Perkara WAJIB Tahu Sebelum Ambil Insuran / Takaful Motor (Kenderaan)

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Baru dua hari lepas, saya pergi ‘renew’ takaful motor dan cukai jalan di bank. Saya memilih bank, sebab tak ramai orang tahu bank pun ada menawarkan khidmat ini. Malah tiada orang, parking pun senang (lokasi Klang).

Kebetulan ada seorang lelaki berumur dalam linkungan 25 tahun, pun guna khidmat yang sama. Saya memperkenalkan diri saya kepada beliau. Begitu juga dirinya. Rupanya ini kali pertama beliau ‘renew’ takaful motor dan cukai jalan. Beliau main bayar je, tak tahu apa sebenarnya perlindungan yang beliau dapat.

Oleh itu, disebabkan pengalaman saya dalam insuran & takaful ini, beliau telah minta saya mengajar tentang apa yang perlu tahu tentang insuran / takaful motor ini.

Apa perkara perlu tahu?

#1. Umur penumpang. Broker insuran / takaful motor perlu tahu umur, oleh itu nombor kad pengenalan amatlah penting bagi menentukan harga.

#2. Tarikh tamat insuran / takaful serta cukai perjalanan. Ya, ini amat penting. Sebab nak sesuaikan tarikh. Kalau ‘overlap’ pada tarikh yang, alamat rugilah satu hari perlindungan. Ada pelanggan pandai, buat ke hadapan sikit. Hari yang tak ada ‘coverage’ tu, kereta duduk rumah. Ada juga buat tarikh senang nak fikir, atau genapkan – contoh 1hb April 2018.

#3. Jenis kenderaan. Perlu tahu adakah kenderaan yang dimiliki adalah jenis kenderaan persendirian, jenis motorsikal, jenis teksi awam, jenis kereta sewa. Kereta sewa pula ada dua kategori, samada kita yang pandu sendiri atau disediakan pemandu (pemandu adalah orang lain).

#4. Kawasan. Ini juga amat penting. Adakah kenderaan anda berada di Semananjung Malaysia ataupun selain itu; Sabah, Sarawak atau Labuan.

#5. Jenis perlindungan, komprehensif atau pihak ketiga. Ini juga adalah bahagian yang sangat-sangat penting.  Perlindungan pihak ketiga adalah perlindungan kepada orang lain. Situasi, kereta rosak dan dicuri kereta sendiri tak boleh buat tuntutan. Perlindungan komprehensif adalah perlindungan kepada kereta sendiri (NCD akan hilang), perlindungan pihak ketiga – orang lain buat tuntutan pada insuran/takaful sendiri (NCD juga akan hilang) dan juga harta benda orang lain, misalnya langgar rumah orang.

Perlindungan komprehensif ni sekarang ada macam-macam. Boleh sertakan dengan perlindungan cermin kereta, perlindungan kecurian, perlindungan banjir, perkhidmatan towing dan macam-macam lagi. Rajin-rajinlah ‘shopping’.

#6. Maklumat kenderaan. Maklumat kereta akan membantu menentukan nilai perlindungan. Maklumat yang perlu diketahui:

  • Tahun dibuat.
  • Kilang pengeluar (Proton? VW? BMW?)
  • Model. Model SE, model Facelift?
  • Kapasiti enjin. Berapa CC? 1600 CC? 2000 CC?
  • Jenis transmission. Auto ataupun manual.
  • Varians.

Semua maklumat ini ada dalam geran kereta. Jadinya, sediakanlah geran kereta apabila hendak ‘renew’ cukai jalan dan insuran / takaful.

#7. Nilai perlindungan. Berdasarkan no.6, maklumat kenderaan akan menentukan nilai perlindungan semasa. Biasanya daripada maklumat kenderaan, kita akan tahu nilai semasa (market value).

Contohnya kenderaan A, pada tahun 2017 nilai semasa adalah RM50,000. Jika apa-apa berlaku kemalangan total loss, nilai pampasan adalah RM50,000 sahaja. Tetapi jika berlaku kemalangan 6 bulan akan datang, bukan RM50,000. Boleh jadi kurang daripada itu, mengikut nilai semasa kenderaan ketika itu.

Nilai susut kereta agak cepat dan tidak selari dengan nilai biaya kewangan / pinjaman kepada bank. Kenderaan yang sama, nilai hutang pada bank adalah RM65,000. Jika berlaku total loss, alamat kena tambah lagi RM15,000.

Jadi di sini, ada satu nilai iaitu nilai persetujuan (agreed value). Contohnya RM65,000. Jika berlaku kemalangan total loss, pihak insuran / takaful perlu bayar pada harga RM65,000 kerana itulah nilai yang dipersetujui.

Pemilihan samada ikut market value atau agreed value adalah pertimbangan peribadi.

 

#8. Premium / caruman asas & bebanan (loading). Ini adalah lebih teknikal sedikit. Nilai bayaran asas adalah sama setiap syarikat insuran / takaful. Bezanya pada bebanan (loading). Contohnya, ada syarikat AtoZ lebih mahal berbanding syarikat lain. Tetapi menawarkan pelbagai perkhidmatan kepada pelanggannya.

#9. NCD atau Non Claim Discount. Jika tidak berlaku kemalangan pada kereta untuk satu tempoh, bayaran insuran / takaful akan lebih murah.

Contoh NCD untuk kenderaan peribadi:

  • Tahun pertama: 0%.
  • Tahun kedua: 25%.
  • Tahun ketiga: 30%.
  • Tahun keempat: 38.33%.
  • Tahun kelima: 45%.
  • Tahun seterusnya: 55%.

Bagi kenderaan lain, seperti motorsikal pula berbeza.

  • Tahun pertama: 0%.
  • Tahun kedua: 15%.
  • Tahun ketiga: 20%.
  • Tahun keempat: 25%.
  • Tahun seterusnya: 25%.

Sebab itu, ada yang suka ‘settle’ luar untuk selesaikan isu kemalangan kecil supaya tidak menggunakan insuran / takaful sekaligus menjimatkan NCD.

 

#10. Manfaat tambahan. Ini bersambung daripada perlindungan komprehensif. Di luar sana, banyak syarikat takaful / insuran menawarkan perlindungan tambahan. Ini adalah pemilihan peribadi dan bagaimana anda mengurus risiko kenderaan anda.

Contoh manfaat tambahan:

  • Perlindungan cermin depan.
  • Perlindungan banjir
  • Perlindungan aksesori kereta.
  • Perlindungan liabiliti penumpang.
  • Liabiliti penumpang di sisi undang-undang kerana perbuatan cuai
  • Mogok, rusuhan, kekecohan awam
  • Pembayaran kerugian kereta berada di bengkel

 

 

Terakhir, biasanya broker insuran / takaful akan menawarkan samada hendak lakukan sekali khidmat berikut.

  • Perkhidmatan memperbaharui cukai jalan.
  • Perkhidmatan hantaran pelekat cukai jalan terus ke rumah.

Biasanya khidmat ini dalam linkungan RM10 ke RM20 (biasanya RM20). Kalau anda rasa anda nak buat, buat sendiri. Kalau nak jimat masa, bayarlah RM20.

Untuk tidak memeningkan kepala, simpan softcopy Geran Kenderaan dalam PDF. Senang kalau nak minta ‘quotation’ daripada broker.

 

 

Adib Yazid

Advertisement

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s