TRADE WAR – Apa Itu Trade War?

Assalamualaikum dan selamat sejahtera.

Sejak 2 minggu lepas, saya kerap terdengar perkataan ‘trade war’ atau bahasa Melayu yang saya kira sesuai pakai – perang perdagangan. Ini adalah input bacaan yang saya dapat dan pada fahaman saya boleh difahami.

Trade War sebenarnya bukan benda baru. Boleh baca di sini – Investopedia

Penafian: Ini bukan hak milik penulisan saya.

Trade War.png

 


 

APA ITU TRADE WAR?

Anda tentu sudah tahu tentang berita Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump mahu mengenakan tariff kepada import keluli sebanyak 25% dan import aluminium sebanyak 10%.

Tariff ini merupakan sebahagian dari polisi dan janji pilihanrayanya iaitu polisi America First. Anda tentu tahu bahawa polisi ini bersifat ‘protectionism’ yang mana tujuan asal Donald Trump ialah mahu memelihara industrinya serta mahu menjamin lebih banyak pekerjaan kepada rakyatnya.

Dengan mengenakan tariff import kepada keluli dan aluminium, beliau berharap syarikat-syarikat di Amerika Syarikat akan beralih kepada industri keluli dan aluminium tempatan.

 

MALAYSIA JADI MANGSA?

Malaysia merupakan salah satu negara yang termasuk dalam senarai tariff tersebut. Akibat dari berita ini, kita menyaksikan pada beberapa minggu lepas beberapa saham ‘steel’ mengalami kejatuhan kerana pasaran beranggapan tariff ini akan mengendurkan kerancakan industri keluli dan aluminium.

Hakikatnya, Malaysia bukanlah pengeksport utama keluli dan aluminium kepada US. Daripada sejumlah 30 juta tan keluli yang diimport Amerika Syarikat, Malaysia hanya menyumbang sebanyak 96,000 tan sahaja.

Pada masa yang sama, Malaysia juga bukanlah penyokong kepada industri keluli China, musuh tradisi Amerika Syarikat dalam dagangan dunia. Malah, Malaysia sendiri baru sahaja mengenakan duti anti-dumping bagi cold-rolled stainless steel yang datang dari China, Korea Selatan, Taiwan dan Thailand.

 

ANTI-DUMPING

Polisi anti-dumping ialah polisi yang diwujudkan untuk mencegah Malaysia dari menjadi tempat untuk lambakan cold-rolled stainless steel bagi negara-negara yang mahu melepaskan bekalan kelulinya sehingga menyebabkan harga steel import menjadi lebih rendah dari harga steel tempatan.

Sudah tentu ini akan memusnahkan industri keluli tempatan. China merupakan antara negara yang menyumbang kepada lambakan steel import paling banyak di Malaysia. Dengan mengenakan duti anti-dumping, diharap harga steel domestik menjadi lebih stabil.

Dalam erti kata lain, Malaysia juga adalah mangsa, namun masih dihukum Amerika Syarikat dengan tariff import keluli dan aluminium.

 

TRADE WAR

Begitu pun, jika dilihat pada statistik Biro Dagangan Antarabangsa Amerika Syarikat, negara yang ke-11 pengeksport terbesar keluli barulah China. Sedangkan 10 negara pengeksport terbesar keluli ke Amerika Syarikat sebelum itu datang dari negara2 yang rapat dengan US sendiri.

Negara-negara ini yang akan mendapat masalah kenaikan kos eksport selepas ini.

Negara-negara di Eropah sudah pun panas punggung. Mereka mengugut sekiranya polisi ini dilaksanakan, mereka akan bertindak balas dengan mengenakan tariff tambahan terhadap syarikat-syarikat Amerika Syarikat yang membuat bisnes di Eropah. Ini kemudian dibalas oleh Donald Trump dengan mengugut mahu mengenakan cukai yang tinggi terhadap kereta2 yang diimport dari Eropah.

Inilah yang dinamakan sebagai TRADE WAR.

Walaupun pada asalnya tariff hanya berkaitan tentang keluli dan aluminium, ia boleh merebak kepada dagangan-dagangan yang lain. Maka TRADE WAR ialah balas membalas mengenakan tariff dan cukai di antara dagangan satu sama lain sehingga menyukarkan dagangan.

