20221207 – Tariq Bin Ziyad Melintasi Maghribi dan Menawan Sepanyol

Kisah popular pahlawan Islam adalah tentang Tariq Bin Ziyad yang popular – menentang ketenteraan Visgoth dan menawan Hispania. Kisah ini rencah garam tentang beliau membakar kapal dan memberi ucapan kepada tentera bahawa tiada jalan pulang melainkan dengan kemenangan.

Ada mengaitkan kisah ini dengan kemenangan Maghribi kerana dalam perjalanan ke tanah Sepanyol, beliau melintasi tanah Maghribi. Apa-apa pun media hari ini disajikan dengan barisan pemain Maghribi sujud kesyukuran kerana berjaya layak ke peringkat Suku Akhir Piala Dunia 2022 (Qatar). Ironinya, mengalahkan Sepanyol.

Kita tak tahu apa motivasi pemain Maghribi untuk memberikan persembahan terbaik di atas padang. Cuma aku boleh katakan, sejarah adalah sumber untuk meniupkan motivasi apatah lagi kalau perkara yang sedang dihadapi adalah tentang perjuangan sebuah negara.

Perjuangan secara kelompok perlulah disandarkan satu benda sama (common language). Atas dasar satu perkara, perpaduan boleh dibentuk. Perkara ini tidak asing lagi dalam sejarah dunia. Menyatukan perjuangan atas dasar agama (Islam, Kristian, Yahudi dll.) – sejak dulu sudah berlaku. Kisah perang Salib adalah rujukan utama.

Selain agama, penyatuan bangsa melalui pertalian darah juga dikatakan paling agung – menurut kitab Mein Kampf karangan Adolf Hitler. Buku beliau membahaskan tentang bangsa Aryan dan darah Aryan. Malah, menyuntik perspektif bahawa darah bangsa di tanah Jerman perlu disucikan kerana sudah terpalit dengan darah Yahudi. Maka, berlakukan imigrasi besar-besaran di Eropah. Puak Yahudi dihalau dari tanah Eropah.

Bagaimana dengan penyatuan bersandarkan blok atau tanah? Tanah Melayu dan Indonesia juga mengalami perkara sama. Idea Soekarno mengatakan idea serumpun, dari susur galur Majapahit (mungkin?) – perlu disatukan semula. Idea Ganyang Malaysia telah dilaungkan untuk menentang penubuhan Malaysia.

Cuma era globalisasi ini agak sukar nak cipta idea penyatuan baru. Alah, macam Malaysia. Cakap saja pasal perpaduan, sama rata atau apa sahaja – sukar. Walaupun idea Bangsa Malaysia oleh Dato Seri Najib hampir mencapai kata sepakat. Masakan satu negara boleh sebut Salam 1Malaysia, bukan?

Bagaimana nak satukan?

Pendidikan. Minda dan sahsiah dibentuk melalui pendidikan. Masalah di Malaysia ini, pendidikan vernakular yakni pendidikan bersandarkan bangsa masih ada. Sekolah Melayu, sekolah Cina dan sekolah India. Ayo! Nak hapuskan dan satukan? Tak berani ahli politik nak bermain isu ini, walaupun momok manifesto soal perpaduan. Kah!

Seterusnya, sukan. Paling mudah. Sebab ada persamaan dari segi bendera yang dibawa. Bila Dato Lee Chong Wei bawa nama Malaysia ke pentas Olimpik, semua bangsa di Malaysia bersatu menyokong – berharap dapat cuti umum, barangkali. Bola sepak juga ejen penyatuan perpaduan. Filem Ola Bola menyaksikan fenomena, dalam satu skuad 11 orang pemain disatukan untuk capai objektif yang sama dan satu bendera yang sama.

Entah apa aku merepek pagi ini, walhal aku nak cakap pasal kemenangan Maghribi melawan Sepanyol. Mungkin aku melihat bola sepak bukan sekadar bola sepak buat masa ini. Aku melihat bola sepak sebagai medium untuk taburkan idea propaganda. Haha.

Apa-apa pun, melihat pemain sujud kesyukuran dan nama pemain dekat dengan nama kita macam Hakimi, Hakim, Yusuf, Badar, Salim – menunjukkan kita tak perlu ada nama macam Harry, Christian, Micheal untuk jadi hebat dalam bola sepak.

Mata rabak. Teruskan melihat kegemilangan Qatar sebagai penganjur.

Kebosanan Mencipta Kelainan.

Leave a Comment