Assalamualaikum dan selamat pagi.
Ilmu kewangan peribadi adalah ilmu kewangan yang sangat meluas. Pengurusan kewangan peribadi bukan hanya tentang pengurusan risiko (takaful / insuran) dan pelaburan (amanah saham, hartanah, saham dan emas). Malah bab percukaian adalah bab yang perlu dikuasai.
Hari ini boleh dikatakan ramai yang membuat dua kerja (setelah disarankan oleh menteri). Rata-rata mempunyai dua jenis pendapatan. Kita perlu tahu, setiap pendapatan yang diterima di Malaysia, kerajaan Malaysia mempunyai hak atas nilai pendapatan yang diterima iaitu – pendapatan bercukai.
Pendapatan Bagaimana perlu dicukaikan?
Pendapatan yang diterima di Malaysia perlulah dikenakan cukai. (Boleh rujuk pada Seksyen 3, Akta Percukaian 1967). Untuk pemahaman, saya menggunakan cerita:
a. Ahmad bekerja di syarikat Minyak dan Gas di malaysia.
b. Arul bekerja di syarikat Minyak dan Gas di Dubai.
c. Acong melakukan ‘trading’ future Minyak & Gas, di Ipoh.
Untuk ketiga-tiga situasi ini, semestinya Ahmad dikenakan cukai. Untuk Arul, pendapatannya diperoleh di Dubai (Dubai tiada cukai pendapatan). Kes Acong, adalah melibatkan peningkatan modal (dalam bentuk ‘capital gains’) Di Malaysia belum ada lagi cukai untuk Capital Gains.
Istilah pendapatan pula, adalah apa yang diperolehi dalam tahun semasa. Misalnya, hal percukaian 2016 adalah segala pendapatan yang diterima sepanjang 1 Januari 2016 hingga 31 Disember 2016. Menurut Seksyen 4 Akta Percukaian 1967, ada enam kategori disebut sebagai ‘pendapatan’ (pendapatan yang dikenakan cukai).
- Pendapatan dan keuntungan daripada perniagaan.
- Pendapatan dan keuntungan daripada pekerjaan.
- Dividen, interest dan diskaun.
- Sewaan, royalti dan premium.
- Wang pencen, anuiti dan pembayaran berkala (periodical payments)
- Apa sahaja pendapatan dan keuntungan yang tidak masuk dikategorikan di atas.
Untuk No. 3, contohnya dividen ASB tidak diperlukan membayar cukai bagi individu kerana tanggungjawab membayar cukai atas dividen telah dibayar oleh pihak pengurusan pelaburan. Untuk kes ini adalah Permodalan Nasional Berhad (PNB). Pihak PNB telah dikenakan cukai, oleh sebab itu individu pelabur tidak perlu dikenakan cukai. Tiada ‘double tax charge’ pada satu sumber yang sama.
Ada beberapa isu telah diutarakan. Contohnya, duit menang loteri (windfall money) adakah sepatutnya perlu dikenakan cukai atau tidak. Ini juga berlaku pada wang insuran atau pewarisan harta serta sumber disebut sebagai hadiah dan derma. Misalnya, pusat anak yatim mempunyai pendapatan pada sumber derma. Adakah sumber ini perlu dikenakankan cukai, sebab ianya satu pendapatan?
Ini adalah ‘grey area’ dalam hal percukaian. Sebab itu No. 6, telah disebut apa sahaja keuntungan dan pendapatan yang tidak dikategorikan khas – sebaiknya perlu dimaklumkan kepada pihak LHDN. Jadikan pihak LHDN sebagai ‘kawan’ untuk mengetahui hal ini lebih lanjut kerana mereka lebih arif tentang hal ini.
Pengiraan Cukai dan Pembayaran Cukai
Sebelum mengira cukai, kita perlu faham betul-betul sumber sebenar pendapatan kita. Jika pendapatan kita bukan datang dari sumber bisnes (datang daripada sumber pekerjaan, bekerja dengan majikan) kita perlu mengisi borang BE. Manakala jika sumber pendapatan kita datang dari perniagaan / bisnes, kita perlu mengisi borang B.
