Assalamualaikum dan selamat pagi.
Penasihat kewangan atau dalam bahasa Inggeris lebih senang dipanggil Financial Advisor (nama pendek, FA) adalah satu cabang karier yang masih belum diterokai meluas oleh Malaysia.
Sebagai pengguna perkhidmatan kewangan, FA adalah individu (juga disebut FAR – Financial Advisor Representative) yang membantu kita mencapai matlamat kewangan melalui perancangan kewangan secara menyeluruh. Ini adalah konsep yang sebaiknya diterapkan dalam perancangan kewangan peribadi berbanding menggunakan perkhidmatan ejen-ejen insuran, ejen-ejen amanah saham dan konsultan untuk syarikat tertentu sahaja.
Pandangan mereka mungkin ‘bias’ kepada apa yang mereka ada tetapi tidak secara menyeluruh.
Baru ini, rakan FB saya tuan Saipuddin Rashid telah memberi tip-tip bagaimana hendak memilih penasihat kewangan yang baik.
#1. Ada Pentauliahan
Seorang penasihat kewangan sebenarnya memiliki pentauliahan yang profesional. Contohnya, CFP (Certified Financial Planner), ChFC (Chartered Financial Consultant), IFP (Islamic Financial Planner) dan ShRFP (Shariah Registerd Financial Planner).
Pentauliahan ini setaraf dengan pentauliahan professional untuk bidang seperti guaman, perubatan, kejuruteraan dan perakaunan.
#2. Ada perlesenan.
Mempunyai pentauliahan satu perkara, mempunyai lesen pula perkara yang lain. Seorang perancang kewangan yang ‘real’ adalah mereka berdaftar dan mempunyai lesen untuk bergerak sebagai penasihat kewangan.
Apabila di-lesenkan, mereka tertakluk di bawah etika kerja tertentu supaya profesionalisme mereka masih dijaga.
Perlesenan ini datangnya dari BNM (Bank Negara Malaysia) atau SC (Security Commisioner).
#3. Pengalaman.
Seorang penasihat kewangan yang baik perlu mempunyai pengalaman dalam bidang ini sekurang-kurangnya 3 tahun.
Lagi lama lagi bagus!
Perancangan kewangan peribadi adalah satu seni yang sukar hendak ditafsirkan. Setiap permasalahan dalam perancangan kewangan individu ini adalah keunikan masing-masing.
Sebaiknya, carilah yang berpengalaman. Anda sebenarnya tidak perlu risau, untuk seorang penasihat kewangan ditauliahkan sebenarnya perlu ada pengalaman minima 3 tahun barulah mereka layak menduduki sesi pentauliahan (bergantung pada sesi pentauliahan yang mereka ambil).
#4. Komisyen dan yuran.
Penasihat kewangan juga ada beberapa jenis. Ada yang lebih kepada sesi seperti kaunseling dan caj dikenakan pada berapa lama proses ataupun berdasarkan masalah kewangan yang dihadapi.
Ada juga tidak mengenakan caj tetapi jika ada produk kewangan ditawarkan, komisyen yang diperolehi oleh penasihat kewangan sudah memadai.
Seorang penasihat kewangan yang baik akan memberitahu setiap komisyen dan yuran secara terperinci kerana ini adalah etika kerja mereka yang sebenar.
#5. Keprihatinan.
Sangatlah perlu untuk memilih penasihat kewangan yang beroperasi seperti seorang doktor iaitu cuba memahami situasi anda dan mencadangkan ubat yang benar-benar mujarab (walaupun komisyen produk kewangan itu tidaklah banyak).
Bidang perancangan kewangan peribadi ini sangatlah penuh ’emosi’. Kebiasannya, FA akan mengikut prinsip EGADIM – iaitu standard operating procedure memastikan proses kerja FA lebih tertumpu kepada menyelesaikan masalah kewangan pelanggan.
Menurut kata Saipuddin Rasid, di Malaysia khidmat Perancang Kewangan masih lagi asing tidak seperti negara Barat.
Apa yang perlu kita ingat adalah nasihat kewangan percuma biasanya akan di bayar dengan yuran kebodohan yang cukup mahal.
Faktor itu perlu kita rujuk orang yang sepatutnya.
(Tips ini dikongsikan di Facebook beliau, boleh follow beliau di sini.)