Assalamualaikum dan selamat sejahtera.
Baru-baru ini saya telah menghadiri seminar kewangan My Money & Me anjuran MFPC. Walaupun tujuan asalnya hendak memenuhi CPD (Continous Professional Developement) Hours sahaja, akan tetapi banyak input telah saya perolehi.
Tajuk yang paling saya gemari;
Nak simpan tapi gaji tak cukup.
Ya, ramai di luar sana memberi alasan. Disebabkan gaji tak cukup, tak boleh menyimpan. Sesi ini bersama AKPK, telah merungkaikan bahawa ada 4 langkah yang perlu dipatuhi untuk bina simpanan kalau rasa-rasa diri tu gaji tak mencukupi nak menyimpan.
Jadi bagaimana nak simpan?
Langkah Pertama: Kenali Dulu Di Mana Anda Berbelanja
Ya. Lihat secara teliti, dimanakah anda berbelanja. Di sini saya boleh bagi contoh.
- Perbelanjaan Sewa Rumah
- Bil Air & Elektrik
- Kereta
- Petrol & Tol
- Keperluan Dapur
- Makan di Luar
- Hiburan
- Pakaian
- Pendidikan
Setiap kali berbelanja buat catatan. Dari sini baru kita tahu mana tempat yang banyak kita berbelanja. Sebelum ini kita main agak-agak sahaja. Itu tidak tepat. Dalam kewangan, awal-awal ini kena teliti.
Langkah Kedua: Kurangkan Belanja Yang Boleh Dikurangkan!
Selepas kita sudah mengetahui apa yang banyak dibelanjakan, apa lagi, kurangkanlah!
Jobstreet Malaysia telah menjalankan tinjauan pada tahun 2015, mengatakan di mana rakyat Malayaia akan membuat pengurangan belanja untuk menampung kos hidup yang semakin meningkat. Kalau anda pula yang menambah perbelanjaan, itu agak pelik.
Menurut kajian mereka, ada beberapa cara rakyat Malaysia mengurangkan perbelanjaan. Antaranya:
- 56% akan mengurangkan keluar makan dengan rakan sekerja pada waktu tengah hari.
- 47% mengatakan membawa bekal boleh menjimatkan perbelanjaan.
- 36% mengatakan menggunakan kemudahan tempat makan di pejabat lebih kerap.
- 13% mula menggunakan perkhidmatan awam sebagai jalan mengurang perbelanjaan.
Secara kasarnya, ramai berpendapat mengurangkan perbelanjaanmakan di luar boleh mengurangkan jumlah perbelanjaan. Mungkin langkah ini anda perlu fikirkan nanti.
Nota Tambahan: Anggaran belanja makan tengahari di luar adalah RM15 sehari. Purata belanja sebulan adalah Rm375. Setahun adalah RM4500. Sekiranya anda cuba membawa bekal dari rumah, mungkin kosnya hanya sekitar RM5, sebulan RM125 dan setahun RM1500.
Langkah Ketiga: Bina Tabiat Simpan Dahulu Sebelum Berbelanja
Sebaik sahaja dapat gaji, tolak sedikit duit untuk simpanan dahulu. Simpanan ini adalah amat penting untuk waktu kecemasan. Amalkan tabiat simpan sebelum berbelanja, anda pasti dapat mencapai matlamat simpanan anda.
Langkah Keempat: Simpan Duit Durian Runtuh
Setiap kali anda menerima wang lebihan seperti wang bonus atau hadiah tunai, masukkanya ke dalam akaun simpanan serta merta. Jika anda mendapat kenaikan gaji, kekalkan cara hidup anda sekarang dan masukkan lebihan gaji anda ke dalam akaun simpanan.
Sumber: AKPK Official