Keduanya mempunyai tarikh akhir yang berbeza.
- Borang BE (untuk bukan bisnes, hanya untuk pekerja) tarikh akhir adalah 30 April setiap tahun. [Contoh Borang EA]
- Borang B (untuk bisnes, kecil atau besar) tarikh akhir adalah 30 Jun setiap tahun. [Contoh Borang CP58]
Jika bekerja melalui majikan, kebiasaanya akan diberi borang EA ataupun disebut Employment Assesment. Dalam borang tersebut akan dinyatakan tentang pendapatan kita, berapa telah ditolak untuk KWSP dan elaun-elaun diterima. Jika kita seorang ejen, pendapatan hadir melalui komisyen sebaiknya perlu ada. Apakah itu CP58 ? – Penyata Bayaran Insentif Berbentuk Wang Tunai Dan Bukan Wang Tunai Kepada Ejen, Pengedar Atau Pengagih Tertakluk Kepada Seksyen 83A Akta Cukai Pendapatan 1967.
Seperti ejen-ejen, pengedar dan pengagih, sepatutnya ada penyata CP58. Ini akan memudahkan urusan cukai kelak. Apa sahaja yang wujud dalam CP58, perlu dikira sebagai pendapatan. CP58 boleh membuat cukai untuk borang BE jika menerima sebagai individu ataupun borang B, jika ingin menerima sebagai sebuah entiti perniagaan. Ada beza membuat tax declaration di bawah entiti individu dan entiti perniagaan.
Mempunyai entiti bisnes sangatlah menguntungkan dari segi percukaian. Banyak cukai dijimatkan jika kita membuat percukaian melalui entiti bisnes.
Entiti bisnes ada banyak jenis. Dalam ini saya lebih tumpukan kepada entiti paling ‘cikai’ iaitu entiti entrprise atau sole-entrepreneur. Sudah pasti, jika syarikat (sendirian berhad) lagi banyak cukai boleh dijimatkan.
Jika kita seorang pekerja, kita tidak dibenarkan membuat pengurangan cukai untuk perbelanjaan, tuntutan Capital Allowance (seperti kereta, motor dan peralatan) dan kerugian. Hanya entiti bisnes layak untuk pengurangan cukai bagi perbelanjaan (deduction of expenses), tuntutan Capital Allowance (claim of capital allowance) dan kerugian (carry forward of losses).
Sebab itu, orang berniaga yang bijak akan tukar kereta setiap 5 tahun. Mereka menggunakan pelepasan Capital Allowance dengan berkesan.
Jika ada perkara hendak diubahsuai atau penambahan, borang JA (additional assesment) sangat diperlukan. Boleh digunakan pakai dalam masa 5 tahun daripada tahun yang kita hendak membuat pengiraan cukai. Tetapi, jika ada berlaku penipuan dan kesalahan cukai tarikh di atas tidak boleh dipakai. Pengiraan cukai perlulah disokong dengan bukti (resit contohnya) bukan main sebarang kira sahaja. Sebab itu, jika ada perubahan dalam pengiraan cukai, ubahsuai itu perlulah disokong dengan bukti.
Part Time atau Full Time : Nak isi borang mana?
Tidak perlu lihat pada status ‘part time’ atau ‘full time’ tapi perlu lihat, mana satu pendapatan yang paling banyak. Sebagai contoh, seorang guru tetap perlu mengisi borang BE manakala seorang ejen insuran sepenuh masa perlu isi borang B.
Bagaimana jika seorang guru tetap tetapi mempunyai pendapatan sampingan sebagai seorang ejen takaful? Jika pendapatan ejen belum melebihi daripada pendapatan cikgu, sebaiknya isi borang BE. Pendapatan ejen pula perlulah diisi dalam kolum pendapatan berkanun faedah, diskaun, royalti, premium, pencen, anuiti, bayaran berkala lain, apa-apa perolehan atau keuntungan lain dan tambahan peruntukan perenggan 43(1)c.
