Assalamualaikum dan selamat pagi.
(Petikan artikel daripada Majlis Agama Islam Selangor – MAIS)
APAKAH ITU HIBAH?
Hibah dari segi bahasa bermaksud pemberian sama ada dalam bentuk ain atau selainnya. Ia merangkumi hadiah dan sedekah. Ketiga-tiga istilah ini mempunyai pengertian yang hampir sama. Perbezaannya dari aspek tujuan pemberian itu. Sedekah ialah suatu pemberian yang bertujuan untuk mendapat pahala di akhirat dan ia biasanya dari yang kaya kepada yang miskin. Manakala hadiah pula ialah pemberian untuk memuliakan seseorang dan biasanya ia ada hubungkait dengan sesuatu perkara. Dengan ini dapat dirumuskan bahawa setiap sedekah dan hadiah adalah hibah, tetapi bukan semua hibah adalah sedekah dan hadiah.
Hibah pada istilah syarak ialah suatu akad yang mengandungi pemberian milik oleh seseorang secara sukarela terhadap hartanya kepada seseorang yang lain pada masa hidupnya tanpa balasan (iwad). Secara lebih khusus lagi, hibah ialah suatu akad pemberian milik ain harta daripada satu pihak kepada pihak yang lain tanpa balasan (iwad) semasa hidup secara sukarela, tidak mengharapkan pahala di akhirat atau memuliakan seseorang dan dengan menggunakan lafaz ijab dan qabul atau seumpamanya.
Dari segi hukum, hibah adalah suatu amalan yang sunat dan digalakkan dalam Islam terutama sekali kepada kaum keluarga terdekat. Amalan ini adalah berdasarkan kepada al-Quran, al-Sunnah dan ijmak. Antara ayat al-Quran yang menggalakkan amalan hibah ialah sebagaimana firman Allah S.W.T yang bermaksud:
“Kemudian jika mereka menyerahkan kepada kamu sebahagian daripada mas kahwin itu dengan senang hati, makanlah (ambillah) pemberian itu (sebagai makanan) yang sedap lagi baik akibatnya”.
(Surah al-Nisa’ ayat 4)
Selain itu, dalam Al-Quran yang bermaksud:
“… dan memberikan harta yang dicintainya kepada kerabatnya, anak-anak yatim, orang-orang miskin, musafir (yang memerlukan pertolongan) dan orang-orang yang meminta-minta dan (memerdekakan) hamba sahaya”.
(Surah al-Baqarah ayat 177)
RUKUN HIBAH
(i) Pemberi hibah (al-Wahib)
Pemberi hibah hendaklah seorang yang berkeahlian seperti sempurna akal, baligh dan rusyd. Pemberi hibah mestilah tuan punya barang yang dihibahkan. Oleh kerana pemilik harta mempunyai kuasa penuh ke atas hartanya, hibah boleh dibuat tanpa had kadar serta kepada sesiapa yang disukainya termasuk kepada orang bukan Islam, asalkan maksudnya tidak melanggar hukum syarak.
(ii) Penerima hibah (al-Mawhub lahu)
Penerima hibah boleh terdiri daripada sesiapa sahaja asalkan dia mempunyai keupayaan memiliki harta sama ada mukallaf atau bukan mukallaf. Sekiranya penerima hibah bukan mukallaf seperti masih belum akil baligh atau kurang upaya, hibah boleh diberikan kepada walinya atau pemegang amanah bagi pihaknya. Penerima hibah mestilah menerima harta yang dihibahkan dan berkuasa memegangnya. Dengan kata lain, penguasaan dan kawalan terhadap harta mestilah diberikan kepada penerima hibah.
(iii) Barang atau harta yang dihibahkan (al-Mawhub)
Barang atau harta yang hendak dihibahkan itu perlu memenuhi syarat-syarat iaitu hendaklah barang atau harta yang halal. Ia hendaklah sejenis barang atau harta mempunyai nilai di sisi syarak. Barang atau harta itu milik pemberi hibah. Ia boleh diserah milikkan dan benar-benar wujud semasa dihibahkan.
(iv) Sighah iaitu ijab dan kabul
Sighah hibah merupakan lafaz atau perbuatan yang membawa makna pemberian dan penerimaan hibah. Di antara contoh lafaz ijab secara terang (sarih) ialah seperti kata pemberi “Aku berikan barang ini kepadamu” atau secara kinayah seperti kata pemberi “Aku telah menyerahkan hakmilik kepadamu” atau “Aku jadikan barang ini untukmu”. Sementara contoh lafaz qabul (penerimaan) pula ialah seperti “aku terima”, “aku redha” dan sebagainya.
PENERIMAAN BARANG (AL-QABD) DALAM HIBAH
Istilah al-qabd (penerimaan barang) bermaksud mendapat sesuatu, menguasainya dan boleh melakukan tasarruf terhadap barang atau harta tersebut. Mengikut mazhab Hanbali dan Maliki, penerimaan barang tidak disyaratkan dalam sesuatu hibah, malah memadai dengan akad semata-mata. Ini bererti apabila berlaku kematian salah seorang atau salah satu pihak sama ada pemberi hibah atau penerima hibah sebelum penyerahan barang, maka hibah itu tidak terbatal. Sebaliknya, mengikut Abu Hanifah dan Syafie, penerimaan barang merupakan salah satu dari syarat sah hibah. Oleh itu, apabila berlaku kematian salah satu dari dua pihak sebelum penyerahan barang, maka hibah itu terbatal.
