abdul Wahab memanggil kesemua adik beradiknya untuk membahagikan harta sambil disaksikan oleh khadam.
- Abdul Wahab – segala kebun-kebun, ladang-ladang, kilang-kilang, rumah-rumah sewa, stables (rumah kuda) dan tempat perlumbaan kuda. Kesemua bernilai 5 juta Pound Sterling.
- Abdul Wahib – segalanya tunai yang ada di dalam bank bernilai 4.5 Juta Pound Sterling.
- Abdul Wahub – hanya diberi rumah almarhum sahaja.
“Ini tidak adil!” itu kata-kata Abdul Wahub setelah habis sesi pembahagian.
Dalam situasi ini, Abdul Wahub adalah orang yang paling ‘kesian’ dan dibuli oleh abang-abangnya. Nak atau tidak, terpaksalah juga diterima.
Dijadikan cerita, Abdul Wahub bermimpi wajah ayah beliau. Ayah beliau berpesan, pergilah berjumpa dengan seorang lelaki bernama Suleiman Akhlaken iaitu seorang peguam.
Peguam itu memberitahu, sebelum Ismet Ulam Raja meninggal sebahagian harta kepada peguam. Abdul Wahub tidak mempercayai kerana segala harta telah dikebas oleh abang-abangnya.
Peguam itu menafikan bahawa, itu hanya harta di tanah air sendiri. Ada lagi harta di luar negara. Penaksiran nilai keseluruhan jumlah harta bernilai 15 juta Pound Sterling. Peguam itu menanyakan samada Abdul Wahub mahu menguruskan harta itu sendiri atau masih mahu peguam yang uruskan.
Abdul Wahub beredar dari situ.
Peguam Suleiman Akhlaken melihat gambar Ismet Ulam Raja dan berkata “Saudara Ismet Ulam Raja, hamba telah jalankan amanah tuan hamba.”
(Boleh menonton versi penuh filem ini di YouTube : Tiga Abdul 1964)
Cerita ini adalah cerita terbaik untuk menerangkan salah satu instrumen pembahagian pusaka, iaitu Hibah. Ismet Ulam Raja mungkin bimbang kalau diberi terus kepada Abdul Wahub, akan rambang mata. Kalau diberi terus kepada Abdul Wahab atau Abdul Wahib, habislah segala harta pula.
Ismet Ulam Raja tahu bahawa kelak nanti, apabila beliau tiada segala harta akan tidak diagihkan secara baik dan adil. Lalu, Ismet Ulam Raja melantik peguam Suleiman Akhlaken sebagai pemegang amanah hibat (trustee) dan hanya terhad kepada harta-harta di luar negara sahaja.
Akhir kata, Abdul Wahub terbela dengan pewarisan harta-harta berbentuk perniagaan dan lebih baik, telah diuruskan oleh seorang pemegang amanah yang sangat bertangggungjawab.
Persoalannya, adakah Hibah sebegini dibenarkan dalam Islam? Adakah harta begini adalah harta pusaka dan perlu dibahagikan ikut Faraid? Ada yang kata, sekiranya membuat hibah, bermakna itu satu dosa kerana menafikan hak waris yang sepatutnya menerima pusaka melalui faraid.
Dalam buku Pembahagian Harta Pusaka dan Kepentingan Wasiat tulisan Ustaz Ghazali Ibrahim membincangkan perihal ini adalah hibah sebegini dibenarkan dalam Islam.
Hibah : Hadiah Pemberian Ketika Hidup
Hibah secara lazimnya bermaksud hadiah. Jadi, hadiah itu perlu ada pemberi dan penerima. Dalam kisah ini, hadiah itu adalah harta. Harta itu boleh diberi kepada sesiapa yang kita suka tapi ada syarat-syarat yang perlu diketahui terlebih dahulu.
Contoh syarat adalah, didokumenkan secara sah. Mempunyai saksi yang benar dan diberi ketika hidup. Harta itu mestilah harta kepunyaan sendiri milik 100%, bukan dalam keadaan berhutang. Ada meletakkan syarat tambahan seperti, selepas 10 tahun; anak mencecah 20 tahun, atau; meninggal dunia – barulah harta itu akan diberi.
Harta boleh dihibahkan selagi pemunya harta itu masih hidup. Untuk mengelakkan fitnah dan pergaduhan apabila sudah tiada nanti, sebaiknya laksanakan Hibah ini dengan cermat dan baik.
Contoh:
- Buat Pengisytiharan Hibah untuk waris-waris.
- Lantik orang yang terbaik menguruskan hibah.
Adib Yazid
1 Comment