Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
“Tuan, bagaimana nak rancang kewangan dengan baik?”
Ini soalan yang kerap ditanya oleh individu yang mahu susun kewangan. Jawapannya yang saya selalu beri (terutama kepada individu muda) adalah susun kewangan. Bagaimana susun kewangan?
Mudah, buat senarai belanjawan atau bajet kewangan.
Bajet Kewangan Peribadi
Bajet kewangan peribadi kedengaran mudah untuk dibuat. Hakikatnya, nak buat pada awal-awal, konsisten itu agak sukar. Saya akui sendiri. Tapi setelah menelaah pelbagai majalah, buku-buku dan artikel-artikel kewangan, mempunyai bajet kewangan amat penting sebagai kesinambungan pertama dalam aturan perancangan kewangan peribadi.
Bagaimana nak buat?
Mudah!
Ini adalah bajet kewangan yang pertama saya buat, setelah dipaksa oleh mentor kewangan saya.
Pertama sekali, senaraikan segala pendapatan yang bakal diterima. Kemudian, senaraikan juga perbelanjaan yang bakal dilakukan. Bab belanja adalah sukar.
Kalau mahu lebih tepat, bahagikan perbelanjaan kepada tiga jenis.
- Perbelanjaan Tetap – contoh seperti pembayaran komitmen kereta, rumah, insuran / takaful. Apa sahaja yang wajib dibayar dan amaun yang tetap.
- Perbelanjaan Berubah-Ubah – contoh seperti bil elektrik dan bil air. Semakin kerap digunakan semakin bertambah. Jadi kalau mahu jimat, sudah tahu, janganlah pasang air-cond setiap malam.
- Perbelanjaan Kemahuan – contoh, belanja lepak dengan kawan-kawan, tengok wayang. Hiburan juga penting dalam kehidupan. Akan tetapi, perlu ingat. Kita perlu ada had yang perlu ditetapkan.
Buatlah bajet kewangan secara harian, bulanan, setiap 3 bulan atau setiap tahun. Bila kita ada bajet, kita tahu berapa had yang boleh dibelanjakan oleh diri kita.
Saya dah buat bajet sejak mula dapat gaji pertama lagi.
Nak susun kewangan bukan benda sukar, tapi ini memerlukan langkah pertama yang jitu.
Jom konsisten buat bajet kewangan peribadi!
Adib Yazid