Assalamualaikum dan selamat pagi.
Alhamdulillah, usia saya pada tahun ini dah mencecah 31 tahun. Bila pada usia ini, ramai pula bertanya tentang tips-tips untuk orang muda, di mana yang bertanya adalah usia muda-muda.
Rata-rata adalah graduan yang baru melangsungkan graduasi dari Universiti dan bakal memasuki alam pekerjaan. Saya juga pernah bertanya perkara yang sama, apa yang perlu saya lakukan ya, yang bakal masuk alam pekerjaan dalam beberapa hari lagi?
Ini apa jawapan yang saya dapat terima pada usia saya 23 tahun.
#1. Buka Akaun Simpanan
Ya, inilah yang patut ada! Sebelum sembang nak buat pelaburan atau TH, atau macam-macam lagi. Wajib ada adalah akaun simpanan peribadi. Ini untuk memudahkan pelbagai urusan kelak. Termasuklah pembayaran bil-bil, komitmen yang bakal ambil dan sebagai penyata.
Bagaimana nak buat?
Pergi sahaja ke mana-mana bank, cakap nak buka akaun bank. Ada bank mengenakan syarat perlu meletakkan minima amaun simpanan. Layan je, lagipun itu duit kita.
Minta kad debit yang ada VISA atau MasterCard. Bukan apa, senang nak buat urusan pembelian melalui atas talian. Bank mungkin akan mengenakan caj untuk buat kad ini.
Minta sekali, untuk buat perbankan online. Minta buat pengesahan ID & nombor telefon. Lagi satu, dalam perbankan online, kemaskini PIN nombor untuk kemudahan pembayaran tanpa tunai.
Lagi satu, sebagai orang Islam, wajiblah menggunakan Akaun Simpanan Wadiah Yad Dhamanah, dimana patuh syariah, tidak menggunakan akad yang langgar prinsip syarak.
Nak buka bank mana satu? Buka je mana-mana, tapi lebih baik tanya kepada bakal majikan / majikan. Setiap majikan mempunyai bank panel sendiri yang menguruskan kemasukan gaji & bonus.
Ini adalah pendapat peribadi, saya sarankan buka akaun Maybank atau CIMB.
Langkah pertama sudah selesai; Sudah ada akaun simpanan, sudah ada kad dan sudah ada perbankan online.
#2. Buka Akaun Tabung Haji
Kenapa saya letakkan buka Akaun Tabung Haji nombor 2 selepas buka akaun? Sebab nak Daftar Haji!
Sepatutnya, ini kena buka sejak lahir di dunia ini (sejak nafas pertama, haha). Kalau ibu bapa tidak buka, jangan risau anda masih belum terlewat. (Saya juga lewat membuka akaun Tabung Haji).
Oh, jangan lupa. Terus daftar online akaun Thijari (perbankan online untuk Tabung Haji).
Cara nak Daftar Haji?
- Pergi ke mana-mana cawangan Tabung Haji, cakap je nak buka akaun simpanan Tabung Haji. Mudah saja. Kalau sudah ada tunai di tangan sebanyak RM1300, terus buat pendaftaran haji. Kalau tak ada, buat akan datang pun tak mengapa. Cuma lambat la dapat giliran nombor.
- Untuk daftar secara percuma (maksud, tak guna duit poket sendiri), boleh guna simpanan KWSP Akaun 1. Akan tetapi, kena pastikan dalam akaun KWSP itu berduit. Kena kerja lama sikit la, ceritanya. Apa-apapun guna cara No.1.
Tunggulah giliran tarikh dan masa untuk pergi haji. Tapi, belum habis lagi. Kita perlulah mula menyimpan sehingga amaun yang mencukupi untuk pergi Haji.
Setiap bulan selepas dapat je gaji bulanan, asingkan siap-siap untuk menyimpan di Tabung Haji. Cara tradisional, ambil duit dari ATM akaun dan pergi mana-mana cawangan Tabung Haji, ambil giliran dan pergi kaunter. Tak akan setiap bulan kena buat macam tu? Letih woo.
Gunakan akaun simpanan di Langkah 1.
- Daftar di cawangan bank (Maybank/CIMB). Atau daftar melalui ATM pun boleh, pergi Menu, TABUNG HAJI.
- Kalau ke cawangan, bawa buku akaun Tabung Haji, IC dan Kad ATM untuk memudahkan transaksi.
- Bila dah ‘approve’, boleh lah buat ‘online transfer’.
- Kalau Maybank2u; Account & Banking –> Transfer –> Tabung Haji
- Kalau CIMB; Pay Bills –> Tabung Haji
#3. Buka Akaun ASNB (Amanah Saham Nasional Berhad) – buka ASB (Amanah Saham Bumiputera)
Ini adalah instrumen pelaburan yang paling popular di kalangan warga Bumiputera. Malah, pelaburan ini tiada caj (hampir caj sifar). Masuk duit RM1,000, esok pun ada RM1,000. Dari segi sejarah pulangan, amat memberangsangkan (lebih daripada 5% setiap tahun).
Sekarang tidak perlukan buku pelaburan (tidak seperti tahun 2017 dan sebelumnya). Sejak tahun 2018, tiada buku pelaburan. Segalanya menggunakan transaksi online termasuklah penyata dan laporan tahunan.
Macam mana nak buat?
- Bawalah kad pengenalan ke mana-mana cawangan ASN. Buat pengesahan cap jari & kemaskini maklumat (nombor telefon & email).
- Pergi ke laman web, http://www.myasnb.com.my. Daftar, masukkan apa yang diperlukan. Lepas tu dah mudah nak buat transaksi.
- Setiap bulan boleh buat transaksi online.
Pendapat peribadi, selepas memenuhkan akaun Tabung Haji sebanyak RM10,000 (amaun minima untuk pergi Haji buat masa kini adalah RM9980. Boleh baca di sini – BHarian ) , boleh mula menyimpan di ASB. Ada berpendapat, ASB sebagai tempat ‘parking’ duit yang bertindak sebagai simpanan kecemasan.
Pada 6 bulan pertama pekerjaan, saya telah menerima panduan untuk melakukan 3 perkara ini. Objektif utama buat perkara ini:
- Mencipta tabiat urus duit & menyimpan.
- Mempunyai giliran Haji dan memenuhi amaun bayaran pergi Haji.
- Mempunyai simpanan kecemasan 3 bulan perbelanjaan (simpan di ASB).
Selepas buat perkara di atas, saya buat beberapa perkara yang penting.
#1. Mengambil pelan Takaful nyawa, kad perubatan & kemalangan.
#2. Buka akaun percukaian, untuk memudahkan urusan e-Filing.
#3. Buka akaun pelaburan Unit Amanah dan berjinak-jinak tentang pelaburan.
#4. Buka akaun Private Retirement Scheme, untuk menikmati manfaat daripada kerajaan RM1,000.
#5. Membeli emas (fokus emas fizikal) sebagai hantaran kahwin.