Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Perancangan kewangan adalah satu perkara wajib dititikberatkan pada hari ini. Ianya sebagai bahan ilmu untuk menghadapi cabaran kewangan pada hari ini yang boleh dikatakan memerlukan pengetahuan yang luas dan mendalam.
Soal perancangan kewangan adalah satu isu yang jarang diketengahkan. Malah ada yang beranggapan bahawa perancangan kewangan hanyalah soal bab membeli amanah saham sahaja atau merancang takaful / insuran sahaja. Persepsi ini kurang tepat. Perancangan kewangan peribadi adalah merangkumi perkara yang sangat meluas dan holistik (menyeluruh).
Celik tentang perancangan kewangan adalah perkara yang wajar dititikberatkan sejak kecil lagi. Landskap kewangan hari ini banyak menengahkan perancangan kewangan konvensional dimana lebih kepada bagaimana cara memperbanyakkan modal (duit) dan memenuhi tuntutan duniawi sahaja.
Sebagai seorang Muslim, perlu sedar bahawa perancangan kewangan konvesional amatlah berbeza dengan perancangan kewangan Islam dimana unsur-unsur ditegah seperti riba, maysir (perjudian) dan gharar (ketidakpastian) tidak boleh ada.
Perancangan kewangan Islam bukanlah semata-mata datang dari fikiran manusia tetapi disandarkan pada nas-nas Al-Quran, hadis-hadis dan pandangan ulama-ulama.
Memahami perancangan kewangan Islam memerlukan penelitian yang mendalam dan adab ilmu yang tinggi. Bukan hanya boleh menuntut melalui pembacaan sahaja tetapi perlu dalam adab berilmu – mempunyai guru yang mengajar.
Sebagai pembuka wadah ilmu perancangan kewangan Islam, saya juga telah merujuk rajah yang telah disediakan oleh Hijrah Wealth Managers untuk memudahkan kita faham tentang perancangan kewangan Islam.
Pertama sekali apabila ingin tahu tentang perancangan kewangan Islam, kita perlu sedar apakah tanggungjawab kita di muka bumi. Sebagai manusia yang dicipta oleh-Nya, perlu sedar bahawa tugas kita hanyalah untuk beribadat kepada Allah (dalam pelbagai perkara termasuklah muamalat) dan sebagai khalifah, memimpin kepada perkara yang baik dan tidak membazir menggunakan sumber alam.
Seterusnya, permulaan sesuatu perancangan kewangan Islam adalah punca pendapatan itu sendiri. Mestilah pendapatan itu sesuatu yang halal daripada segi syarak untuk memastikan barakah dalam apa yang diberi. Allah selalu menekankan supaya sumber yang halal untuk menjaga Maqasid Syariah (pemikiran yang baik, keturunan yang baik). Oleh itu pegangan yang baik, rujuklah semula Rukun Islam dan Rukun Iman.
Seterusnya langkah dalam perancangan kewangan Islam. Seperti yang disebut sebelum ini, perlulah merancang secara menyeluruh. Sudah pasti perlulah menitikberatkan perkara seperti dibawah:
- Pendapatan dan Perbelanjaan.
- Pengurusan hutang.
- Penyucian harta.
- Perlindungan.
- Pelaburan.
- Persaraan.
- Pengagihan harta.
Untuk memahami lebih jelas, saya telah huraikan dengan lebih jelas seperti rajah di bawah.
Berbanding dengan perancangan kewangan konvensional, perancangan kewangan Islam perlulah ada keseimbangan perkara dunia dan akhirat (duniawi & ukhrawi). Rajah pertama di atas, perkara yang perlu diseimbangkan adalah;
- Pendidikan.
- Perkahwinan.
- Simpanan
- Persaraan.
- Budaya Iqra.
- Ehsan ibubapa.
- Keperluan rumahtangga.
- Kelahiran baru.
- Percutian.
- Kenderaan.
- Hartanah
- Cukai.
- Takaful.
- Dana kecemasan.
Tujuan membuat perancangan kewangan Islam bukan mendidik seorang Muslim untuk jadi kaya semata-mata. Berbeza dengan konvensional, yang lebih merujuk kepada Maslow Hierarchy dimana lebih kepada duniawi semata-mata. Perancangan kewangan Islam perlulah ada tujuannya juga.
Apa yang diajarkan oleh Hijrah Wealth Management, menggunakan akronim ISLAM. Iaitu I, menginfaqkan harta. S, sedekah amal jariah. L, lambaian kaabah – sudah pasti seorang Muslim perlu memenuhi rukun Islam kelima. A, awqaf iaitu waqaf dalam bentuk yang banyak dan akhir sekali M, mensuci harta. Ianya juga rukun Islam ketiga – membayar zakat.
Apabila kita membuat keputusan hendak membuat perancangan kewangan Islam, matlamat akhir adalah tiga perkara (seperti dianjurkan).
- Ada waktu dan wang untuk mendidik anak, menjadi lebih baik.
- Ada ilmu yang bagus, untuk diajar kepada orang lain.
- Ada wang boleh lakukan awfaq demi kelansungan pahala (insha Allah).
Ini lah membezakan antara perancangan kewangan Islam berbanding perancangan kewangan konvensional.
Adib Yazid