Manakala jika cikgu tadi, pendapatan dalam takaful lebih tinggi daripada pendapatan cikgu, ada baiknya isi borang B. Pendapatan cikgu boleh diletakkan dibawah kolum pendapatan berkanun penggajian.
Perbelanjaan dibenarkan untuk Percukaian Perniagaan
Banyak! Bergantung pada aktiviti perniagaan yang kita lakukan. Antara contoh boleh kenalpasti sebagai perbelanjaan dibenarkan:
- Interest atas pinjaman perniagaan.
- Sewaan tempat untuk perniagaan.
- KWSP, jika kita menggaji pekerja.
- Gaji kepada staf-staf.
- Perbelanjaan untuk membaiki.
- Perbelanjaan untuk pengangkutan. (jika kereta peribadi pakai untuk perniagaan, perlulah ada perjanjian dan dimatikan dengan ‘stamp’ hasil)
Untuk memahami lebih lanjut mengenai pengurangan dibenarkan adalah dengan membuat rujukan pada Seksyen 33(1) Akta Percukaian 1967 (Deduction Allowed) dan Seksyen 39 (Deduction Not Allowed).
Dalam seksyen 33(1) menyebut tentang:
“Subject to this Act, the adjusted income of a person from a source for the basis period for a year of assessment shall be an amount ascertained by deducting from the gross income of that person from that source for that period all outgoings and expenses wholly and exclusively incurred during that period by that person in the production of gross income for that source…”
Untuk pemahaman lebih jelas, perlulah perbelanjaan itu ada kaitan dengan produktiviti secara terus menerus.
Boleh dikatakan, perbelanjaan tempat tinggal dan pengangkutan tidak dibenarkan, tetapi perniagaan insuran/takaful memerlukan kita bergerak dan pergerakan itu adalah ‘direct’ kepada nilai bisnes. Perbelanjaan yang hanya untuk diri sendiri semata-mata tidak dibenarkan untuk perbelanjaan pengurangan cukai. Oleh itu, berpendapat bahawa perbelanjaan untuk aktiviti pemasaran tidak boleh dianggap sebagai perbelanjaan yang dibenarkan pengurangan cukai kerana ’tiada hubung kait jelas’ antara pemasaran dan membuat produktiviti.
Dalam akta ini juga menyebut, pelepasan untuk kenderaan hanyalah untuk kenderaan yang hanya bernilai RM150,000 sahaja. Manakala untuk perbelanjaan keraian (entertainment) hanya membenarkan 50% sahaja untuk percukaian.
Perbelanjaan membeli hadiah yang mempunyai logo perniagaan dibenarkan. Jika belanja makan dan minum untuk aktiviti prospecting tidak dibenarkan. Tetapi jika belanja makan dan minum untuk aktiviti yang membawa keuntungan (aktiviti ‘sign proposal’ dan ‘delivery policy’) dibenarkan.
(Untuk aktiviti keraian, perlu rujuk Public Ruling No. 4/2015. Date of publication: 29 July 2015)
Manakala jika kita ada rumah sewa, perbelanjaan seperti pembaikan, maintenance fees & sinking fund, assessment, quit rent serta insuran dibenarkan untuk perbelanjaan. Tetapi untuk aktiviti cat semula dan penambaikan (renovate) tidak dibenarkan. Begitu juga dengan komisyen kepada broker yang mencari penduduk rumah sewa.
Langkah demi Langkah Pengiraan Cukai
Untuk pemahaman lebih jelas, saya gunakan rajah ini; langkah demi langkah bagaimana pengiraan sehingga dalam amaun pendapatan yang wajib dicukaikan.
Sebagai ejen insuran / takaful, kita ada ruang untuk menjimatkan cukai dengan kolum:
- Allowable expenses
- Capital allowance
- Approved donation
- Personal relief
Jika ada rebat-rebat cukai, gunakan rebat tersebut dengan berkesan.