Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Penafian: Saya tidak mewakili AKPK. Saya menulis tentang AKPK kerana ramai bertanya tentang apa itu sebenarnya AKPK.
Dalam pengurusan dan perancangan kewangan, perkara yang wajib ada dalam portfolio peribadi adalah hutang. Situasi moden hari ini, memang kita agak sukar lari daripada berhutang. Beli rumah, perlu berhutang. Beli kereta perlu berhutang. Sehinggakan hari ini, makan pun boleh berhutang iaitu dengan menggunakan instrumen kad kredit.
Hutang, ada jenis hutang baik iaitu berhutang untuk mencipta modal dan memberi aliran tunai. Ada juga hutang tidak baik atau hutang jahat, yang lebih merosakkan aliran tunai kewangan peribadi; contoh hutang pinjaman peribadi dan hutang kad kredit.
AKPK : Ini Apa Pula?
AKPK, adalah nama singkatan Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit. AKPK adalah satu agensi unik dalam negara kita pada asasnya membantu dari segi pendidikan kewangan. AKPK juga menawarkan kaunseling kewangan dan cara menguruskan kredit (hutang-hutang) dengan efisien.
Agensi difahamkan berkait rapat dengan Bank Negara Malaysia (BNM). Saya belum pernah menggunakan khidmat kaunseling AKPK, tetapi pada tahun 2013 saya telah menghadiri salah satu kelas kewangan AKPK, iaitu Power! Kelas ini sangat membantu saya menguruskan hutang-hutang yang berjela pada waktu itu.
Dikhabarkan, AKPK adalah badan kerajaan ditubuhkan untuk membantu mereka yang betul-betul menghadapi masalah pembayaran balik pinjaman.
Siapa yang memerlukan AKPK?
Ini pandangan peribadi. Ada tiga jenis individu yang memerlukan AKPK.
- Individu yang ingin mencedok pengetahuan tentang pengurusan kewangan, terutama pengurusan hutang.
- Individu yang ingin mendapatkan khidmat nasihat dan menguruskan hutang dengan lebih efisien, sebelum menjadi parah dan diisytiharkan muflis.
- Individu yang memang sudah hampir muflis, mungkin diminta oleh pihak institusi kewangan untuk menggunakan khidmat AKPK.
Nombor 1, senang. Pergi sahaja ke laman web AKPK dan daftar kelas kewangan, jika ada kekosongan. Saya cadangkan kepada graduan muda untuk menghadiri kelas kewangan ini. Saya banyak ditanya tentang nombor 2, dan ini yang akan menjadi tajuk penulisan saya.
Bagi saya, lebih baik berjumpa dengan AKPK daripada bakal diisytiharkan muflis. Apabila muflis, semua dibekukan oleh bank. Urusan harian menjadi lebih sukar.
Bagaimana fungsi AKPK nak uruskan hutang?
AKPK bukan menjadi wakil untuk individu bermasalah hutang. AKPK adalah orang tengah di antara bank dan si penghutang.
Segala maklumat peribadi dan jenis hutang dilaporkan kepada AKPK melalui sesi kaunseling. Kemudian, menggunakan bantuan AKPK, AKPK akan merangka program penghapusan hutang. Tindakan bakal dilakukan, AKPK akan memberitahu (seolah-olah memujuk) bank supaya mengurangkan bunga / interest.
Sebagai contoh, 18% ke 8% sahaja untuk kad kredit. Pinjaman peribadi boleh jadi dari 10% ke 5% sahaja. Jadinya, baki hutang akan menjadi sikit dan pembayaran bulanan juga secara tak langsung diturunkan. Ini memberi ruang bernafas untuk yang terlalu banyak hutang.
Program ini mungkin akan memakan masa bertahun-tahun mengikut perjanjian dipersetujui. Jika lagi panjang, ya pembayaran hutang bulanan akan menjadi lebih rendah. Terlalu panjang, sukar juga. Risau hilang motivasi.
Pembayaran hutang ini terus kepada bank lagi, jadi tiada isu bank akan menelefon individu supaya membayar hutang. Tiada lagi isu tertekan dengan panggilan telefon bank. Pembayaran terus kepada AKPK dan diagihkan kepada bank.
