Pelaburan Untuk ‘Newbie’ – Apa Yang Terbaik?

Soalan:

Assalamualaikum dan salam sejahtera semua. Saya nak minta pendapat kalian boleh kan?

Baik , apa pelaburan yang terbaik dan boleh dipercayai di Malaysia sekarang ini? Saya prefer pelaburan dalam masa yang singkat iaitu dalam 2-3 tahun nak withdraw duit savings saya dalam pelaburan itu.

Kawan-kawan yang berpengalaman , boleh tolong nyatakan dan kepentingan pelaburan itu pada anak muda seperti saya. Maaf ganggu waktu kalian.

Jawapan saya secara peribadi:

Alhamdulillah, ada anak muda sudah fikir mengenai masa hadapan. Ya, apabila anak muda sudah memikirkan mengenai pelaburan bermaksud anda sudah berfikir kepentingan melakukan sesuatu hari ini untuk kesenangan pada masa hadapan.

Soalan yang diutarakan adalah:

  • Pelaburan terbaik dan dipercayai di Malaysia?
  • Apa pelaburan yang boleh dalam masa singkat? Iaitu 2-3 pengeluaran.
  • Nyata kepentingan pelaburan.

Pertama sekali, pelaburan terbaik adalah bergantung kepada individu tersebut. Sebelum melabur, seseorang perlu tahu profil risiko pelaburan masing-masing.

Apa itu profil risiko? Begini. Sebelum doktor bagi ubat kepada pesakit, mestilah buat diagnosis terlebih dahulu ataupun konsultansi dahulu, bukan? Begitu juga dengan pelaburan. Ini yang ramai tidak ambil peduli.

Pelaburan A bagus untuk individu A. Pelaburan A mungkin tidak bagus untuk individu B. Senang faham, pelaburan orang selalu kenal, Amanah Saham Bumiputera, itu pelaburan bagus. Ini pelaburan bagus untuk En. Ahmad, tetapi mungkin pelaburan terbaik untuk En. Ali. Jadi soalan itu sebenarnya terlalu besar untuk dijawab.

Pelaburan yang dipercayai adalah pelaburan yang sah di sisi undang-undang. Ciri-ciri lain pelaburan itu mempunyai badan selia atau telah diluluskan oleh entiti bertanggungjawab.

Untungnya di Malaysia, segala pelaburan dari kecil hingga besar, mestilah melalui badan seperti Suruhanjaya Sekuriti (Securities Commissioner, SC) dan Bank Negara Malaysia (BNM).

Setiap pelaburan yang sah mesti ada prospektus iaitu umpama katalog yang menerangkan ciri-ciri pelaburan itu. Pelaburan yang sah sahaja mempunyai prospektus yang diluluskan oleh kedua-dua badan, iaitu SC & BNM. Tanpa prospektus, tak perlulah melabur. Bahaya! Kesemua ini boleh telefon atau rujuk kepada SC & BNM samada melalui email atau telefon.

Nak beli kereta pun, kita ‘usha-usha’ katalog kan, takkan pelaburan tak ada ‘black white’.

Jawapan soalan pertama; terbaik bergantung kepada profil risiko individu dan dipercayai, perlu mendapat pengesahan daripada entiti seperti SC atau BNM.

Soalan kedua, jawapannya ada.

Ingin mengatakan pelaburan adalah satu perjalanan yang mempunyai permulaan dan penamat.

Investment is journey. Have a point of start & point of exit.

Pelaburan umpama kita berjalan menggunakan Waze.

Hari ini kita memilih kenderaan dahulu. Di rumah ada kereta dan motor. Hari nak hujan, pilihlah kereta berbanding motor.

Sekarang kita ‘on’ Waze. Pertama sekali kita masukkan nama tempat yang dituju. Selepas itu ada pilihan jalan. Ada jalan yang bengkok-bengkok. Ada jalan ‘short cut’ tetapi gelap dalam hutan. Ada jalan jauh tetapi selamat, cuma kena bayar tol. Yang bezakan setiap jalan ini adalah masa.

Begitu juga dengan pelaburan.

Sebelum melabur, kita memilih ‘kenderaan’ terlebih dahulu. Ada kenderaan yang berisiko tinggi, contohnya motor. Kenderaan selamat, mungkin kereta. Kereta pula ada jenis laju dan selesa. Kenderaan ini merujuk instrumen pelaburan atau jenis pelaburan. Perbezaan kenderaan ini adalah tentang risiko pelaburan.

Pelaburan yang mempunyai risiko rendah adalah seperti Fixed Deposit. Pelaburan berisiko sederhana, boleh jadi pelaburan unit amanah. Popular, adalah Amanah Saham di bawah Permodalan Nasional Berhad (ASB1, ASB2, ASN, AS1M dan lain-lain). Manakala pelaburan berisiko tinggi, boleh jadi pelaburan saham samada pasaran tempatan (Bursa Malaysia) atau luar negara (Dow Jones, NASDAQ dll.)

