Assalamualaikum dan salam sejahtera.
Bagi membantu orang ramai daripada menjadi mangsa muflis oleh pemberi pinjaman (pemiutang), pindaan terhadap Akta Kebankrapan telah dilakukan dan dikuatkuasakan pada 6hb Oktober 12017.
Ini akta ini dikenali sebagai Akta Insolvensi 1967. Terdapat lapan pindaan yang telah dibuat atas akta ini.
#1. Nilai Minimum
Nilai minimum untuk memulakan tindakan kebankrapan dinaikkan dari RM30,000 kepada RM50,000.
#2. Perlindungan Penjamin Sosial
Penjamin sosial diberikan perlindungan mutlak (tidak boleh dibankrapkan) kerana tidak mendapat sebarang keuntungan atau faedah daripada pinjaman yang dibuat oleh penghutang. Sebagai contoh; pinjaman pendidikan dan pinjam / pembiayaan kereta.
#3. Mekanisme Penyelamat Sebelum Dibankrapkan
Penghutang boleh berbincang dan berunding untuk penyelesaian sebelum dijatuhkan hukuman bankrap. Penghutang perlu memfailkan Penyata Hal Ehwal dan menyatakan jumlah pemiutang yang ada.
Perunding yang dilantik akan memfailkan Perintah Interim untuk penangguhan kes di Mahkamah selama 90 hari untuk berbincang dengan pihak pemiutang. Peranan tersebut lebih kepada perana seperti Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) ketika ini.
#4. Pelepasan Tanpa Bantahan Pemiutang
Sebelum ini, penghutang tidak terlepas daripada kebankrapan sekiranya mereka meninggal dunia, penjamin sosial, pesakit kronik atau OKU. Selepas akta ini dipinda, pelepasan tersebut tidak boleh dibantah oleh pemiutang.
#5. Tabung Bantuan Insolvensi
Tabung Bantuan Insolvensi akan diwujudkan untuk menambah baik dan memantapkan lagi pentadbiran kes-kes pentadbiran kes-kes kebankrapan. Buat masa ini, perkara tersebut di dalam Seksyen 77, tetapi seksyen tersebut disebut sebagai ‘investment of surplus funds’.
#6. Pelepasan Automatik
Orang yang bankrap boleh memohon untuk dilepaskan daripada kebankrapan dalam tempoh tiga (3) tahun dari tarikh pemfailan Penyata Hal Ehwal. Buat masa ini, orang bankrap hanya boleh dilepaskan dari kebankrapan dalam tempoh lima (5) tahun dari tarikh Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman. Walau bagaimanapun, pelepasn ini tertakluk kepada perkara-perkara berikut:
- Memenuhi sasaran yang ditentukan oleh Ketua Pengarah Insolvensi
- Orang yang bankrap memfailkan penyata pendapatan dan perbelanjaan setiap 6 bulan; dan
- Tertakluk kepada bantahan Pemiutang untuk kesalahan di bawah Seksyen 421-424 Kanun Keseksaan dan bantahan-bantahan lain.
#7. Notis Kebankrapan dan Petisyen Pemiutang
Notis dan petisyen perlu diserahkan kepada Penyampaian Kendiri. Buat masa ini tiada peruntukan di dalam Akta Kebankrapan. Ia hanya ada di bawah Seksyen 109 ‘Bankruptcy Rules’. Klausa ini bakal dimasukkan dalam Akta Kebankrapan.
#8. Sistem Satu Perintah Kebankrapan
Buat masa ini terdapat dua (2) perintah Kebankrapan, iaitu Perintah Penerimaan dan Perintah Penghukuman. Ramai orang awam yang tidak tahu bahawa mereka telah bankrap kerana dalam tajuk Perintah tersebut tidak menyatakan mereka telah bankrap.
Oleh itu, untuk memudahkan orang awam tahu, selepas ini hanya akan ada satu perintah yang dikenali sebagai Perintah Kebankrapan.