Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Sedang saya lepak di Shah Alam, kebetulan ada seorang yang saya kenali semasa saya berkhidmat sebagai seorang jurutera di sebuah syarikat Jepun, datang menegur saya.
Seperti biasa, perbualan akan bertanya tentang kerja, keluarga, kisah kerja lama dan sedikit gosip. Beliau sudah tahu apa yang saya lakukan, (Saya telah memberitahu bahawa saya seorang penasihat kewangan), beliau bertanya tentang perkara kewangan.
“Saya ada bajet sekian, sekian, sekian. Mana patut saya bermula? Unit trust dulu atau takaful dahulu?”
Unit Trust VS Takaful
Kalau jumpa ejen Unit Trust terlebih dahulu berbanding ejen Takaful, mungkin akan di-pitch ambil dahulu pelaburan Unit Trust. Begitu juga sebaliknya. Pokok persoalan, mana satu yang betul?
Jika dahulunya, saya seorang ejen Takaful, kalau saya memberi nasihat bahawa memang betul Takaful dulu patut bermula, alamat saya sudah di-cop mengejar ‘sales’ dahulu.
Sebenarnya, samada Unit Trust atau Takaful, kedua-duanya bukan keutamaan.
Keutamaan paling penting adalah perancangan kewangan secara menyeluruh (holistik). Selepas mendalami Islamic Financial Planner dan Shariah Registered Financial Planner, perkara pertama perlu lihat adalah aliran tunai terlebih dahulu.
Jika aliran tunai berada dalam keadaan baik, lihat pula nilai aset dan liabiliti. Aset sesuatu yang memberikan anda pulangan pada masa akan datang atau masa sekarang. Liabiliti pula sesuatu yang memaksa anda mengeluarkan duit dari poket, iaitu hutang-hutang.
Okay, berbalik soalan mana satu penting Takaful atau Unit Trust. Saya sekarang lebih menggemari pendekatan sejarah zaman dahulu. Terutama zaman tamadun Babylon dan tamadun Sparta (walaupun dua tamadun ini bukan yang terbaik, tetapi ada nilai perlu dipelajari).
- Babylon telah mencipta tembok besar yang kukuh untuk mempertahankan rakyatnya dari ancaman luar, berbanding melatih askar-askar yang ramai untuk mempertahankan mereka. Dari segi kos, lebih murah dan lebih selamat.
- Lelaki Sparta dikenali dengan Spear (tombak) dan Shield (besi pertahanan). Ramai menyangka bahawa hebatnya pahlawan Sparta disebabkan skil bagaimana menggunakan Spear. Perlu diingat, pahlawan Sparta yang hilang Shield ketika perang adalah lelaki yang memalukan. Hilang Shield, tajamnya Spear tidak berguna lagi.
Ini memberi maksud bahawa ‘pertahanan’ itu lebih berkeutamaan tinggi berbanding ‘serangan’.
Dalam konsep dunia moden dan ilmu kewangan, ‘pertahanan’ itu merujuk melindungi risiko dan ancaman luar. Manakala ‘serangan’ itu lebih pelaburan.
Jika melabur dengan banyak sekalipun, tanpa menguruskan risiko, itu adalah kerja yang sia-sia. Itu pandangan dan intipati saya belajar daripada tamadun Babylon dan tamadun Sparta.
Perancangan kewangan peribadi perlu bersifat menyeluruh. Jika aliran tunai dah positif, dan ada lebihan untuk lakukan kedua-duanya (unit trust dan takaful), buat terus kedua-duanya. Jika ada bajet yang ketat, ya, takaful dulu perlu diutamakan.
Jika ada hutang-hutang yang tidak disandarkan pada aset atau tiada perlindungan untuk hutang tersebut, sudah jelas, matlamat mempunyai takaful perlu diletakkan di tempat yang tinggi.
Matlamat ini menjadi lebih penting jika anda seorang yang diperlukan dalam keluarga seperti ketua keluarga dan mempunyai tanggungan anak-anak.
Pokoknya, urus risiko terlebih dahulu berbanding nak melabur.
Adib Yazid
Memberi Untuk Menerima