Assalamualaikum dan selamat pagi.
Dalam mana-mana bisnes yang kita mahu mulakan perlu tahu apakah jenis model bisnes yang mahu kita pakai. Saya lebih gemar menggunakan cerita McDonalds. Syarikat makanan segera itu bukanlah memfokuskan kepada penjualan makanan seperti burger atau minuman soda, tetapi model sebenarnya adalah menjual hartanah!
Hartanah dibeli berdasarkan faktor lokasi yang bagus dari segi kepadatan dan akses, lalu disewakan kepada pengusaha atau usahawan yang mahu menjalankan bisnes McDonalds.
Barang Murah & Barang Mahal
Saya pernah berjumpa dengan seorang jutawan senyap di bandar Coalfield. Saya bertanya tentang persepsi masyarakat Melayu tentang satu-satu produk atau servis. Beliau berpendapat, masyarakat hari ini masih lagi memilih faktor harga berbanding nilai (value) pada satu barang atau servis yang mereka sudah beli.
Mahal dan Murah adalah perkara yang sangat subjektif.
Perkara pertama ditanya adalah – berapa harga? Dari situ mereka akan berfikir adakah ini mahal atau murah?
Mana datangnya pemilihan berdasarkan nilai (value)?
Nilai ini akan datang dengan sendiri setelah mengalami prosesnya. Misalnya, apabila melihat pakej pelancongan murah, itu dulu yang diambilnya. Pakej mahal tolak tepi. Bila melancong, alamat banyak masalah berlaku. Visa lambat, dapat hotel jauh, dapat pemandu pelancong teruk dan macam-macam lagi.
Walhal pakej satu lagi, mahalnya tak seberapa pun. Beza RM100-RM200 sahaja. Oleh itu, mahal dan murah adalah satu perkara yang subjektif.
Syarikat Mahal untuk Produk Mahal
Baru-baru ini saya melihat pergaduhan antara ejen-ejen takaful yang mengatakan produk atau pelan mereka terbaik dalam pasaran. Waduh! Pasaran takaful adalah pasaran yang baru masuk fasa penetrasi, tetapi pemainnya kerap bergaduh.
Sehingga terkeluar satu seminar tentang ‘syarikat mahal, produk mahal’. Adakah ini konsep yang betul? Adakah syarikat yang betul-betul gah sahaja akan bermain segmen pasaran yang baik – misalnya, pasaran high net worth income?
Saya memberi contoh, Ferrari.
Syarikat pembuatan automotif Ferrari tidak mengeluarkan kereta kecil umpama MyVi. Begitu juga dengan Mercedes, BMW dan Audi. Mereka bermain dalam segmen dalam kelas mewah. Itu apa yang ramai berpendapat.
Sebenarnya, syarikat automotif yang saya telah sebut telah masuk dalam pasaran lebih besar, mass market. Pasaran yang ramai orang dan ramai permintaan.
Saya memberi contoh lain. Syarikat Walmart.
Ini adalah syarikat yang paling gah di Amerika Syarikat yang diasaskan oleh Sam Walton. Mereka mempunyai visi yang jelas, menjadi sebuah syarikat jualan di hati dan minda pelanggan serta pekerja mereka.
Walmart Vision Statement
Apakah strategi mereka untuk menjadi peminat di hati pelanggan dan pekerja mereka?
Mereka menetapkan matlamat ‘jimat’ dengan cara menjual produk yang mampu milik dalam skala yang besar. Mereka faham, produk berkualiti biasanya mahal. Di Walmart mereka menerapkan produk murah dari segi harga pasaran dan mampu, serta kualiti yang terbaik mengikut harta tersebut.
Walmart Mission Statement
Berbalik cerita Ferrari tadi.
Ya, Ferrari tidak menjual kereta pada segmen orang biasa-biasa. Tetapi mereka telah masuk ke pasaran orang biasa-biasa dengan cara lain. Mereka memberi teknologi mereka pada syarikat lain dan mengeluarkan kereta mampu milik. Lebih kurang macam memandu Ferrari tetapi dengan harga berbaloi.
Malah Ferrari juga masuk pasaran cenderamata, seperti baju, payung, topi dan aksesori lain yang mempunyai logo Ferrari. Kerana mereka faham, untuk golongan biasa-biasa membeli jenama Ferrari belum waktunya tetapi Ferrari sudah menetapkan Ferrrari di hati bakal-bakal pemunya Ferrari.
Syarikat Audi memang tidak mengeluarkan kereta untuk orang biasa-biasa, kerana syarikat yang sama memiliki Audi telah mengeluarkan kereta untuk orang biasa-biasa dengan jenama lain; Volkswagen.
Malah syarikat yang memegang Audi mempunyai segmen mewah iaitu Porche.
Mercedes dahulunya lebih kepada pasaran eksekutif ke atas sehingga pada satu masa orang telah ingat, Mercedes untuk orang tua-tua sahaja.
Mereka telah mengubah strategi menawan hati orang muda dengan menawarkan kereta kelas A, seperti A230 yang lebih dinamik untuk orang muda malah mampu milik selain kelas C dan kelas E.
Ali Baba yang diasaskan oleh Jack Ma, adakah syarikat bernilai berbillion dollar. Adakah syarikat itu mengeluarkan produk atau servis bernilai jutaan?
Tidak, Ali Baba memfokuskan kepada peniaga-peniaga kecil yang produknya bukannlah sampai ribuan ringgit.
Itu model bisnes yang perlu kita faham hari ini.