Assalamualaikum dan selamat pagi.
Sebelum melabur kita sepatutnya perlu tahu apakah matlamat kewangan kita sebenarnya. Adakah kita ingin melabur sebab ingin jadi kaya? Atau ingin melabur sebab ingin bersara? Apabila kita sudah kenalpasti matlamat pelaburan, barulah kita pilih apa cara atau instrumen hendak capai matlamat tersebut.
Pelaburan hartanah adalah perkara seolah-olah wajib perlu ada dalam portfolio pelaburan. Soal pelaburan hartanah adalah sangat meluas – saya masih belajar lagi mengenainya. Alhamdulillah, atas didikan mentor saya hanya selepas menjadi graduan, perkara terbaik saya lakukan adalah membeli rumah seawal usia 25 tahun.
Ketika itu banyak skil hendak buat duit dari pelaburan hartanah, tetapi saya memilih pelaburan hartanah jenis subsale.
Ada orang tanya kepada saya bahawa membeli hartanah subsale agak ‘mahal’ kerana perlu menyediakan jumlah kewangan yang besar jika dibandingkan dengan membeli hartanah yang baru (under development).
Ya, memang betul. Tetapi hartanah subsale kita boleh tahu tahap ‘matured’ sesuatu tempat tersebut.
Anggaran Kos Membeli Hartanah Subsale
Katakan kita hendak membeli hartanah bernilai RM200,000.
Pertama sekali, perlu sediakan kos bayaran muka atau downpayment RM20,000 sehingga RM60,000. Kos ini sekitar 10% hingga 30% daripada harga rumah yang hendak dibeli. Kenapa sampai 30 peratus? Rumah pertama dan kedua memang hanya perlu 10% sahaja, tetapi untuk rumah ketiga dan seterusnya margin pembiayaan mungkin hanya sampai 70% sahaja.
Kedua, yuran guaman Sales And Purchase Agreement atau sebutan popular, SNP. Bayaran sekitar RM6,000 hingga RM8,000 iaitu 3-4% peratus daripada harga hartanah.
Ketiga, yuran guaman untuk pembiayaan rumah. Boleh juga ada menyebut yuran guaman lawyer bank. Bayaran antara RM4,200 hingga RM5,400 iaitu 2.5-3% daripada jumlah pinjaman bank.
Keempat, kos valuasi. Kos ini hanya RM600 atau 0.3% daripada nilai hartanah yang dibeli.
Kelima, yuran proses untuk bank iaitu antara RM50-RM200. Hanya sekali seumur hidup.
Kalau dicampur-campur semua, untuk hartanah pertama jangan hanya sediakan 10 peratus tetapi anjakkan ke sekitar 15%. Ya, memang nak beli hartanah pertama terketar-ketar nak keluarkan duit banyak-banyak. Tetapi itu proses.
Semoga membeli rumah banyak-banyak. Yang penting aliran tunai mesti positif!
Sumber: GilaHartanah