Dalam mazhab Syafie, al-qabd merupakan syarat luzum, ertinya akad hibah tidak sempurna dan tidak berkuat kuasa dengan ijab dan qabul semata-mata, kecuali selepas al-qabd. Sekiranya al-qabd tidak berlaku maka akad hibah merupakan akad yang tidak mengikat. Oleh itu, pemberi hibah berhak menarik balik hibah tersebut selama mana harta berkenaan berada dalam pemilikannya.
Cara penerimaan barang (al-qabd) adalah berbeza-beza mengikut jenis harta sama ada harta tak alih atau harta alih. Bagi harta tak alih, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengosongkan harta itu, menguasainya dan melakukan tasarruf terhadap harta tersebut seperti menyerah kunci dan seumpamanya. Manakala bagi harta alih pula, al-qabd boleh berlaku dengan cara mengambil harta itu, memindah atau mengasingkan harta tersebut dengan harta-harta lain.
KADAR HARTA YANG BOLEH DIHIBAHKAN
Islam tidak menetapkan kadar atau had tertentu bagi harta yang hendak dihibahkan. Ini kerana harta yang hendak dihibahkan itu merupakan milik pemberi hibah, maka terpulanglah kepada pemberi hibah membuat pertimbangan terhadap kadar harta yang ingin dihibahkan. Walaupun begitu, Islam menggalakkan hibah diberikan secara adil, lebih-lebih lagi jika diberikan kepada anak-anak.
Jumhur ulamak (Hanafi, Maliki dan Syafie) berpendapat bahawa sunat menyamakan pemberian di antara anak-anak dan pemberian yang lebih kepada salah seorang daripada mereka adalah makruh hukumnya, walaupun pemberian itu sah. Bagi Abu Yusuf, melebihkan pemberian kepada sebahagian daripada anak-anak adalah diharuskan jika ibu bapa tidak berniat menimbulkan bahaya kepada anak-anak yang lain. Sekiranya ibu bapa berniat sedemikian, maka menjadi kewajipan mereka menyamakan pemberian tersebut. Menurut mazhab Hanbali, keadilan dalam pemberian hibah kepada anak-anak merupakan perkara yang wajib. Manakala menurut Imam Malik, tidak boleh memberi hibah semua harta kepada sesetengah anaknya dan tidak kepada yang lain.
Menurut pendapat Hanafi, Syafie, Maliki dan Abu Yusuf, cara pemberian harta yang adil kepada anak-anak semasa hayat ialah dengan cara menyamakan pemberian tersebut tanpa membezakan di antara anak lelaki dan anak perempuan. Sebaliknya, golongan Hanbali dan Muhammad bin Hassan al-Shaybani berpendapat bahawa keadilan yang dikehendaki dalam pemberian adalah mengikut kadar mereka dalam pembahagian harta pusaka, iaitu bahagian anak lelaki menyamai dua bahagian anak perempuan.
BOLEH KE HARTA HIBAH DITARIK BALIK?
Fuqaha berselisih pendapat adakah hibah boleh ditarik balik atau tidak. Menurut pendapat mazhab Hanafi, pemberi hibah makruh menarik balik hibah yang telah diberikan dan dia boleh memfasakhkan hibah tersebut walaupun telah berlaku penyerahan (qabd), kecuali jika hibah itu dibuat dengan balasan (‘iwad). Menurut pendapat mazhab Syafie, Hanbali dan sebahagian fuqaha’ mazhab Maliki penarikan balik hibah boleh berlaku dengan semata-mata ijab dan qabul. Tetapi apabila disertakan dengan peyerahan dan penerimaan barang (al-qabd) maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik kecuali hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya selama mana harta itu tidak ada kaitan dengan orang lain.
Menurut pendapat Imam Ahmad dan mazhab Zahiri, pemberi hibah tidak boleh (haram) menarik balik hibah yang telah dibuat kecuali hibah bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya. Ini adalah berdasarkan kepada hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud:
“Orang yang menarik balik hibahnya sama seperti anjing yang memakan balik muntahnya…” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).
Secara umumnya, para fuqaha’ bersetuju mengenai keharusan pembatalan hibah sekiranya ia dilakukan secara redha meredhai antara pemberi dan penerima hibah atau melalui keputusan hakim.
Sungguhpun Islam membenarkan penarikan balik hibah yang dibuat oleh bapa (termasuk juga ibu, datuk, nenek dan usul yang lain) kepada anak-anaknya, tetapi ia terikat dengan syarat bahawa harta tersebut masih lagi di dalam pemilikan anaknya (cucunya). Sekiranya harta itu terkeluar dari kekuasaan dan pemilikan anaknya (cucunya) seperti telah dijual, diwakaf atau dihibah kepada orang lain dan harta itu telah diterima oleh penerima hibah (orang lain), maka hibah berkenaan tidak boleh ditarik balik lagi.
Boleh rujuk terus ke laman web rasmi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS)
1 Comment