Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Dalam soal pengurusan kewangan berlandaskan Islam, perkara paling pertama adalah bahagian Mencipta Kewangan. Sudah pasti apa yang membezakan antara kewangan konvensional dan kewangan Islam adalah apakah matlamat paling hujung sekali.
Kewangan konvensional bermatlamatkan untuk mencari keuntungan semata-mata tanpa memikirkan apa cara sekalipun. Manakala kewangan Islam, matlamat utama adalah mencari Al-Falah iaitu kejayaan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, redha Allah sangatlah penting.
Ia adalah berpandukan ayat Quran di bawah.
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).
(Surah Al Baqarah, Ayat 288)
Islam melarang mengambil hak orang lain tanpa keizinan dan apa jua cara. Dalam Islam, telah melarang umatnya memakan hasil riba. Juga dalam muamalat hari ini, melarang kita orang Islam berurus niaga yang ada unsur perjudian (maysir) dan penuh keraguan (gharar). Apatah lagi, soal rasuah.
Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu, dan janganlah kamu berbunuh-bunuhan sesama sendiri. Sesungguhnya Allah sentiasa Mengasihani kamu.
(Surah An Nisa, Ayat 29)
Riba adalah sesuatu yang diharamkan dan sangat ditegah. Ianya adalah satu perkara yang memberi bebanan kepada satu pihak lain. Islam menggalakkan berusaha di atas satu modal dan keuntungan itu dinikmati bersama.
Dalam konsep riba, satu pihak membuat keuntungan tanpa melakukan apa-apa (tanpa risiko). Riba ini sebenarnya adalah unsur berbahaya dan bergerak secara halus.
Oleh itu, dalam kewangan Islam perkara utama dan pertama adalah mencari yang halal. Apatah lagi, jika kita sebagai ketua keluarga yang memberi makan anak dan isteri.
Nauzubillah.
Adib Yazid