JIKA BERLAKU TRADE WAR, DUNIA AKAN MENGALAMI KEJATUHAN EKONOMI YANG TERUK.

 

GREAT DEPRESSION 1929

Ketika berlakunya Great Depression di Amerika Syarikat pada tahun 1929, untuk mempercepatkan pemulihan ekonomi, Kongres Amerika Syarikat meluluskan polisi yang bersifat protectionism – Akta Tariff Smoot-Hawley 1930. Di bawah akta ini, pelbagai import dikenakan tariff.

Tujuan asalnya ialah, dengan mengenakan tariff, kos import akan menjadi lebih tinggi dan akan lebih menggalakkan syarikat-syarikat di Amerika Syarikat untuk mendapat bekalan di dalam negara. Ini seterusnya boleh menstimulasikan mikroekonomi dan memberikan pekerjaan kepada 25% pengangguran di Amerika Syarikat akibat dari Great Depression.

Malangnya, rancangan tersebut backfire dengan teruk. Negara-negara pengeksport yang dikenakan tariff oleh Amerika Syarikat bertindakbalas dengan mengenakan pula tariff import mereka pada US. Akibatnya dagangan dunia terhenti terus kerana masing-masing bermasalah untuk mengeksport barang masing-masing di antara satu sama lain.

Manakala di Amerika Syarikat pula, keadaan ini hanya memanjangkan lagi tempoh Great Depression sehingga menjelang Perang Dunia Kedua.

Belajar dari pengalaman ini, Amerika Syarikat kemudiannya mengubah polisinya dan mewujudkan akta yang bertentangan iaitu Akta Persetujuan Dagangan Timbal Balik 1934 yang mana melalui akta ini, setiap negara yang mempunyai dagangan dengan Amerika Syarikat haruslah bersetuju wujudnya timbal balik manfaat di antara kedua-dua negara, seperti contoh, pengurangan tariff, duti, insentif cukai dan sebagainya.

Apabila akta ini berkembang melibatkan lebih banyak negara, ia kemudian diinstitusikan agar perlaksanaannya menjadi lebih teratur di peringkat antarabangsa melalui pewujudan Persetujuan Umum Tariff dan Dagangan 1948 sehingga akhirnya membentuk Pertubuhan Dagangan Sedunia (WTO) 1995.

Konsepnya mudah sahaja. Jika anda mahu orang lain bersikap longgar terhadap anda, anda juga haruslah turut bersikap longgar terhadap orang lain – timbal balik – kerana kedua-duanya mempunyai kepentingan yang sama. Itulah politik dunia.

 

MENGULANG KESILAPAN SAMA

Donald Trump, yang kepakarannya sebagai seorang pelabur dan peniaga, sememangnya otak bisnes kerana cuba mendapatkan urusniaga (deal) yang terbaik untuk Amerika Syarikat. Namun, politik dunia bukan bisnes hartanah.

Anda tidak boleh sentiasa menang seperti ketika anda mendapat urusniaga yang bagus dalam bisnes sebelum menjadi Presiden. Anda kena pastikan juga jiran negara anda menang demi untuk memastikan anda menang.

Sikap ‘protectionism’ Amerika Syarikat yang wujud kerana menyangka mereka kuat dan kebal hanya akan memakan diri kemudiannya.

Donald Trump kembali membuat kesilapan zaman Great Depression.

Amerika Syarikat menyangka setiap perjanjian perdagangan tanpa Amerika Syarikat tidak akan menjadi kerana menganggap dunia terlalu bergantung pada Amerika Syarikat.

Ini merupakan kesilapan besar yang Amerika Syarikat bakal buat kerana pada hari ini, dagangan dunia wujud hasil dari setiap negara bergantung di antara satu sama lain, justeru mengurangkan pergantungan terhadap Amerika Syarikat.

Pengunduran Amerika Syarikat dari Trans-Pasific Partnership (TPP), sebagai contoh, adalah satu langkah ke belakang. Dengan bersikap ‘protectionism‘, Amerika Syarikat kini memberi ruang sebesar-besarnya kepada China untuk meluaskan pengaruhnya dan pada masa sama melepaskan pegangannya terhadap pasaran dunia.