Macam ayat Varys dalam cerita Games of Thrones, ‘the greater the risk, the greater the reward’. Bahasa selalu orang guna, ‘high risk, high reward’. Pelaburan saham yang berisiko tinggi, boleh jadi -50% dan boleh untung sehingga 1000%. Pelaburan amanah saham, boleh seteruk 30% dan boleh senyum apabila untung 20%. Bergantung kepada pergerakan pasaran dan risiko yang diambil.

Senang cerita, pelaburan berisiko boleh memberi peratus keuntungan besar (dan sebaliknya). Kereta laju dan selesa, ini merujuk kepada peratus keuntungan. Lagi besar untung, lagi lajulah.

Pelaburan mestilah ada permulaan dan penamat (exit point). Pelaburan bermula pada hari ini. Persoalan yang selalu tidak dijawab oleh pelabur muda adalah:

‘Bila nak berhenti melabur dan menikmati keuntungan pelaburan?’

Oleh itu, pelaburan mestilah ada matlamat. Apa matlamat melabur? Nak untung berapa? Apa permulaan modal yang ada? Anda melabur RM10,000, nak untung berapa? RM200 sahaja? 5%? Sekali ganda? Ini semua kena jawab. Barulah boleh pilih jenis pelaburan.

Oleh sebab itu, pelaburan mempunyai pelan matlamat jangka masa pendek, sederhana dan panjang. Sekali lagi, kesemua ini mempunyai risiko pelaburan. Ini adalah pemilihan ‘jalan-jalan’ dalam Waze tadi.

  • Pelaburan di FD, risiko rendah. Untung pun rendah dalam 2-4%. Ini sesuai untuk 1-3 tahun.
  • Pelaburan di Unit Amanah, risiko sederhana. Untung pun sederhana 5-10%. Ini sesuai untuk 3-5 tahun.
  • Pelaburan di Saham, risiko tinggi. Untung pun tinggi. Ini boleh untung dalam masa singkat dan masa panjang. Ini memerlukan ilmu dan pengalaman yang sangat tinggi. Persoalannya, sanggup ke?

Ini adalah mantra dan pegangan setiap pelabur yang bijak. Kenali risiko, horizon masa, mempunyai matlamat dan analisa terlebih dahulu. Jangan melabur ikut kawan.

Ikutkan, tiada pelaburan yang berisiko rendah (selamat) atau tiada risiko langsung tetapi menawarkan keuntungan gila-gila. Di luar sana, ramai gunakan ayat ini untuk menarik orang ramai melabur, akhirnya pelaburan itu rupanya skim cepat kaya. Tergadai hasil titik peluh selama ini.

Pelaburan terbaik dalam dunia pun, dalam sekitar 35%. Inipun selepas mempunyai analisa tim terbaik. Kecoh satu dunia. Takkan pelaburan biasa-biasa tanpa risiko, bagi 30% tak masuk suratkhabar atau TV? Pesan saya, berhati-hati.

Soalan ketiga. Ya, melabur itu penting.

Dalam kewangan peribadi seorang Muslim, ada tujuh langkah untuk jadi Muslim yang bijak urus wang (muamalat).

  1. Pertama adalah mengumpul kewangan, dengan bekerja samada part time atau full time. Berniaga adalah digalakkan.
  2. Kedua adalah mengurus kewangan, dengan jaga perbelanjaan. Jangan berbelanja luar kemampuan.
  3. Ketiga adalah melindungi kewangan. Sekurang-kurangnya ada Takaful untuk hari-hari tidak bernasib baik dalam hidup.
  4. Keempat adalah menggandakan kewangan. Ini dikenali sebagai ‘pelaburan’.

(yang kelima hingga ketujuh, biasanya untuk individu yang lebih sofistikated)

Pelaburan adalah proses untuk menggandakan wang daripada RM1 jadi RM1.50. Daripada RM1000 di tangan jadi RM1500. Kenapa kena melabur? Sebab ada inflasi.

Inflasi menyebabkan nilai RM1000 hari ini tidak sama nilainya pada 20 tahun akan datang. Melabur untuk memastikan duit dalam akaun kita sentiasa bernilai lebih daripada sepatutnya.

Tips Untuk Pelabur Muda

  • Mulakan melabur di tempat berisiko rendah dan memberi keuntungan sederhana.
  • Untungnya di Malaysia, ada tempat pelaburan yang dijamin kerajaan. Contoh, Amanah Saham Bumiputera (6-7% setahun). Tiada caj dikenakan.
  • Kalau nak masuk Unit Amanah swasta, ini bagus. Tetapi ini memerlukan ilmu. Perlu diingatkan, mempunyai caj tinggi sekitar 2-5%. Melabur RM100, dah hilang RM5. Melabur hanya RM95.
  • Jangan melabur tempat yang ragu-ragu. Periksa dan tanya samada disahkan oleh BNM atau SC. Mempunyai prospektus yang sah atau tidak.
  • Belajar kenali risiko pelaburan. Risiko pelaburan boleh direndahkan dengan mempunyai ilmu pelaburan. Makin tahu, makin faham, makin kurang berisiko.

Leave a Comment