Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Persaraan adalah tajuk paling utama dalam perancangan kewangan peribadi.
Bila ditanya kepada setiap individu, “Perlukah kita menyimpan untuk persaraan?” rata-rata memberi jawapan, “YA!, Perlu sangat.” Begitu juga, kalau diri saya ditanya soalan yang sama. Setiap orang perlu memikirkan soal persaraan.
Masalahnya, hanya segelintir sahaja yang bertindak mempunyai perancangan kewangan yang rapi untuk persaraan kelak. Mungkin persaraan adalah satu matlamat kewangan jangka masa panjang yang terlalu lama (lagi 20-30 tahun akan datang bagi golongan muda), menyebabkan tahap ‘urgency’ nak mula merancang itu agak kurang sedikit.
Menurut penulisan Steve Ong, ini apa yang diperkatakan beliau dalam majalah Personal Money, Mei 2014.
#1. Mempunyai simpanan KWSP sahaja sudah memadai.
Ramai berpendapat mempunyai dengan hanya mempunyai simpanan di KWSP sudah memadai & mencukupi untuk persaraan. Ada juga percaya bahawa KWSP sudah cukup mampu menggantikan pendapatan mereka sepanjang persaraan. Wow!
Walhal, mempunyai simpanan KWSP sahaja tidak mencukupi. Statistik pada tahun 2011, sudah menunjukkan, pencarum KWSP hampir 74% mempunyai hanya RM50,000 dan ke bawah pada usia 54 tahun (pre retirement age).
Ada juga statistik memberitahu bahawa 50% pencarum KWSP menghabiskan dana mereka dalam jangka masa kurang 5 tahun daripada tahun mula persaraan.
#2. Umur muda, terlalu awal memikirkan tentang persaraan.
Umur muda adalah usia untuk ‘enjoy’ dan seronok. Memikirkan persaraan, masih terlalu jauh dan lama lagi. Banyak lagi benda nak ‘settle’kan pada usia muda. – Kenyataan ini yang makan diri.
Cuba tanya kepada yang bakal bersara, ada yang meluahkan kekecewaan kenapa tidak bermula awal. Soal persaraan, tiada usia yang ideal untuk mula menyimpan dana persaraan. Paling penting, seawal mungkin. Sudah tentu, kesedaran awal perlu ada.
Mulalah pada usia 20-an, baru mula kerja. Insha Allah, akan dipermudahkan urusan pada usia persaraan nanti.
#3. Umur 50-an, masih larat lagi kerja kalau duit tak cukup.
Individu yang kembali mencari pekerjaan pada usia persaraan adalah apabila dana persaraan yang mereka ada tidak mencukupi menampung perbelanjaan harian / tahunan. Oleh itu, opsyen kembali mencari kerja adalah salah satunya.
Soalnya, larat ke nak kerja?
Larat atau tak larat sangat bergantung kepada tahap kesihatan pada usia persaraan. Umur 55 atau 60 tahun, adalah usia di mana secara kasarnya kesihatan bukan seperti pada usia 35 tahun.
Idea untuk bekerja bukan idea ideal untuk semua orang. Mulalah menyimpan untuk dana persaraan bagi mempunyai dana simpanan yang mencukupi sepanjang usia persaraan.
#4. Bila bersara, tak banyak benda nak bayar & kurang komitmen. Tak perlu risau, cukup.
Ini juga kata-kata yang boleh merangkap diri sendiri bila dah capai usia persaraan.
Ya, memang betul. Apabila hendak mencapai usia persaraan, memang segala hutang-hutang perlu diselesaikan dan komitmen kepada bank juga perlu dijelaskan dengan segera. Menjadi isu, hutang-hutang ini diselesaikan pada usia persaraan sejurus duit simpanan persaraan keluar. Hanya baki sahaja untuk menampung baki usia persaraan.
Lebih tragik, ada yang menggunakan dana persaraan untuk menjadikan deposit kereta baru. Katanya, sebagai ‘reward’ selepas berpuluh tahun kerja. Lupa yang itu adalah dana persaraan semata-mata.
Ada lagi perkara orang lupa – INFLASI. Ini lah yang menjerut pesara-pesara. Inflasi harga runcit barangan menyebabkan kuasa membeli kurang (harga mahal). Inflasi perubatan juga menjadi satu ancaman baru kepada pesara-pesara. Lebih haru jika sudah mempunyai penyakit kritikal pada usia ini.
#5. Anak-anak kan ada, mereka boleh tolong.
Dahulu, mungkin ada benarnya. Zaman hari ini yang mencabar boleh menyebabkan anak-anak tersepit antara urusan kewangan diri sendiri & ibu bapa.
Golongan tua berharap anak-anak mereka akan membantu mereka apabila mencecah usia persaraan. Kos hidup yang semakin tinggi menyebabkan dilema untuk golongan muda, memilih untuk memfokuskan perihal kewangan keluarga sendiri atau ibu bapa.
Mereka tersepit, antara dua. Ini yang disebut ‘sandwich generation’. Oleh itu, jangan terlalu mengharapkan semata-mata anak sendiri akan membantu semasa usia persaraan.
Perancangan Kewangan untuk setiap individu
Kekurangan pendedahan ilmu perancangan kewangan adalah salah satu punca kenapa individu menangguhkan atau tidak langsung membuat perancangan persaraan, akibatnya tiada dana persaraan yang mencukupi atau langsung tiada.
Kurangnya ilmu kewangan juga menyebabkan takut-takut untuk membuat pelaburan, mudah ikut cakap orang lain dan akhirnya terlibat dalam skim-skim kewangan yang menipu. Lagi-lagi, apabila cecah je usia persaraan, dalam akaun ada 6 atau 7 angka. Terkejut dengan banyak wang.
Tanpa ilmu, boleh lesap dalam masa 1 hari sahaja!
Sudah banyak agensi atau badan-badan kewangan memfokuskan isu tentang persaraan & perancangan kewangan. Oleh itu, mulalah merancang daripada sekarang dan ambil tindakan yang betul untuk capai matlamat kewangan masing-masing.
PS: Perancangan bukan semata-mata untuk individu banyak duit sahaja. Perancangan kewangan untuk semua. Perancangan kewangan untuk individu yang mempunyai matlamat jelas dan mahu capai ke situ.
Untuk mendapatkan khidmat perancangan kewangan boleh menghubungi melalui o19-366 o319 atau email, adibyazid8282@gmail.com