Pembayaran akan ini secara langsung akan menutup hutang-hutang kita. Ada bentuk pembayaran secara konsisten untuk satu tempoh lama. Ada juga pembayaran secara berperingkat. Pada awalnya sedikit dan bertambah dari masa ke semasa.
Masih perlu lihat kedudukan hutang yang ada.
TIPS: Kawan saya memberitahu bahawa, jika ada duit lebihan dan mahu membayar dengan cepat dan mahu keluar dari program AKPK ini, boleh buat pembayaran terus ke bank. Individu bebas untuk membuat pembayaran tambahan.
Konsep ini, kita tidak berhutang apa-apa dengan AKPK. Badan AKPK hanya orang tengah yang menjaga hak kita sepanjang tempoh menyelesaikan hutang. AKPK menanggung risiko kerana menjanjikan bank memastikan individu berhutang membayar hutang mengikut kemampuan dan perjanjian baru.
Diikutkan, bank tidak dapat membuat keuntungan maksimum dari pembiayaan kewangan disebabkan pengurangan caj/interest. Dengan AKPK, lebih baik hutang itu diselesaikan sedikit daripada langsung tidak diselesaikan.
Khidmat AKPK ini, tiada caj dan percuma. Ini yang terbaik.
Risiko Menggunakan AKPK
Ada yang mengatakan masuk AKPK, anda sudah di-blacklist. Sudah tentu, apabila, menyertai program AKPK anda sudah mempunyai rekod AKPK.
Selama di bawah program AKPK, kita akan dilindungi di bawah perlindungan. Bermaksud, kita ditolong oleh AKPK. Orang yang ditolong adalah orang yang pernah mengalami rekod pengurusan kewangan yang kurang baik.
Sebenarnya isu blacklist atau tidak masih tertakluk penilaian bank. Jika hutang sudah diselesaikan selepas 1 tahun, dimana segala rekod CCRIS / CTOS sudah diperbaiki, tiada isu untuk mengambil pinjaman / pembiayaan semula.
Ada mengatakan, rekod AKPK ini membantu pada masa akan datang. Ada juga mengatakan tidak, kerana individu dibawah program AKPK menyebabkan individu ini digolongkan sebagai berisiko tinggi untuk mengurusan kewangan akan datang (walaupun sudah insaf).
Ada individu yang menggunakan khidmat AKPK, mengatakan beliau mengambil program ini tetapi masih boleh memohon pembiayaan rumah dan sebagainya. Asalkan, berdiskusi dahulu dengan AKPK. (tidak dijelaskan samada AKPK membantu untuk mendapatkan pembiayaan)
Risiko lain, kedudukan kewangan anda dibawah pengawasan seseorang. Tujuan berkaunseling dan masuk program pengurusan hutang AKPK, adalah untuk menyelesaikan hutang. Segala rekod kewangan dilihat. Kalau nak melancong atau membuat perbelanjaan besar-besaran mungkin akan merencatkan program penghapusan hutang ini. (boleh melancong, tapi selesaikan hutang itu dulu)
Penting: Kalau tidak membayar hutang selepas menggunakan khidmat AKPK selama 3 bulan, akan ditamatkan program. Mungkin tiada peluang kedua.
AKPK adalah Rahmat di dalam negara
Negara lain, mungkin tiada badan macam ini untuk membantu sesiapa yang tergelincir / terbabas dalam penyusunan kewangan. Ia adalah rahmat kepada penghutang.
Berada di bawah program AKPK, dengan kata lain – tidak boleh disentuh oleh bank atau diisytiharkan bankrap oleh bank. Seolah-olah dapat lesen besar. Ada badan menjaga.
Tidak diganggu panggilan telefon meminta hutang, kesannya boleh tidur lena malam. Sekurang-kurangnya boleh bernafas daripada kesesakan kewangan. Perlu ingat, rahmat ini perlu digunakan sebaik-baik. Jangan menyalahkan gunakan khidmat ini.
Adib Yazid