Trans-Pasific Partnership (TPP) tetap diteruskan tanpa Amerika Syarikat. Bahkan, wujud lagi beberapa partnership yang lain tanpa Amerika Syarikat seperti Canada-European Trade Agreement.

 

KESAN TARIFF IMPORT STEEL AMERIKA SYARIKAT KEPADA MALAYSIA.

Malaysia tidak memerlukan banyak eksport ke Amerika Syarikat untuk memelihara industri kelulinya kerana permintaan keluli dan aluminium dari dalam negara pun sudah cukup besar. Malaysia pun nak pakai keluli dan aluminium banyak. Oleh itu, kesan tariff ini mungkin pada tahap yang minimum.

Walau bagaimana pun, kewujudan tariff Amerika Syarikat ni juga boleh mewujudkan lambakan keluli di dalam pasaran dunia, lantas menjatuhkan harga keluli.

Mujurlah Malaysia bijak meramal masa hadapan apabila ia telahpun melaksanakan 3 tahun levi perlindungan import steel yang mencegah perubahan harga market keluli dunia mempengaruhi industri keluli Malaysia serta polisi anti-dumping yang mencegah Malaysia dari menjadi mangsa manipulasi harga keluli.

Walau bagaimana pun, bukan semua mendapat manfaat dari perlaksanaan levi perlindungan import ini. Yang akan mendapat manfaat dari polisi protectionism di Malaysia ini ialah upstream steel manufacturer kerana pendedahan mereka yang lebih langsung kepada harga steel dunia.

Antaranya ialah MASTEEL, CSCSTEL, MYCRON, YKGI, EMETALL, ANNJOO, SSTEEL.

Manakala, downstream steel manufacturer pula akan menghadapi masalah kos kerana untuk menghasilkan produk downstream, mereka perlukan input dari upstream. Memandangkan pilihan import keluli pada harga lebih rendah telah pun dinafikan, mereka harus ambil dari upstream domestik pada harga yang lebih tinggi. Antaranya ialah PRESTAR, LEONFB, CHOOBEE, LSTEEL, HIAPTEK, CHINWEL.

Juga, tariff Amerika Syarikat ini kelihatan bertepatan dengan masanya kerana pada masa yang sama juga China sedang mengalami musim sejuk (bakal berakhir) yang mengganggu pengeluaran kelulinya. Ini mengurangkan lambakan post-tariff Amerika Syarikat dan membantu menstabilkan harga keluli dunia.

Hanya anda masih perlu berhati2 dan sentiasa perhatikan perubahan sentimen market dunia kerana takut-takut jika pengenaan tariff import US ini boleh melarat kepada Trade War dan bila ini berlaku, semua negara boleh terdedah kepada kemelesetan ekonomi.


 

Apa yang perlu dilakukan sebagai pelabur?

Selepas anda membaca tentang Trade War, mungkin anda akan tertanya – apa yang bakal berlaku pada pelaburan anda (unit amanah, PRS, saham, private managed account dan lain-lain).

Ramai pakar menyarankan memilih pelaburan bersifat defensif atau memegang portfolio pelaburan yang defensif. Contohnya, ada pelaburan yang ke arah perubatan / kesihatan.

Ada juga berpendapat, pelaburan pada small-cap, adalah sangat berisiko tinggi. Tetapi ini adalah peluang untuk membeli pada harga yang murah. Lebih baik memilih pelaburan yang sifat ‘fundamental’nya lebih kuat. Pelaburan ke arah syarikat yang berteraskan teknologi juga menjadi perbincangan hangat.

Ada juga artikel mengatakan ini adalah kebangkitan ekonomi di negara Asia, di mana negara-negara akan mengurangkan kebergantungan pada Amerika Syarikat dan lebih membuat urusniaga kerap terhadap negara sesama Asia.

Sebagai pelabur, perlu mengambil tahu isu-isu ini dengan lebih rapat supaya impaknya terhadap portfolio pelaburan peribadi boleh diminimakan.

Adib Yazid

 

Penafian: Sekali lagi, penerangan mengenai Trade War adalah bukan hak milik peribadi penulis.

Advertisement

Leave a Comment

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s