Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
2017 adalah tahun yang mencabar kepada rakyat Malaysia. Ada ura-ura mengatakan fasa ekonomi yang lemah akan berterusan. Harap perkhabaran ini dapat diterima semua dan kita membuat persediaan.
Waktu-waktu begini ada yang telah kehilangan pekerjaan kerana syarikat bekerja melakukan ‘downsizing’ atau proses ‘cut-cost’. Ada juga berasa goyang dengan keadaan ini. Dalam kelompok ini, ada satu golongan yang terpaksa bekerja tetapi dalam jiwa nak melakukan bisnes.
Kalau berhenti kerja sebab tak suka bos, dan ingin melakukan bisnes. Harap anda jangan berhenti.
Kalau berhenti kerja sebab berbisnes memberi pendapatan lebih lumayan dengan cepat. Harap anda jangan berbisnes.
Berhenti kerja dan melakukan bisnes, ada persiapan rapi yang perlu kita lakukan. Apatah lagi jika anda sudah mempunyai komitmen keluarga, rumah dan kereta.
Ini apa yang saya pelajari melalui ABS, Seminar Job Escape Plan.
- Mindset. Mindset seorang bisnes tidak sama dengan mindset seorang yang selama ini makan gaji. Logik-logik orang bisnes juga berbeza. Sebagai contoh, orang bisnes sentiasa bersedia membayar cukai untuk kesenangan masa hadapan. Tetapi orang makan gaji, merasakan membayar cukai adalah satu bebanan yang besar ditanggung. Untuk pemahaman yang jelas, bacalah buku The Secret Millionaire Mind.
- Periksa realiti. Adakah anda mempunyai tanggungan? Adakah anda belum menunaikan haji / umrah? Adakah anda mempunyai risiko penyakit? Sila periksa semua ini. Lihat aliran tunai dan aset-aset yang anda sudah perolehi. Pastikan aliran tunai dalam keadaan positif dan tutup hutang-hutang dahulu sebelum berbisnes. Juga pastikan tiada perbelanjaan yang merepek masih diteruskan. Kalau perlu tutup Astro, tutup.
- Buat simpanan. Ya, ini paling kritikal. Sebaiknya buat simpanan minima 1 tahun perbelanjaan. Jika sebulan belanja adalah RM1,000 kita perlu ada simpanan minima RM12,000. Bisnes bukannya indah. Hampir 93 peratus bisnes bungkus dalam masa 3 tahun pertama. Menyimpanlah sebanyak mungkin.
- Sokongan keluarga. Memang banyak cerita, orang bisnes main redah dulu baru minta restu keluarga. Sebaiknya, berbincanglah. Sebab jika ada masalah, keluargalah tempat kita rujuk dulu kelak. Kalau mereka tidak setuju dan anda yakin bisnes ini maju, buktikan dengan kejayaan-kejayaan kecil dalam bisnes anda. Belanjalah sikit bawa pergi makan – contoh.
- Selesaikan hutang-hutang. Sama poin di atas, periksa realiti. Hutang-hutang perlu dikambus terlebih dahulu sebelum berbisnes. Jika hutang kita terlampau banyak dalam bentuk kredit, sebaiknya berbincanglah dengan AKPK. Mereka boleh selesaikan.
- Kad medikal. Jika bekerja majikan yang sediakan bantuan perubatan, berbisnes urusan kesihatan adalah urusan sendiri. Dapatkan kad medikal, seminima yang mungkin. Oh, ya jangan lupa buat wasiat.
- Mulakan bisnes secara kecil. 3 tahun pertama bisnes (termasuk fasa bisnes sambilan) adalah fasa survival. Macam belajar berenang, kita belajar apungkan diri dulu baru belajar berenang. Ambil gaji melalui bisnes seminima mungkin, utamakan perbelanjaan bisnes (gaji staf, KWSP, SOCSO, komisyen, latihan) dan bina tim sebelum berhenti kerja.
Saya sangat bersyukur dapat ilmu melalui ABS Sekolah Bisnes ini.
Oleh itu, nak jadi ejen takaful / perunding kewangan (FAR) sepenuh masa, fikir-fikirkan poin di atas ini.